UUM Digital Financial Inclusion Challenge
UUM Digital Financial Inclusion Challenge

UUM muncul juara Digital Financial Inclusion Challenge, bawa pulang wang tunai RM5,000

Adlan Farhan Azwan
22 Feb 2022 01:28pm
A
A
A

Sintok - Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencipta kejayaan apabila muncul juara dalam pertandingan Digital Financial Inclusion Challenge yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini, sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000.

UUM diwakili tiga pelajar dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam iaitu Ahmad Bukhari Rahiman dan Muhammad Azamuddin Mohd Azahari yang merupakan pelajar Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam serta pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Wan Ain Adlina Che Wan Mansor.

Ketua kumpulan, Wan Ain Adlina berkata, pertandingan itu merupakan program tahunan anjuran Arus Academy dengan kerjasama FWD Takaful bagi mencungkil kesedaran anak muda tentang kewangan yang inklusif kepada setiap lapisan masyarakat.

Baca juga

UUM dan MyPusaka jalin kerjasama, usaha penyebaran ilmu pusaka

USIM, UPM anjur program keselamatan jalan raya untuk beri kesedaran kepada pelajar

"Pasukan UUM mempertaruhkan produk inovasi, 'Sempurna Apps' yang menekankan peluang dan hak kesamarataan kepada semua golongan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapatkan perlindungan kesihatan sebagai persediaan pada hari mendatang.

"Produk ini adalah perlindungan takaful yang berlandaskan syariah Islam dan terbuka kepada semua. Ia menumpukan kepada solusi tentang kesedaran kesihatan, kaedah penyampaian maklumat serta pelan perlindungan risiko bagi golongan berpendapatan rendah di Malaysia.

"Berbekalkan pengetahuan yang diperolehi sepanjang sesi kuliah berkaitan kewangan Islam, takaful serta pengurusan teknologi, kami akhirnya berjaya menawan hati juri,” katanya.

Tambahnya, pembentangan idea awal dibuat melalui rakaman video yang berdurasi selama dua minit disusuli dengan soalan.

Wan Ain Adlina berkata, selama seminggu peserta perlu mengikuti beberapa siri aktiviti yang telah ditetapkan termasuk menemuramah golongan sasar secara maya sebelum menghasilkan satu produk inovasi kewangan yang sesuai kepada setiap lapisan masyarakat termasuk golongan B40.

“Menyertai pertandingan ini mendorong kami untuk berfikir secara kreatif dan realistik serta perlu berusaha keras kerana kurangnya pengalaman dalam industri tetapi mujurlah bantuan daripada mentor dan fasilitator amat membantu.

“Antara cabaran yang dihadapi ialah daya inovatif yang tinggi diperlukan dalam menghasilkan satu produk kewangan baharu, unik dan menepati kehendak industri dan dalam masa yang sama peserta perlu menyelami perasaan dan keadaan golongan B40 supaya soalan yang diajukan tidak menyinggung perasaan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Azamuddin berkata, aplikasi tersebut telah ditambah baik kaedah pembayarannya iaitu melalui Touch 'n Go, perbankan dalam talian, potongan automatik, pembayaran melalui pejabat pos, kedai terpilih dan pembayaran menggunakan tambah nilai telefon.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Menurutnya, kepelbagaian kaedah pembayaran ini bertujuan untuk memperluaskan lagi jaringan pembayaran sehingga ke kawasan pedalaman, malah Sempurna Apps juga memberi peluang kepada pelanggan untuk menjana pendapatan menerusi FWD Affiliate.

Ahmad Bukhari pula menjelaskan objektif pelaksanaan program ini ialah untuk menginovasikan sistem kewangan yang lebih kondusif kepada setiap lapisan masyarakat terutamanya dalam pelan perlindungan mikro takaful.

“Sebanyak 30 kumpulan menghantar penyertaan membabitkan pelajar universiti awam (UA)mahupun swasta dan daripada jumlah itu, hanya enam pasukan sahaja yang mara ke peringkat akhir.

"Saya berharap penganjuran pertandingan seumpama ini akan memberi pengalaman berharga kepada para peserta serta membantu meningkatkan sosio ekonomi dan kebajikan golongan berpendapatan rendah di Malaysia," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok