13 pelajar Hatimurni Islamic Private Education khatam al-Quran
13 pelajar Hatimurni Islamic Private Education khatam al-Quran

13 pelajar Hatimurni Islamic Private Education khatam al-Quran

Roshlawaty Md Raieh
09 May 2021 08:15am
A
A
A

SHAH ALAM – Hatimurni Islamic Private Education menganjurkan sesi siaran langsung Majlis Khatam Quran sempena menyantuni 26 Ramadan, semalam.

Pengasasnya, Ustazah Siti Khadijah Mohni berkata, sejak 14 tahun beroperasi, ini merupakan tahun ke 10 Hatimurni mengadakan Majlis Khatam Quran berkenaan.

“Menariknya pada majlis kali ini, ia dijalankan secara maya demi mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, Majlis Khatam Quran berlangsung selama 45 minit menerusi aplikasi Facebook dan Instagram.

Objektifnya adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar supaya dapat merasa suasana khatam al-Quran beramai-ramai, mendidik mereka supaya rajin mengaji dan memupuk kesedaran untuk bersahabat dengan al-Quran kerana kitab suci itu merupakan peneman dunia akhirat.

Program setengah hari ini telah memberi seribu satu makna kepada pelajar apabila kesemua 13 pelajarnya khatam 30 juzuk al-Quran.

Menurut Ustazah Siti Khadijah, Majlis Khatam Quran anjuran Hatimurni Islamic Private Education pada mulanya akan dimeriahkan dengan kehadiran pelajar di studio, manakala guru-guru pula bersiaran dari rumah masing-masing secara virtual.

“Namun, pihak pengurusan Hatimurni terpaksa menukar kepada rancangan B di mana guru-guru berada di studio di Shah Alam manakala pelajar bersiaran dari HQ di Wangsa Maju.

“Ini adalah bagi mematuhi pengumuman pada 5 Mei oleh kerajaan bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Ditanya berkenaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), beliau berkata, PdPR telah berlangsung hampir setahun setengah di Hatimurni.

“Ia merupakan proses yang sangat-sangat sukar di mana kami perlu menguruskan ssstem pembelajaran online daripada segi peralatan dan kelengkapan lain.

“Walau bagaimanapun, kami sedaya upaya memberi yang terbaik di mana Hatimurni melaksanakan tiga elemen penting dalam pembelajaran iaitu dapat, faham dan mampu mempraktikkan ilmu yang diperolehi.” kata penerima Nona Best Islamic Education Award, baru-baru ini.

Akhir sekali, Hatimurni berbesar hati memberi kelas percuma untuk kelas mengaji dan fardu ain online kepada seluruh anak-anak Malaysia sempena Aidilfitri ini.

“Yuran bulanan adalah percuma manakala yuran tahunan adalah serendah RM100 sahaja,” katanya.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan