thiago-cerqueira-Wr3HGvx_RSM-unsplash
thiago-cerqueira-Wr3HGvx_RSM-unsplash

“Jangan malukan anak-anak,” – antara 7 tip komunikasi Dr Norzila kongsi untuk ibu bapa

Mohd Khairi Mohamad YusriMohd Khairi Mohamad Yusri
11 Aug 2021 05:28pm

Mendidik anak-anak bukan satu tugas yang mudah, ia memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia juga memerlukan kemahiran komunikasi yang tepat.

Kemahiran berkomunikasi secara positif sememangnya satu perkara yang wajib dilakukan oleh para ibu bapa. Jadi kali ini GPSBestari ingin kongsikan, tujuh tip daripada Dr Norzila Zakaria dari Fakulti Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia.

1. Jadilah pendengar yang baik

Letakan di dalam fikiran bahawa tujuan kita mendengar masalah anak-anak adalah bagi membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut. Jadi berikan perhatian yang penuh terhadap apa yang cuba disampaikan.

Pandang mata mereka, biar sama paras. Jika anak sedang duduk, kita juga mesti duduk. Jika mereka sedang berdiri, maka kita perlu merendahkan badan supaya mata kita akan setentang dengan mereka.

Tunjukkan wajah yang kita bersedia mendengar luahan hati anak.

2. Beri perhatian kepada emosi anak

Apabila memandang wajah anak, kenal pasti juga emosi mereka. Adakah ia dalam keadaan gembira, terkejut, malu, sedih, marah dan sebagainya. Ibu bapa juga boleh mengesan emosi mereka daripada gerak tubuh dan juga intonasi suara.

Kemudian, boleh juga bertanyakan apakah punca mereka kelihatan sedih sedemikian.

©unsplash

3. Akui emosi anak

Selepas mereka memberikan jawapan tentang emosi atau perasaan yang sedang dilalui, ibu bapa wajib mengakui perasaan tersebut dan jangan sesekali menidakkannya.

Sebagai contoh, jawapan “Ala… macam tu pun nak kecil hati?”... perkara ini mungkin akan menyebabkan mereka tidak mahu lagi berkongsi pada masa hadapan.

Jika ibu bapa mengesahkan akan emosi yang sedang anak-anak lalui, secara tidak langsung akan memudahkan penyelesaian masalah mereka. Jika mereka takut, kita tenangkan. Jika mereka marah, kita redakan.

Namun bagi anak-anak yang pendiam dan tidak mahu bercerita, ibu bapa mungkin perlu bijak meneka emosi mereka berdasarkan reaksi daripada soalan yang diberikan.

4. Tangguhkan pembetulan dan dapatkan maklumat lanjut

Ibu bapa tidak boleh terlalu cepat hendak memberikan penyelesaian masalah anak-anak tanpa mengetahui cerita yang lebih mendalam. Ini kerana, anak-anak pasti akan kecewa kerana mereka juga mempunyai sudut pandang tersendiri yang mungkin berbeza daripada kita.

Mungkin apa yang ingin disampaikan adalah lain, akan tetapi oleh kerana ibu bapa terlalu cepat memberikan respons, masalah sebenar tidak akan didengar dan menyebabkan anak-anak merasa kecewa.

Baca juga: Petua anak hebat, cemerlang dan baik budi pekerti, Ustazah Aminah kongsi rahsianya

Bacac juga: 6 perkara tentang guru yang ramai ibu ayah tidak tahu, mulianya hatimu cikgu!

5. Lihat situasi itu dari sudut pandang anak

Selalu kita bertindak seolah-olah anak-anak sudah dewasa, kerana mereka pasti bingung dengan tindakan tersebut. Sebagai contoh, mereka mungkin tidak faham kenapa perlu tidur tepat jam 9 malam. Di sini ibu bapa sepatutnya belajar bagaimana untuk menerangkan kepada anak-anak dengan baik.

Pastikan penerangan adalah bersesuaian mengikut tahap umur mereka.

©unsplash

6. Elakkan memalukan anak, fokus kepada tingkah lakunya

Mungkin ramai ibu bapa yang tidak menyedari bahawa perbuatan mereka memalukan anak-anak.

Ungkapan-ungkapan seperti “Maaflah anak saya terjatuhkan buku ini, Siti ni macam tak ada mata, tak tengok mana nak letak”

Jadi adalah lebih baik jika kita kata, “Maaflah anak saya terjatuhkan buku ni,dia tak perasan meja tu senget”. Kemudian bercakap pula dengan anak kita, “Siti letak elok-elok buku tu ya”.

Dengan berkata begitu kita sebenarnya mengakui kesilapan anak kita dan memberikan keyakinan kepada anak kita bahawa kesilapannya itu boleh diperbetulkan.

Ikuti juga GPSBestari di twitter

7. Galakkan anak berfikir secara proaktif

Apabila anak-anak mengadu ataupun bertanyakan soalan, ibu bapa mesti menggalakkan anak-anak memberikan pilihan jawapan. Kemudian dengarkan jawapan dan cadangan tadi dan berbincanglah dengan mereka.

Mereka pasti akan seronok dalam memberikan pandangan dan terasa dihargai bila pandangan mereka diambil kira dalam membuat keputusan.

Ini pastinya memberikan keyakinan kepada anak-anak untuk menyuarakan pendapat pada masa akan datang.

Sumber : momqhalif'

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan