UPM perjelas isu kekeliruan bilangan graduan PhD

Adlan Farhan Azwan
20 Jan 2022 02:02pm
A
A
A

SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat menegaskan kenyataan sebelum ini yang dikatakan mempertikai bilangan jumlah graduan Doktor Falsafah (PhD) di institut itu adalah mengelirukan dan tidak tepat.

Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh pihak UPM di laman Facebook semalam, kaedah pengajian PhD di UPM adalah melebihi syarat minima yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan kualiti graduan yang dihasilkan oleh UPM sentiasa dijaga dengan baik.

“Tempoh pengajian PhD adalah dalam lingkungan tiga hingga lima tahun di mana pelajar yang mengikuti pengajian ini wajib membuat penyelidikan dan mengikuti minima 12 jam kredit kursus.

“Selain itu, pelajar perlu membuat pembentangan cadangan penyelidikan dan lulus Peperiksaan Komprehensif yang dinilai oleh panel sebelum tahun ketiga bagi melayakkan mereka untuk meneruskan pengajian.

“Tesis dinilai oleh sekurang-kurangnya tiga orang penilai yang terdiri daripada seorang penilai luar (universiti luar negara seperti US, UK, Australia dan sebagainya) dan dua lagi penilaian dalaman, serta perlu lulus peperiksaan viva voce,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut ada juga memaklumkan bahawa Senat UPM telah menetapkan dua penerbitan jurnal berindeks (Citation Indexed Journal) sebagai syarat bergraduat bagi memastikan kualiti penyelidikan graduan PhD yang dihasilkan.

“UPM mempunyai kekuatan tenaga akademik berkelulusan PhD seramai 1649 orang yang layak menyelia pelajar PhD.

“Ini mencerminkan kemampuan universiti dalam menghasilkan graduan PhD dengan merujuk kepada amalan terbaik di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi.

Jumlah graduan PhD yang dikeluarkan oleh UPM merupakan bilangan yang lazim dikeluarkan oleh Universiti Penyelidikan dan ia selari dengan amalan terbaik universiti terkemuka dunia di mana enrolmen pelajar PhD merupakan indikator kecemerlangan sesebuah universiti.

UPM sebagai salah satu Universiti Penyelidikan di Malaysia tidak ketinggalan dalam terus menyumbang meningkatkan penyelidikan dan mengeluarkan modal insan yang berilmu dan berkualiti tinggi.

“Berkaitan dengan dakwaan penulis bahawa universiti terkemuka dunia yang hanya mengeluarkan tidak lebih daripada 20 graduan setahun adalah tidak benar.

“Kerana berdasarkan maklumat yang diperoleh dari laman web rasmi, Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada 2020 telah mengeluarkan 563 graduan PhD manakala Harvard University telah mengeluarkan 572 graduan PhD serta dari segi ranking dunia, MIT berada pada kedudukan pertama manakala Harvard University berada pada kedudukan kelima dalam QS World University Ranking 2022,” katanya dalam kenyataan itu.

Disebabkan kekeliruan yang timbul, UPM ingin menegaskan jumlah graduan PhD yang dikeluarkan oleh UPM bagi konvokesyen kali ke-44 kohort pelajar 2020 merupakan hasil pengajaran, pembelajaran, penyelidikan berkualiti tinggi.

"Ia telah dinilai di peringkat kebangsaan serta antarabangsa bagi menjamin kualiti sebagai bukti pendidikan tinggi di Malaysia adalah diiktiraf dan setaraf di peringkat antarabangsa," jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok