Untitled design
Untitled design

ASM anjur National Science Challenge, sasar pelajar berumur 13-16 tahun sertai pertandingan

webadmin
26 Jun 2021 04:06pm
A
A
A

KUALA LUMPUR – Akademi Sains Malaysia (ASM) bakal menganjurkan pertandingan National Science Challenge secara dalam talian tidak lama lagi.

Pendaftaran secara online itu yang kini sudah dibuka, menyasarkan pelajar yang berumur 13 hingga 16 tahun untuk menyertainya.

Peserta yang terpilih perlu membentuk satu pasukan (tiga ahli) beserta seorang guru mentor untuk mendaftar bagi pertandingan tersebut.

Guru mentor akan melakukan pendaftaran melalui laman web pertandingan http://www.nsc.my/ 

Pertandingan National Science Challenge ini adalah program tahunan anjuran ASM sejak 1999.

Matlamat utamanya adalah untuk memupuk minat dan minda saintifik terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan remaja sebagai satu usaha menyediakan bakat dalam bidang STI dan pemimpin yang berkemahiran tinggi pada masa hadapan.

Tahun ini, penganjur telah memilih tema Pemeliharaan Alam Melalui Sains.

Pertandingan bertujuan memupuk minat dan mengasah bakat pelajar-pelajar untuk lebih mahir dari segi teori dan praktikal dalam bidang STEM, meningkatkan pemikiran saintifik dan mengasah kemahiran insaniah pelajar.

Selain itu, pertandingan ini juga akan memupuk kemahiran dalam amalan berdasarkan fakta dengan menggunapakai apa yang dipelajari di sekolah dengan bimbingan mentor di kalangan saintis muda Malaysia sebagai mentor.

Dengan bimbingan mereka, para finalis akan mampu mengembangkan idea atau solusi praktikal berkenaan isu-isu alam semula jadi di negara kita.

Beberapa peringkat

Pasukan-pasukan yang menyertai National Science Challenge ini akan bertanding di peringkat awal, peringkat negeri dan peringkat separuh akhir bagi merebut tempat di peringkat akhir.

Cabaran yang disediakan adalah berbeza di setiap peringkat.

Di peringkat awal, setiap pasukan perlu menjawab kuiz dalam talian.

Manakala di peringkat negeri pula, setiap pasukan perlu menghantar satu video berdasarkan topik yang telah ditetapkan dan perlu menjalani sesi temubual dengan panel hakim untuk layak ke peringkat seterusnya.

Pasukan yang menghasilkan video yang terbaik dan berjaya pada sesi temubual akan dipilih untuk bertanding di peringkat separuh akhir di mana mereka akan menyertai boot camp secara maya.

Pusingan akhir akan menyaksikan pasukan terbaik bersaing sengit dalam pertandingan kuiz interaktif dan sesi pembentangan kepada panel hakim yang terdiri daripada wakil industri dan pakar-pakar dari akademi. Pusingan ini akan dijalankan secara maya.

Sementara itu, pemenang tahun lepas, Ang Yi Jin, Loh Hong Sheng, dan Lim Wen Hao dari SMJK Jit Sin, Pulau Pinang, berkongsi bahawa mereka lebih menghargai Sains melalui pertandingan ini.

Mereka mula memahami bahawa Sains bukanlah satu subjek yang sering digambarkan iaitu susah dan membosankan.

Mereka menggalakkan pelajar-pelajar lain untuk mengambil manfaat daripada pertandingan ini bagi melakukan sesuatu perubahan.

“Kadang-kadang kita terlepas pandang sasaran utama kita. Sekiranya hanya fokus untuk menang, kita turut akan terlepas peluang untuk belajar dari kegagalan sendiri,” kata salah seorang daripada mereka.

Bagi yang berminat untuk menyertai pertandingan ini, anda boleh membuat pendaftaran sebelum tarikh akhir pada 10 Julai.

Sila pastikan guru mentor anda melakukan pendaftaran sebelum tarikh tutup.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.nsc.my/

Terdahulu, ASM merupakan sebuah badan berkanun saintifik di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).

ASM berusaha untuk menjadi badan pemikir negara dalam isu berkaitan sains, kejuruteraan, teknologi, dan inovasi. Kami menyediakan platform untuk pertukaran idea di antara ahli akademik, pembuat dasar, masyarakat sivil dan industri.

ASM mempunyai 800 pakar dalam bidang Sains Kejuruteraan, Sains Perubatan dan Kesihatan, Sains Biologi dan Alam Sekitar, Teknologi Maklumat dan Sains Komputer, Sains Kimia, Matematik, Fizik, Sains Bumi, Teknologi Sains dan Industri Pembangunan, serta Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Kegiatan utama kami termasuklah melakukan tinjauan pandangan jauh dan strategik, menerajui program strategik berasaskan sains di peringkat nasional, serantau, dan global. Etos kami adalah "Budayakan Sains, Raikan Teknologi, Cetuskan Inovasi”.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan