Tujuh strategi, tingkatkan penglibatan pelajar dalam perbincangan ketika persidangan video
Tujuh strategi, tingkatkan penglibatan pelajar dalam perbincangan ketika persidangan video

7 strategi, tingkatkan penglibatan pelajar dalam perbincangan ketika persidangan video

webadmin
24 Jul 2021 03:25am
A
A
A

Salah satu peranan utama yang perlu dititikberatkan oleh guru ketika kelas dalam talian adalah pemudahcaraan pembelajaran.

Kemudahan yang sesuai di samping kemampuan seseorang guru itu untuk menyampaikan objektif pembelajaran dengan jelas, akan dapat membantu pelajar mencapai hala tuju tersebut.

Ketika pembelajaran diadakan, peranan guru sebagai fasilitator merangkumi interaksi mereka dengan pelajar dalam persidangan, memberi maklum balas terhadap tugasan yang telah disediakan oleh pelajar, serta berkemampuan membantu pelajar dalam perbincangan, sama ada sehala atau dua hala.

Komponen terakhir ini, adalah memudahkan perbincangan dalam talian, namun ia akan menjadi lebih mencabar sekiranya guru tidak biasa dengan perbincangan jarak jauh bersama pelajar.

Walau bagaimanapun, platform persidangan video, seperti Google Meet dan Zoom, memungkinkan para guru dapat berhubung dengan pelajar dalam masa sebenar. Ia memberi peluang kepada pelajar untuk aktif ketika pembelajaran dalam talian.

Memandangkan perbincangan dalam talian ini sangat penting, ramai guru mula bereksperimen menggunakan  teks, video, podcast, dan sumber dalam talian ketika sesi persidangan video bersama pelajar.

Sama juga seperti perbincangan nyata,  perbincangan dalam talian dua hala yang  menggunakan perisian persidangan video turut memberikan cabaran unik kepada guru.

Berikut adalah tujuh cadangan untuk membantu guru memaksimumkan penglibatan pelajar dalam perbincangan dalam talian.

1) Memberi objektif dan senarai soalan perbincangan lebih awal.

Pelajar akan merasa lebih selesa sekiranya mereka tahu apa yang diharapkan menerusi sesi persidangan maya. Sekiranya guru memberikan soalan perbincangan lebih awal, pelajar mempunyai lebih banyak masa untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.  Ia sesuai dipraktikan kepada pelajar yang pendiam,  malu dan takut untuk berinteraksi secara terus. Sedikit sebanyak langkah ini dapat membantu mereka menyediakan dan merangka titik bicara sebelum perbincangan.

2) Sampaikan harapan anda kepada pelajar

Pembelajaran dalam talian adalah perkara baru bagi kebanyakan pelajar. Guru perlu jelas mengenai harapan mereka, dan perlu proaktif untuk  melibatkan mereka  dalam landskap pembelajaran baharu ini.

Sebagai contoh, anda harus memberitahu mereka secara jelas jika anda mahu mereka meninggalkan video mereka untuk perbincangan, dan terangkan mengapa ia sangat penting bagi komuniti kelas berinteraksi dan melihat wajah masing-masing.

Sekiranya anda ingin mereka menyumbang sekurang-kurangnya satu idea dalam perbincangan, anda perlu memberitahu mereka sebelum itu apa yang anda harapkan.

3) Minta pelajar hasilkan soalan perbincangan mereka sendiri

Minta pelajar sediakan sekurang-kurangnya satu soalan untuk dibincangan secara maya.  Ia membantu mereka memikirkan topik yang boleh dicadangkan sebelum mengenal pasti topik pilihan yang akan dibincangkan bersama.  Ia sedikit sebanyak dapat menarik minat pelajar untuk lakukan perbincangan secara berkumpulan.

4) Mulakan setiap sesi persidangan maya dengan soalan pemula

Sebelum melompat kepada objektif utama pembelajaran, guru boleh mulakan persidangan video dengan soalan pemula bagi mewujudkan suasana yang lebih santai dan menyenangkan.

Kemungkinan pelajar akan kurang interaksi ketika pembelajaran maya, berbanding belajar secara semuka. Kaedah ini memberikan mereka rasa selesa berinteraksi bersama rakan sebaya sebelum memasuki perbualan akademik.

TIP:  Guru-guru digalakkan memasukkan jangkaan terhadap maklum balas dan penglibatan dalam perancangan atau merancang dokumentasi yang akan dikongsi bersama para pelajar

5) Gunakan laman sembang secara strategik

Seperti mana di dalam kelas, pelajar memerlukan masa untuk memproses soalan dan merumuskan jawapan. Guru adalah digalakkan  untuk berkongsi skrin mereka dan menyatakan setiap soalan perbincangan supaya pelajar dapat melihat dan mendengarnya.

Kemudian  pelajar diberikan masa 60-90 saat untuk berkongsi pandangan mereka melalui ruang sembang.  Selepas itu beri peluang kepada mereka tawarkan diri secara sukarela untuk berkongsi pendapat masing-masing.

6) Mengadakan sesi lebih pendek dengan pelajar yang sedikit.

Sesetengah guru mungkin sukakan kelas yang mengambil  masa panjang setiap minggu, namun,  perbincangan dalam kumpulan yang besar ini kurang dinamik berbanding  perbincangan kumpulan skala kecil.

Hakikatnya manfaat dan kejayaan akan lebih diperoleh sekiranya masa yang panjang itu dibahagikan kepada tiga sesi perbincangan sahaja. Tetapkan setiap sesi itu hanya mengambil masa selama 20 minit dengan kapasiti 10 pelajar sahaja, berbanding satu sesi 60 minit dengan 25-30 pelajar.

7) Minta pelajar menilai penyertaan mereka dalam talian

Tamatkan sesi persidangan video dengan meminta pelajar meluangkan masa untuk menilai penyertaan mereka dalam talian. Penilaian kendiri adalah strategi penting yang dapat mendorong pelajar berfikir secara kritis mengenai pembelajaran dan kemahiran mereka.

Namun perlu diingat, seperti mana kemahiran dan juga pembelajaran secara semuka, sesuatu kelas itu akan berjaya sekiranya setiap guru itu memberikan sokongan dan maklum balas kepada pelajar.

Sumber: Dr Catlin Tucker

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan