HomeGen ZUNIMAS dan KMF tandatangani MoA galak semangat pelajar menjadi pelajar terbaik

Artikel Berkaitan

UNIMAS dan KMF tandatangani MoA galak semangat pelajar menjadi pelajar terbaik

KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Kenyalang Medical Foundation (KMF) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bertempat di Galeri Koompassia Excelsa, UNIMAS.

MoA tersebut diadakan sebagai galakan kepada pelajar program perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS melalui Anugerah Pelajar Terbaik sumbangan KMF dalam kategori-kategori masing-masing.

Perjanjian sama sebelum ini di antara UNIMAS dan KMF adalah pada 24 Februari 2016, untuk tempoh lima tahun dengan pecahan Anugerah Pelajar Terbaik disediakan dalam tujuh kategori iaitu Best Year 1 Medical Student, Best Year 2 Medical Student, Best Year 3 Medical Student, Best Year 4 Medical Student, Best Student in Family Medicine, Best Year 4 student in Paediatrics dan Best Year 5 Student in Paediatrics.

Dalam majlis sama, turut diadakan penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik KMF 2020 kepada sepuluh pelajar FPSK secara hibrid di mana semua penerima anugerah hadir secara atas talian (online) dan menyaksikan anugerah disampaikan dengan mewakili Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Dr. Asri Said menerima anugerah tersebut bagi pihak pelajar daripada Pengerusi KMF, Dr. Mahadhir Alhady Sulaiman.

Dalam ucapan aluan, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berharap MoA tersebut dapat menjadi pemangkin kecemerlangan bagi para pelajar untuk lebih maju lagi dalam pembelajaran dan memberikan semangat kepada pelajar untuk terus berusaha menjadi seorang doktor pakar bila bergraduat kelak.

“KMF mempunyai objektif yang selari dengan UNIMAS iaitu untuk memberikan peluang pengajian tinggi kepada segenap lapisan masyarakat. Kita mengharapkan kerjasama sebegini dapat meningkatkan lagi bilangan doktor di Sarawak terutama dalam kalangan warga negeri Sarawak itu sendiri,” katanya.

Dalam ucapan sama, Naib Canselor turut menjelaskan bahawa UNIMAS dalam proses pembinaan hospital pengajar universiti dengan kapasiti 300 katil.
Katanya, sehingga kini, UNIMAS telah berjaya melahirkan 58 orang doktor pakar semenjak tahun 2007.

Beliau turut berharap pembinaan hospital pengajar dapat meningkatkan jumlah graduan doktor perubatan terutamanya doktor pakar selain memberikan kemudahan perubatan yang lebih baik bagi penduduk sekitar di Samarahan, Padawan, Serian, Sebuyau, dan Simunjan termasuk dari Kuching.

Sementara itu, KMF merupakan satu yayasan yang telah dibentuk oleh gabungan doktor-doktor perubatan dengan tujuan untuk meningkatkan peluang pendidikan berkaitan perubatan dan kesihatan di Universiti, Kolej atau institusi lain sama ada di Malaysia atau di tempat lain.

Antara objektif utama MoA ini adalah sebagai galakan kepada pelajar program Perubatan FPSK untuk berusaha bersungguh-sungguh mendalami ilmu yang dipelajari dan bertekad untuk menjadi yang terbaik antara yang terbaik setiap tahun.

Artikel Terkini