Untitled design (1)
Untitled design (1)

UMT terima HPLC, tawar perkhidmatan uji ketulenan madu

webadmin
22 Dec 2021 01:57am
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Industri penternakan madu kelulut semakin berkembang pesat disebabkan permintaan tinggi dalam pasaran serta mengandungi khasiat yang tinggi.

Walaupun begitu lambakan madu tiruan masih lagi berleluasa sehingga ia sukar dibendung kerana masih ada permintaan dalam kalangan pengguna.

Untuk itu dalam usaha mengelakkan penggemar madu terbeli produk tiruan, baru-baru ini Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menerima aset penguji ketulenan cecair sumbangan kerajaan negeri Terengganu.

Peralatan yang dinamakan High Performance Liquid Chromatography (HPLC) dilengkapi dengan teknologi termaju itu bertujuan pengesahan ketulenan madu lebah dan kelulut.

Menurut Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, HPLC merupakan alat ujian saintifik untuk analisis tahap ketulenan madu.

“Berdasarkan laporan sosioekonomi negeri Terengganu, kerajaan negeri menyedari ada kelompok yang perlu diberikan perhatian khusus seperti kumpulan penternak lebah serta usahawan industri madu asli dan kelulut di sini.

“Untuk itu, kerajaan negeri bersetuju meluluskan dana bagi HPLC sebagai suatu medium bagi menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan potensi produk madu dan ketulenan untuk memacu industri tersebut ke pasaran global yang menjanjikan pulangan tinggi kepada komuniti dan pemain industri dalam pembangunan ekonomi negeri Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMT, Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar menyifatkan sumbangan itu suatu pengiktirafan yang tinggi kepada UMT.

“UMT merasa cukup bertuah, kerana dengan adanya fasiliti HPLC di sini, ia dapat memudahkan urus selia dan penggunaan peralatan bagi kemudahan penyelidik, warga pelajar, industri serta komuniti setempat dalam usaha mendapatkan pengiktirafan tahap ketulenan cecair secara tepat. Ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas sumbangan ini.

“HPLC yang dilengkapi pengesan Refractive Index (RID), berfungsi mengesan kandungan gula ringkas. Contoh gula ringkas yang terdapat dalam madu ialah sukrosa, fruktosa, maltosa, glukosa dan sebagainya. Kehadiran dan kepekatan setiap gula ringkas dalam madu, Hidrometilfurfural (HMF) dan kumpulan sebatian fenolik inilah yang dijadikan kayu asas dalam penentuan ketulenan madu.

“Semoga kerjasama antara UMT dan Kerajaan Negeri Terengganu akan terus berkekalan, terutamanya dalam merealisasikan hasil penyelidikan universiti, demi pembangunan negeri Terengganu khasnya serta negara Malaysia amnya,” tuturnya.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok