portal-buletin3
portal-buletin3

Bank Makanan UCSI bantu lebih 3,000 keluarga

Mariatul Qatiah Zakaria
02 Nov 2021 11:06am
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kumpulan UCSI mengambil inisiatif melancarkan program Bank Makanan buat julung kalinya bagi membantu golongan memerlukan dan sepanjang pelaksanaannya lebih 3,000 keluarga di sekitar Lembah Klang telah dibantu.

Ketua program, Ts Lucas Lim berkata, pihaknya menerima sumbangan pelbagai barangan keperluan seperti beras, minyak, mi segera, makanan dalam tin, biskut serta wang tunai secara keseluruhan bernilai melebihi RM50,000.

“Semoga sumbangan kita semua akan membawa sinar kebahagiaan kepada keluarga yang memerlukan lebih lagi ketika semua orang sedang berdepan saat sukar termasuk hilang pekerjaan atau dipotong gaji.

“Tapi saya tidak mahu Bank Makanan ini hanya sekadar bank makanan, saya berharap kita boleh jadikan lebih daripada itu. Sebab makanan yang disumbangkan ini mungkin bertahan untuk beberapa hari atau seminggu tapi sebenarnya mereka ini memerlukan sokongan yang lebih.

“Oleh itu, Bank Makanan kami turut menawarkan sesi kaunseling dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat bantuan yang lain,” katanya.

Beliau yang juga merupakan pensyarah De Institute of Creative Arts and Design, Universiti UCSI berkata, pihaknya turut mengambil inisiatif membantu beberapa keluarga yang memerlukan pekerjaan bagi meneruskan hidup.

“Kita bantu mereka mendapatkan pekerjaan untuk menampung hidup untuk masa depan dan syukur ada penaja yang sudi membantu menyediakan pekerjaan dari rumah.

“Setidaknya usaha ini dapat menjamin pendapatan berterusan kepada keluarga-keluarga ini,” katanya.

Sepanjang lebih sebulan pelaksanaan Bank Makanan yang beroperasi di Blok G Universiti UCSI itu, kakitangan UCSI bergilir-gilir dan berganding bahu memastikan pengagihan makanan tersebut berjalan lancar.

“Kita beroperasi di dalam kawasan universiti tapi apabila ada maklumat diterima kami akan hantar ke kawasan tertentu mengikut situasi. Sebab kadang-kadang penerima tiada kenderaan untuk ke sini jadi kami ambil inisiatif ke rumah mereka.

“Operasi Bank Makanan banyak menerima bantuan tenaga daripada kakitangan UCSI termasuk dari Institut Muzik, Kolej UCSI, Kumpulan Hal Ehwal Korporat, Fakulti Sains Gunaan, University Trust serta pelajar UCSI,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan