wardah
wardah

Beg sekolah berat: Penuntut IPT kongsi pengalaman dan cadangan

Nor Azma  Muhamat Laila
07 Mar 2022 04:44pm
A
A
A

Isu beg sekolah berat yang sudah lama menjadi perbualan dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa, guru-guru dan murid mungkin tidak ada kena-mengena dengan penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, selepas mengambil kira isu berkenaan yang sudah mula dibincangkan sejak lebih berpuluh tahun lalu, sudah tentunya mahasiswa pada hari ini juga pernah melalui pengalaman sama ketika berada di bangku sekolah.

Minggu ini, Sinar Bestari kongsikan beberapa pengalaman daripada pelajar IPT mengenai isu beg berat yang pernah mereka alami dan beberapa cadangan penyelesaian yang mungkin boleh diambil kira bagi mengatasi masalah berkenaan.

Semoga ia memberi panduan dan manfaat kepada semua pihak berkaitan di luar sana terutama Kementerian Pendidikan (KPM), ibu bapa, pengurusan sekolah, guru-guru dan murid itu sendiri.

Apa Kata Mereka

Muhammad Afnan.

"Saya akan meninggalkan beberapa buah buku terutamanya buku teks di tempat yang disediakan di dalam kelas iaitu ruangan bawah meja supaya tidak timbul isu terpaksa membawa beg berat ke sekolah. Setiap pagi, saya akan menyusun buku mengikut jadual ditetapkan sebelum ke sekolah dengan mengayuh basikal bersama-sama beg sekolah yang diletakkan di tempat duduk belakang.

"Isu ini boleh diselesaikan oleh beberapa pihak iaitu ibu bapa, pelajar dan juga guru. Seeloknya ibu bapa membeli beg yang sesuai untuk anak-anak mengikut keselesaan bagi mengelakkan kecederaan. Selain itu, pelajar juga perlu bijak dalam menyusun buku-buku serta isi kandungan beg mengikut jadual pembelajaran.

"Seterusnya, guru-guru haruslah menyediakan ruang simpanan buku di sekolah dan juga memaklumkan kepada pelajar secara spesifik jenis buku yang ingin digunakan. " - Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Afnan Arzahari.

Mohd Firdaus.

"Kadang kala saya terpaksa bawa beg lebih untuk tampung buku-buku yang sudah tidak muat dalam beg yang utama. Bila dah lebih muatan, faham-fahamlah beg pun akan koyak. Apabila datang malas, buku yang banyak tadi kadang-kadang saya letak bawah laci meja untuk ringankan beban hari seterusnya. Kalau ada kerja rumah, saya siapkan awal untuk rujuk buku teks tersebut dan tinggal dalam laci di sekolah.

"Jadi berdasarkan pengalaman yang saya lalui ini, jalan penyelesaian yang patut diambil tindakan oleh pihak sekolah adalah mewujudkan lokar atau laci khas untuk setiap murid bagi memudahkan mereka simpan buku mahupun barang dalam lokar tersebut.

"Selain itu, kalau kita lihat peredaran zaman sekarang canggih dengan teknologi tinggi. Semuanya di hujung jari. Mungkin boleh diambil kira untuk menggunakan buku teks digital ataupun e-book yang boleh diakses oleh semua murid sekolah rendah kerana ia mudah dan dapat mengurangkan beban." - Pelajar Bacelor Komunikasi (Kewartawanan), Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Firdaus Muhammed Noh.

Muhammad Fatkhurrozak.

"Pengalaman membawa banyak buku sekolah ditambah pula dengan botol air, baju sukan dan peralatan alat tulis menyebabkan beg mulai koyak selepas enam bulan bersekolah. Oleh itu, saya cadangkan penggunaan buku tulis dihadkan kepada satu atau dua buku untuk satu mata pelajaran mengikut kesesuaian manakala pihak sekolah pula boleh menyediakan almari atau kotak tambahan yang akan diletakkan di dalam kelas supaya murid-murid boleh meletakkan buku teks atau buku tulis di dalam bekas tersebut dan mereka hanya membawa pulang kerja rumah serta buku mata pelajaran yang diperlukan untuk ulang kaji sahaja.

"Selain itu, cadangan menggunakan alat bantu mengajar seperti gajet atau teknologi yang lain boleh diketengahkan kerana ia juga dapat mengurangkan berat beg sekolah." - Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi.

Wardah Masitah.

"Setiap hari saya terpaksa membawa lebih daripada 15 buah buku ke sekolah kerana setiap subjek mempunyai satu buku teks, buku latih tubi dan juga buku latihan untuk menulis nota atau kerja rumah. Saya rasa satu subjek memerlukan sekurang-kurangnya empat hingga lima buah buku. Bayangkan, dengan badan yang agak kecil, saya membawa beg sekolah yang bersaiz besar dan berat sehinggakan ada yang menggelarkan saya kura-kura disebabkan saiz beg lebih besar daripada badan sendiri.

"Pernah juga ibu tukar beg sekolah jenis beg beroda tetapi tempoh hayatnya sekejap sahaja kerana keadaan jalan raya kampung yang berbatu dan berlumpur menjadikan beg beroda ala-ala kayangan tadi rosak dan tidak berfungsi lagi. Ini menyebabkan saya kembali mengangkat buku-buku menggunakan beg kura-kura tadi.

"Oleh itu, untuk mengatasi masalah ini, saya cadangkan supaya sekolah menyediakan lokar atau kotak khas untuk buku murid-murid agar mereka tidak perlu bersusah-payah mengangkat beg yang berat ulang alik ke sekolah setiap hari, terutama bagi sekolah bertingkat.

"Cadangan untuk mengurangkan jumlah subjek yang diajar setiap hari juga adalah satu solusi yang relevan dilaksanakan pada masa kini kerana murid tidak lagi perlu membawa beg yang besar dan buku teks yang banyak sebaliknya hanya buku untuk beberapa subjek sahaja dan dalam masa yang sama, minat mereka untuk menuntut ilmu serta datang ke sekolah juga dapat ditingkatkan." - Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Kepujian, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Wardah Masitah Serubih.

Azreen Junaida.

"Saya kongsikan pengalaman tiga orang anak sendiri yang terpaksa membawa beg berat ke sekolah setiap hari. Anak Tahun Enam perlu bawa empat buah buku untuk setiap subjek setiap hari sehingga saya terpaksa membelikan beg tarik untuk dia tetapi diperli pula oleh guru kerana masih membawa beg seperti murid tahap satu.

"Seorang lagi anak saya berada di Tahun Lima dan merupakan pelajar khas (buta) turut mengalami masalah sama dan jika ada hari yang perlu menyiapkan kerja sekolah, memang penuh beg untuk ditarik bawa pulang. Kalau tinggal buku teks di sekolah, nanti cikgu marah tidak buat kerja sekolah." - Pelajar Doktor Falsafah Kejuruteraan Sel Fuel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Azreen Junaida Abd Aziz.

Nurul Shalihin.

"Pengalaman saya ketika kecil dahulu, sering lenguh-lenguh bahu dan badan kerana menyandang beg sekolah yang berat setiap hari. Zaman saya sekolah rendah lebih ekstrem. Bukan hanya beg sekolah berat, saya juga membawa bag tote untuk diletakkan fail atau baju sukan dan kadang-kadang bekal makanan. Bayangkan berapa banyak beban dibawa sekujur tubuh kecil seorang pelajar sekolah rendah.

"Ketika zaman sekolah rendah, saya tidak menyimpan buku teks di bawah meja kerana risau akan hilang. Jadi, saya membawa pergi dan balik ke sekolah setiap hari. Begitulah rutin harian sepanjang Tahun Satu hingga Enam.

"Namun hari ini, saya merasakan tidak lagi wajar untuk kanak-kanak sekolah rendah dibebankan dengan hal sedemikian kerana ia akan memberi kesan sampingan kepada otot leher, sakit belakang, lenguh bahu dan lengan selain mudah penat dan letih.

"Oleh itu, pihak sekolah bersama ibu bapa perlu cakna akan isu ini. Penambahbaikan boleh dibuat dengan menyediakan tempat simpanan buku teks seperti storage box atau rak buku persendirian.

"Dengan kemudahan teknologi seiring dunia maju hari ini, seharusnya anak-anak sekolah rendah juga boleh menikmati sebahagian besar kemudahan tersebut seperti sistem G-drive daripada Google, subjek diajar dengan menggunakan slides dan e-buku. Latihan diberikan secara maya, nota dibuat secara padat dan ringkas di dalam bentuk PDF." - Pelajar Bacelor Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul Shalihin Basri.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan