buletin-ums
buletin-ums

UMS - Petronas Meterai Perjanjian Bidang Teknikal

webadminwebadmin
29 Dec 2021 10:53am

KUALA LUMPUR - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) baru-baru ini bagi memacu perkongsian pengetahuan industri-akademik dalam bidang teknikal.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), MoU tersebut turut melibatkan beberapa Universiti Awam (UA) lain.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun berkata, MoU ini bukan sahaja memberi impak yang tinggi dalam bidang kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS, tetapi ia juga bakal memberi manfaat kepada bidang-bidang lain di UMS.

“Di bawah kolaboratif CHESS ini, kita berharap ia dapat meningkatkan daya saing pelajar dari segi pengetahuan dan kebolehpasaran, meningkatkan inovasi  seterusnya kelestarian dalam bidang akademik serta pembangunan dan penyelidikan.

“Kerjasama ini juga akan dapat membantu pelajar dan pensyarah untuk mendapatkan bimbingan dari industri terutama yang melibatkan latihan industri, pengembangan kemahiran dan juga penempatan pekerjaan,’’ katanya selepas menandatangani MoU.

Tambah beliau, kolaboratif itu juga mampu mempertingkatkan hubungan dua hala antara universiti dan industri.

Ujarnya, keterlibatan program bersama dengan industri adalah salah satu kriteria dalam penilaian akredatasi bagi Engineering Accreditation Council (EAC).

“Oleh itu, MoU ini secara langsung dapat membantu menjayakan penilaian akredatasi bagi program yang ditawarkan di Fakulti Kejuruteraan.

“Dalam masa sama, kerjasama ini juga meningkatkan lagi keterlihatan UMS sebagai sebuah institusi yang mempunyai jaringan kukuh dengan industri, di samping boleh menambahkan keyakinan terhadap pemegang taruh universiti,” jelasnya sambil memaklumkan bahawa ramai graduan UMS kini berkhidmat dengan Petronas.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp