10 punca pelajar gagal ikuti PdPR. Tak sangka, ini yang guru-guru senaraikan!
Masih ada dalam kalangan murid-murid yang gagal mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang persekolahan ditutup.
Menurut Guru Cemerlang, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong Pokok Sena, Kedah, Dr Abdul Ghani Jalil, ada beberapa punca telah dikenal pasti mengenai masalah tersebut.
“Beberapa orang guru ada berkongsi dengan saya tentang faktor dan sebab murid-murid atau murid gagal mengikuti PdPR.
“Kebanyakannya bukan kerana enggan mengikuti kelas PdPR, tetapi ada punca utama yang perlu diketahui ramai,” ujarnya.
Baca juga Gadis korbankan waktu dengan keluarga, berkhidmat sebagai sukarelawan PPV
Baca juga Pengetua kelapan SSBJ kongsi formula lahirkan atlet murid bertaraf dunia, tak sangka ini rahsianya!
Memberitahu kepada GPSBestari, jelas Dr Abdul Ghani, semua pihak khususnya guru, ibu bapa, penjaga dan murid perlu mengambil serius tentang perkara tersebut.
“Saya harap kita sama-sama mencari solusi agar anak-anak tetap dapat mengikuti PdPR seperti biasa,” jelasnya.
Ikuti ulasan menarik Dr Abdul Ghani ini seperti yang dikirimkan menerusi telegram kepada wartawan GPSBestari.
*****
PdPR masih lagi diteruskan.
Meriah sungguh cikgu-cikgu mencari maklumat, membuat dan berkongsi bahan sesama guru dalam grup pendidik masing-masing.
Tidak ketinggalan juga, guru berhempas pulas menyediakan dan mencari bahan yang sesuai.
Waktu macam inilah kita guna apa-apa sahaja bahan seperti modul, rakaman audio, rakaman video dan sebagainya.
Saya yakin dan percaya bahawa semua guru juga tidak ketinggalan dan melalui pengalaman yang sama seperti saya dan sudah buat yang terbaik demi anak-anak murid.
Alhamdulilah ada juga respons daripada murid walaupun hanya 20 hingga 24 orang dalam setiap kelas (sekolah luar bandar).
Ikuti juga kami di:
Instagram:https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter:https://twitter.com/GPSBestari
Youtube:https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Namun, cabaran itu tetap ada.
Kalau hendak guna pendekatan online iaitu Google Meet, Zoom dan sebagainya memang tidak dapat sambutan sepenuhnya daripada semua murid, sebab banyak kekangan kerana tidak semua kawasan tempat tinggal murid mempunyai talian internet yang baik.
Bagaimanapun sebagai guru, saya tidak pernah putus asa dalam menyampaikan ilmu kepada mereka.
Seperti kata bekas Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, PdPR ini pelbagai dan mengikut kesesuaian murid dan guru.
Jadi, kebanyakan rakan guru yang lain lebih selesa menggunakan pendekatan offline iaitu memberi arahan melalui aplikasi whatsapp, telegram, modul dan lembaran kerja dan sebagainya.
Tidak kira online atau offline, terdapat pelbagai kekangan dalam PdPR.
Ada murid yang respons cepat, ada yang lambat dan ada juga yang tidak respons langsung.
Saya ambil petikan komen rakan-rakan guru mengenai punca murid tidak respons dalam PdPR:
1) Kongsi peranti dengan adik beradik dan ibu bapa.
2) Data habis dan ibu bapa hanya mampu top up bila ada duit.
3) Terlajak tidur.
4) Talian internet yang tidak stabil.
5) Kekurangan peranti/gajet
6) Data internet terhad.
7) Komitmen / bimbingan ibu bapa bekerja.
8) Sikap
9) Ibu bapa kurang atau tidak tegas.
10) Tidak peduli atau malas.
Bila PdPR, ia sebenarnya tanggungjawab ibu bapa atau penjaga yang perlu bertegas dengan anak-anak.
Baca juga 8 tip kawal penggunaan gajet
Jadual sudah disediakan dan sekolah ada memberikan data RM30.00 kepada murid yang layak. Kena pantau dan pastikan bersedia dan tepati masa.
Jika tidak, tugasan anak-anak pasti menimbun. Takut nanti bila buka sekolah cikgu kena ajar silibus atau pelajaran yang sama semula sebab murid masih belum faham pelajaran.
PdPR tidak sama macam mengajar di sekolah kerana hingga ke malam murid akan bertanyakan pelbagai soalan bagi menyelesaikan tugasan. Tapi yang pastinya, waktu PdPR ini kita sebenarnya tidak tahu apa masalah sebenar murid, penjaga dan ibu bapa.
Harapan saya semoga semua ini cepat berakhir dan guru-guru boleh mengajar seperti biasa apabila sekolah di buka kelak.
Apa yang paling penting pada waktu ini ialah guru perlu sentiasa berlapang dada dengan masalah murid. Insya-ALLAH lebih tenang ketika sesi PdPR.
Kepada ibu bapa, terima kasih kerana membantu anak-anak untuk terus mengikuti PdPR walaupun terdapat banyak kekangan.