7 ancaman internet, guru dan pelajar perlu lebih berhati-hati
7 ancaman internet, guru dan pelajar perlu lebih berhati-hati

7 ancaman internet, guru dan pelajar perlu lebih berhati-hati

webadmin
04 Aug 2022 03:27pm
A
A
A

Internet hari ini merupakan satu medium yang menjadi keperluan semua masyarakat tanpa mengira usia.

Ia merupakan satu teknologi yang menghubungkan satu media elektronik dengan media yang lain di seluruh dunia. Media elektronik yang dimaksudkan adalah seperti komputer peribadi dan telefon pintar.

Banyak kebaikan yang kita perolehi daripada penggunaan internet, ia termasuklah membuat transaksi melalui perbankan dan membeli belah secara dalam talian.

Bagaimanapun, internet tidak lari daripada ancaman virus komputer seperti worm, Trojan Horse, spyware, adware, spam dan serangan DDoS.

Tujuh ancaman internet

Virus komputer adalah satu program yang membuatkan kita sebagai pengguna internet tidak menyedari bahawa ia mampu menyalin dan menyebarkan dirinya ke dalam sistem komputer.

Virus komputer pertama bernama Brain dicipta pada 1986 oleh dua sahabat yang berasal dari Lahore, Pakistan.

Manakala worm pula adalah program yang direka untuk meniru dan menyebarkan dirinya ke komputer lain. Ia dikatakan seperti virus komputer dari segi reka bentuknya dan mampu melancarkan dirinya tanpa sebarang bantuan daripada pengguna untuk mengganggu sistem komputer. Salah satu bahaya terbesar worm adalah ia mampu menghasilkan beribu-ribu dirinya untuk kesan yang teruk kepada sistem komputer.

Ancaman ketiga iaitu Trojan Horse pula wujud dalam dunia intenet yang mana ia direka untuk menjadikan sistem komputer tidak dilindungi dan digunakan oleh penggodam untuk mencapai sistem tertentu bagi tujuan mencuri maklumat sensitif, memadam, menyekat, mengubah suai dan menyalin data serta mengganggu prestasi sistem komputer.

Biasanya, Trojan Horse dimuatkan dan dilaksanakan dalam sistem komputer menggunakan cara social engineering.

Tidak cukup dengan Trojan Horse, ancaman seperti spyware juga telah direka untuk mengumpul maklumat sensitif individu atau syarikat tanpa pengetahuan mereka. Ia kebanyakannya digunakan untuk mengesan dan menyimpan aktiviti pengguna internet dengan memberikan iklan yang muncul di laman web, emel dan daripada sambungan perkongsian fail.

Setelah spyware dipasang, ia akan bertindak untuk memantau aktiviti pengguna internet.

Selain spyware, adware juga adalah ancaman internet yang direka untuk memaparkan iklan yang tidak diingini. Terdapat beberapa bentuk pengiklanan yang boleh dipaparkan melalui adware seperti di dalam antara muka pengguna sebuah perisian untuk menarik pengguna membuka iklan tersebut.

Sebagai contoh, pengguna internet membuka dan melawat laman web melalui pelayar internet dan satu iklan keluar melalui pelayar itu dan secara automatik perisian adware telah dipasang ke dalam sistem komputernya.

Apa yang berlaku, semua maklumat penting seperti butiran kad kredit atau maklumat peribadi telah direkodkan oleh perisian adware.

Ancaman internet yang lain adalah spam di mana ia adalah sejenis ancaman internet dengan menghantar mesej yang tidak diingini, terutamanya iklan yang menarik kepada mana-mana pengguna internet melalui e-mel, forum, telefon bimbit, sosial media, pemesejan permainan dalam talian dan carian akademik.

Sebagai contoh, seseorang menerima e-mel tertentu yang mana ia mengandungi virus komputer yang mampu tersebar ke dalam sistem komputer.

Akhir sekali, ancaman DDoS.

DDoS ialah sejenis ancaman internet yang berupaya membuat sumber rangkaian tidak dapat dicapai oleh sesiapa sahaja walaupun kita adalah pengguna berdaftar di dalam sistem tersebut.

Penyerang akan menggunakan banyak komputer untuk melancarkan serangan DDoS dengan cepat.

Maka, kita sebagai pengguna internet perlu waspada terhadap ancaman internet dengan langkah terbaik seperti pemasangan Firewall dan perisian anti-virus bagi melindungi sistem komputer kesayangan anda.

Pesanan penting

Sinar Bestari ingin mengingatkan kepada semua guru dan pelajar supaya berhati-hati semasa berkongsi maklumat di internet.

Ingatan ini diberikan agar anda tidak terjebak dengan perkara-perkara berbahaya atau mendatangkan kemudaratan.

Mungkin, guru dan pelajar boleh mengamalkan beberapa amalan terbaik dan panduan tertentu semasa berada di dalam ruang maya. Antaranya,

1) Semakan privasi

2) Gunakan kawalan ibu bapa

3) Sentiasa berwaspada, jangan terlebih kongsi

4) Menguatkan keselamatan kata laluan

5) Pengesahan hubungan

Maklumat Penulis

Ts Dr Mohd Azahari Mohd Yusof

Pensyarah Kanan, Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Artikel berkaitan 

Khas untuk bakal jurutera ‘anda perlu bijak meneroka dan memandang ke hadapan bukan ke belakang’

7 tip untuk sentiasa selamat ketika melayari internet

Guru dan pelajar, berikut 4 tip hafal al-Quran yang boleh anda amalkan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan