HomeKomunitiBajet bantu susun kewangan, atasi kesan kenaikan harga barang

Bajet bantu susun kewangan, atasi kesan kenaikan harga barang

Kebelakangan ini ramai mengeluh mengenai kenaikan harga barang yang telah menyebabkan poket mereka semakin menipis sedangkan barang dibawa pulang semakin sedikit.

Kesan kenaikan harga barang memang amat dirasai dan ia dicerminkan oleh semakan semula RAM Ratings terhadap unjuran inflasi negara untuk tahun ini yang meningkat kepada tiga peratus berbanding 2.5 peratus sebelum ini.

Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan menjelaskan, semakan tersebut mengambil kira perubahan terbaharu subsidi dan harga siling bagi barangan makanan harga terkawal utama. Ia termasuk pelepasan kos bahan api dan penjanaan yang tinggi daripada yang dijangkakan.

Inflasi yang berlaku pada masa kini adalah disebabkan kenaikan harga berikutan penarikan subsidi minyak masak dalam botol dan harga siling yang tinggi bagi barangan makanan seperti ayam serta telur berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Sehubungan itu, RAM Rating berkata, inflasi makanan telah meningkat kepada 5.2 peratus pada Mei lalu, berbanding 3.2 peratus pada Disember 2021.

Bukan sahaja mereka yang bekerja dan berkeluarga malah penuntut universiti turut terkesan dengan kenaikan inflasi makanan apabila harga makanan siap masak juga meningkat berbanding sebelum ini.

Dengan jumlah pendapatan, biasiswa atau elaun yang tidak bertambah, kebanyakannya perlu mengambil langkah proaktif menyusun semula perbelanjaan supaya tidak tersepit atau lebih malang lagi perlu meminjam untuk kelangsungan hidup.

Antara langkah paling penting yang disarankan perancang kewangan ialah dengan menilai semula perbelanjaan semasa dan membandingkannya dengan pendapatan.

Keperluan membuat bajet bukanlah satu perkara yang boleh dipandang mudah, sebaliknya sangat digalakkan memantau perbelanjaan supaya ia terkawal dan tidak melebihi pendapatan.

Langkah pertama bagi menilai perbelanjaan adalah mengenal pasti pembelian yang tidak perlu dan berasaskan kehendak kerana ia merupakan antara musuh utama dalam pengurusan kewangan.

Perbelanjaan tidak perlu ini biasanya adalah pembelian runcit yang kita rasakan kecil tetapi sebenarnya apabila di kumpul, mampu memberi sedikit nafas kepada kewangan kita sekiranya dielakkan.

Mungkin dengan mengetepikan perbelanjaan berasaskan kehendak ini, ada yang berasakan kehidupan menjadi kurang nikmat. Namun, dalam keadaan persekitaran ekonomi yang memerlukan kita berjimat, pilihan terbaik untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih selesa ialah dengan mengutamakan keperluan seperti barangan makanan, pengangkutan dan tempat tinggal.

Janganlah pula kerana keengganan kita mengubah gaya hidup menyebabkan bayaran ansuran rumah atau kereta tertunggak hingga akhirnya ia ditarik atau terpaksa dilelong.

Istilah ‘biar papa asal bergaya’ perlu dielakkan supaya kita tidak menjadi hamba kepada gaya hidup, sebaliknya biarlah kita yang menjadi pemilik dan penentu bagaimana pendapatan kita digunakan.

Tabiat menggunakan kad kredit untuk membiayai perbelanjaan harian perlu dibuang kerana ia hanya akan menambah beban jangka panjang.

Kesilapan membiarkan hutang menjadi sumber untuk membiayai gaya hidup menyebabkan kita berdepan masalah hutang berpanjangan.

Justeru, ketika berdepan waktu sukar pada masa kini, didiklah diri untuk hidup lebih sederhana dan jika boleh mulalah melabur untuk membina tabungan sebagai sandaran masa hadapan.