no image

'Ayah cakap nak beli komputer riba, tapi tak sempat. Rehatlah ayah, moga tenang di sana'

Azliyana Sulaiman
27 Apr 2021 04:20am
A
A
A

KUALA NERANG - "Sebelum ayah meninggal, ayah ada memberitahu mahu membeli komputer riba pada saya tapi arwah terpaksa tangguhkan hasratnya kerana perlu membeli telefon kepada adik untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Demikian kata mahasiswa Semester Dua Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan dengan Kepujian, Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Nazmi Asyraf Abdul Rafi’ kepada GPS Bestari.

Menurutnya, komputer riba sangat penting untuk dia mengikuti pengajian dalam bidang tersebut.

"Arwah (Abdul Rafi’ Ismail) meninggal akibat serangan jantung. Tapi arwah nak sangat lihat saya miliki komputer riba yang dia beli. Namun, ayah tak sempat nak buat semua itu," kata Ahmad Nazmi Asyraf sedih.

Menurut Ahmad Nazmi Asyraf, jika ada rezeki, dia memang mahukan gajet tersebut untuk digunakan sepanjang pengajian di UUM.

"Jika ada rezeki, saya memang mahukan," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali yang dimaklumkan tentang keadaan Ahmad Nazmi Asyraf itu telah menziarah dia dan keluarganya di rumah dengan membawa sebuah komputer riba untuk pelajar ini.

"Saya mahu Ahmad Nazmi Asyraf bersabar dan menumpukan perhatian dalam pelajaran.

"Diharapkan dengan sumbangan komputer riba ini, dapatlah dia belajar dengan baik dan terus cemerlang dalam apa jua bidang selepas ini," katanya dengan menambah sekiranya Ahmad Nazmi Asyraf memerlukan sebarang bantuan, bolehlah menghubungi pihak universiti.

Turut hadir pada sesi serahan komputer riba di rumah pelajar itu ialah Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), Prof Madya Dr Rajwani Md Zain.

Sementara itu, Ahmad Nazmi Asyraf yang masih bersedih dengan kehilangan arwah ayah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Dr Hendrik dan Dr Rajwani yang datang menziarahi mereka sekeluarga.

Terdahulu, SSSD UUM di bawah kelolaan Dr Rajwani menyediakan pelbagai kemudahan dalam membantu pelajar-pelajar yang kurang kemampuan.

Antara yang disediakan adalah menguruskan pinjaman, biasiswa, perkhidmatan insurans, bantuan kepada Orang kelainan Upaya (OKU), kebajikan kepada pelajar orang asli, komputer riba dan khairat kematian.

Artikel menarik

Kembali kepada PdPR. Guru dan murid akan belajar dari rumah 2 minggu selepas cuti Aidilfitri

6 tip sahur ini bantu kekal bertenaga sepanjang hari, guru dan pelajar boleh cuba nanti

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan