218 pelajar UTM terima bantuan pendidikan daripada Lembaga Tabung Haji
218 pelajar UTM terima bantuan pendidikan daripada Lembaga Tabung Haji

218 pelajar UTM terima bantuan pendidikan daripada Lembaga Tabung Haji

webadmin
16 Mar 2021 08:58am
A
A
A

IPOH – Seramai 218 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Johor, Perak dan Pahang telah menerima bantuan berjumlah RM750,000 daripada Lembaga Tabung Haji (TH) dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba kepada Pelajar Asnaf UTM di sini, baru-baru ini.

Majlis penyerahan itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan turut dihadiri oleh Pengarah (Hal Ehwal Pelajar) UTM Kuala Lumpur, Prof Madya Ir Dr Pauziah binti Muhamad serta Pengarah Tabung Haji Negeri Perak, Mohamad Abas.

Sumbangan tersebut merupakan inisiatif TH di bawah Program Iqra’ di mana UTM merupakan antara 14 universiti bertuah yang menerima bantuan.

Objektif utama Program Iqra’ TH adalah untuk memberikan bantuan pendidikan bagi menampung perbelanjaan pengajian pelajar asnaf daripada keluarga B40 untuk membayar yuran pengajian, pembiayaan asrama, dewan makan, kos sara diri dan perbelanjaan diri masing-masing selain sumbangan komputer riba bagi kegunaan pelajaran.

Dr Pauziah berkata, pihak UTM menyambut baik sumbangan dana yang disifatkan sebagai zakat terbesar yang disumbangkan oleh institusi kewangan kepada universiti dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak TH.

"Zakat yang diterima telah diagihkan kepada mahasiswa yang memenuhi syarat dan kelayakan seperti yang telah ditetapkan oleh pihak TH.

"Di UTM, Pusat Islam yang diamanahkan untuk menguruskan Pengurusan dan Pentadbiran Zakat telah membuka permohonan kepada mahasiswa daripada tiga (3) buah negeri tersebut," katanya.

Permohonan boleh dibuat menggunakan google form bagi mengenalpasti calon-calon penerima bantuan yang layak berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan seperti terdiri daripada golongan asnaf yang berpendapatan kasar keluarga RM4,000 dan ke bawah, dan sedang menuntut di peringkat diploma dan sarjana muda.

Daripada jumlah tersebut, seramai 68 orang mahasiswa Johor telah menerima RM691 setiap seorang, 69 orang mahasiswa negeri Perak menerima bantuan tunai sebanyak RM1,106 berserta sebuah komputer riba bernilai RM2,500 manakala 81 orang mahasiswa negeri Pahang pula menerima wang tunai sebanyak RM3,106 serta sebuah komputer riba juga bernilai RM2,500.

Bantuan tunai itu juga telah pun dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Januari 2021.

Dr Fauziah berkata, UTM berharap agar para penerima dapat memanfaatkan wang tunai dan komputer riba yang telah diberikan untuk tujuan pembelajaran yang lebih baik.

"Bantuan ini amat besar nilainya kepada seorang mahasiswa yang memerlukan dana dan peralatan untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya menerima segulung ijazah pada akhir pengajian.

"Kejayaan cemerlang mahasiswa akan mengubah landskap ekonomi keluarga masing-masing dan dengan berkat kecemerlangan akademik serta bantuan ini, tidak mustahil penerima pada hari ini akan menjadi pembayar zakat pula pada masa akan datang," katanya.

Sumber: Portal rasmi UTM

Artikel menarik

Murid SK Kampung Kut teruja jumpa Spiderman di sekolah

Contoh Rancangan Pengajaran Harian yang boleh cikgu jadikan rujukan, mudah dan ringkas

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan