8 modul IMPAK membuatkan sekumpulan ibu bapa berjaya bergraduasi
8 modul IMPAK membuatkan sekumpulan ibu bapa berjaya bergraduasi

8 modul IMPAK membuatkan sekumpulan ibu bapa berjaya bergraduasi

Roshlawaty Md Raieh
10 Aug 2022 03:21pm
A
A
A

Seramai 21 orang ibu bapa telah diraikan bersempena Majlis Graduasi Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak (IMPAK) di Ruang, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menurut wakil IMPAK Pusat, Faridah Maludin, ibu bapa yang bergraduasi itu terdiri daripada mereka yang berjaya mengikuti bengkel IMPAK selama lima bulan.

Tambah Faridah, bengkel yang menyediakan lapan modul itu memfokuskan peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak dari segi pembelajaran di rumah, menyelesaikan masalah pembelajaran dan meningkatkan sahsiah mereka.

Modul-modul yang diikuti ibu bapa terdiri daripada modul Sikap Ibu bapa; Persekitaran Rumah; Teknik Belajar (Tumpuan, Dengar, Masa); Kerja Rumah dan Sarana Pembelajaran; Persediaan Untuk Peperiksaan; Kemahiran Meningkatkan Daya Ingatan; Kemahiran Berfikir; serta Kemahiran Membaca dan Pengambilan Nota.

Sambung Faridah lagi, bengkel IMPAK diadakan secara bersemuka dan juga dalam talian serta dikendalikan fasilitator bertauliah yang dilatih oleh Sekretariat IMPAK Pusat dan Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha IKRAM Negeri Selangor, Profesor Dr Ramlan Zailani berkata, bengkel IMPAK sangat membantu ibu bapa dalam mengenal pasti proses pembelajaran anak-anak berlangsung dengan baik atau pun tidak.

Kata Ramlan, terdapat sesetengah anak menghadapi masalah pembelajaran sehingga ada antaranya tidak lagi berminat untuk belajar.

“Justeru, kewujudan bengkel IMPAK ini sangat bertepatan kepada ibu bapa yang menyertai supaya mereka tahu prestasi akademik anak-anak berada pada tahap yang bagaimana,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Graduasi IMPAK.

Sebelum itu, majlis Graduasi IMPAK anjuran IKRAM Shah Alam, Selangor dengan kerjasama Yayasan Hasanah dan Prihatin, bukan sahaja dihadiri graduan dalam kalangan ibu bapa sahaja tetapi turut dimeriahkan dengan kedatangan ahli keluarga graduan.

Malah, majlis bertambah menarik apabila beberapa orang ibu bapa diumumkan sebagai pemenang dalam pertandingan bersempena bengkel IMPAK.

Dalam pada itu, wakil bapa, Mohd Faizal Mohammed Ismail cukup berbangga apabila diberi peluang menyertai bengkel berkenaan.

“Banyak input berguna yang saya dapat menerusi bengkel ini. Insya-ALLAH, saya akan pastikan segala ilmu tersebut akan diaplikasikan terhadap anak-anak,” tuturnya.

Wakil ibu, Yusnirah Yusof pula memberitahu, pengalaman mengikuti bengkel IMPAK tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Banyak cabaran yang saya hadapi sepanjang menyertai bengkel ini.

“Yang paling mencabar adalah pembahagian masa antara kerjaya, hadiri bengkel, menjaga anak-anak dan sebagainya.

“Bagaimanapun, segala masalah itu dapat diatasi dengan baik kerana kumpulan fasilitator bengkel sentiasa memberikan tip berguna dalam mengendalikan cabaran tersebut,” katanya.

Artikel berkaitan 

‘Parenting Talk’ SEBARU bantu ibu bapa didik dan kendali anak-anak istimewa

6 teknik orang Jepun mendidik anak-anak boleh bantu ibu bapa di rumah!

(VIDEO) Pelajar jadi buruh simen sejak sekolah rendah, bantu ibu bapa cari rezeki


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan