HomeKomunitiBelia Prihatin Lancar Kempen Misi Malaysia Gembira Sempena Bulan Kemerdekaan & Sambutan...

Artikel Berkaitan

Belia Prihatin Lancar Kempen Misi Malaysia Gembira Sempena Bulan Kemerdekaan & Sambutan Hari Malaysia 2021

Sebagai sebuah kolektif anak muda yang cintakan negara, baru-baru ini Kelab Belia Prihatin telah mengambil inisiatif melancarkan kempen Misi Malaysia Gembira sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September depan.

Menurut Pengasas kelab tersebut, Luqman Hakim Md Zim, 25, melalui kempen tersebut pihaknya akan mewujudkan hub belia gembira dengan memberi kemudahan talian jalur lebar di 10 buah flat kos rendah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Luqman Hakim Md Zim

Sehubungan untuk tambahnya, mereka menyasarkan kutipan dana sebanyak RM 200,000 bagi merealisasikan hub tersebut.

“Selain kempen utama untuk mewujudkan hub belia gembira, terdapat dua inisiatif lain yang dirancang iaitu projek bakul gembira yang sudah mula diagihkan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan projek kayak gembira yang bakal memanfaatkan tasik-tasik yang berhampiran dengan kawasan yang tinggi penduduk berkategori miskin bandar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Tujuan inisiatif-inisiatif ini dirangka agar ia dapat menyediakan ruang yang kondusif untuk anak muda dan keluarga berpendapatan rendah untuk melakukan aktiviti pembelajaran dari rumah di samping meringakan beban dan juga mengurangkan tekanan mereka yang terperap di rumah,” ujarnya.

Projek bakul gembira sudah diagihkan sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ulas Luqman Hakim lagi, Kelab Belia Prihatin berharap projek kayak gembira dapat meningkatkan tahap kesejahteraan mental sekaligus mengurangkan kes kemurungan dalam kalangan penerima faedah melalui aktiviti fizikal dan senaman yang menyeronokkan.

Bagaimanapun, projek kayak gembira ini hanya akan dilaksanakan apabila kerajaan telah membenarkan aktiviti riadah dilakukan.

Dalam usaha menyemarakkan lagi kempen ini, ia turut melibatkan beberapa rakan strategik daripada agensi-agensi kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN) dan beberapa rakan badan bukan kerajaan (NGO).

Mengulas lanjut mengenai kempen tersebut, Luqman Hakim menjelaskan, kutipan dana akan dikumpul melalui derma dalam talian di linktr.ee/belia prihatin.my.

Kemuncak kempen tersebut, beritahu Luqman Hakim, pihaknya akan membuat larian solo 12 jam tanpa henti di Sepang International Circuit sekaligus membuat percubaan memecahkan rekod Malaysia Book of Records.

Artikel Terkini