Untitled design
Untitled design

‘Beliau kekuatan kami’ - Cikgu Samsuri gagal tahan sebak bila dapat tahu pengetua bersara

Roshlawaty Md Raieh
27 Jul 2021 05:50pm
A
A
A

“Hati saya cukup sebak. Banyak kenangan manis sepanjang Mahamad Shukri Said atau lebih mesra dipanggil Tn Haji menerajui sekolah ini.

“Mana mungkin saya lupakan segala-galanya. Kerana sokongan dan kata-kata semangat beliaulah, saya memohon jawatan Guru Cemerlang (GC) hingga saya berjaya,” kata GC Sejarah, Cikgu Samsuri Amin dari Sekolah Menengah (SM) Sains Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan.

Berkata kepada Sinar Bestari, Cikgu Samsuri memberitahu, Tn Haji Mahamad Shukri merupakan Pengetua Cemerlang SM Sains Labuan yang bersara wajib baru-baru ini.

“Memang terkejut dan tak sangka, sebegini cepat masa berlalu. Beliau seorang yang sangat mengambil berat semua pendidik di sekolah ini.

“Banyak pengalaman manis bersama beliau. Paling sukar untuk saya lupakan apabila diberi kepercayaan memangku jawatan Penolong Kanan Kokurikulum buat sementara waktu. ALLAH, saya rasa sangat kerdil sangat pada waktu itu,” ujar Cikgu Samsuri lagi.

Cikgu Samsuri (kanan) bersama Tn Haji (tengah) ketika mengikuti salah satu program, baru-baru ini.

Sebagai kenangan untuk diingati, Cikgu Samsuri bingkiskan sedikit coretan sebagai tanda penghargaannya kepada pengetua disayangi.

Ini coretan ikhlas daripada Cikgu Samsuri.

*****

Oktober 2014

'"Cikgu Sam minta pindah lagi?" kata salah seorang rakan ketika kami sama-sama berada di kantin selepas sesi pengajaran.

Kebetulan, ketika kami rancak berbual, Tn Haji (Pengetua) turut bersarapan dikantin sekolah.

Tn  Haji bertanyakan permohonanku untuk berpindah sekolah.

Masa beliau bertanyakan perkara itu, ia adalah permohonan kali keempat  untuk aku berpindah dari SM Sains Labuan (2013 - 2 kali isi pindah) dan (2014 - 2 kali isi pindah).

Baru sahaja reposting balik Labuan (2013) dah minta pindah. Empat  kali mohon pindah, tiga bulan Cuti Tanpa Gaji (CTG)

Kenapa minta pindah? Tak boleh follow sistem SBP. Siapa cakap mengajar di SBP senang...dipersilakan mohon.

Tiga bulan CTG, empat kali mohon pindah. Jika aku dibawah pimpinan orang lain mungkin aku sudah dicop guru bermasalah, guru yang tiada misi/tujuan dan lain-lain.

Tn Haji sebaliknya...

Ditawarkan pula aku memangku jawatan Penolong Kanan Kokurikulum, katanya buat sementara menunggu jawatan tersebut diisi. Mulanya aku menolak dan memberikan beberapa alasan, akhirnya terpaksa akur dan katanya buat sementara waktu sahaja sehingga jawatan diisi (masa ni aku gred DG44), tidak layak memegang jawatan pentadbiran.

Atas arahan, terpaksa juga aku menjalankan tugas tersebut. Kebajikan sentiasa terjaga, aku dibayar elaun memangku gred DG48, ayat SEMENTARA jawatan diisi itu berjalan selama dua tahun empat bulan, satu tempoh yang agak panjang dan akhirnya jawatan tersebut diisi oleh pegawai selayaknya (gred DG48).

Aku?

Akhirnya aku boleh fokus pada akademik. Tiada istilah kecewa, bersyukur terlepas satu beban yang sangat berat memandangkan dalam menjalankan tugas Penolong Kanan Kokurikulum itu, aku juga mengajar kelas SPM. Fokus dua benda dalam satu masa, memang berat dan membebankan.

Tn Haji pula sentiasa memberi motivasi dan mendorong guru-guru untuk MAJU dalam kerjaya.

2017...

Aku nekad tidak lagi mahu terlibat dalam pentadbiran. Mencari jalan untuk mengelak daripada jawatan pentadbiran dan akhirnya jalan tersebut ialah jawatan GC.

Tidak pernah terlintas untuk memegang jawatan tersebut. Layak kah aku? Abaikan, janji lepaskan diri dulu dari pentadbiran.

Ku mohon GC48 walaupun borang ku hantar last minit. Tanpa persediaan yang rapi, hanya sekadar mencuba nasib malah aku mendapat sokongan yang kuat daripada pentadbir terutama Tn Haji.

Sehingga kini Tn Haji sentiasa menggalakkan guru-gurunya memohon GC dan membuat persediaan daripada awal.

Kemudian, aku akhirnya berjaya mendapat kenaikan GC48, dan sokongan Tn Haji makin kuat, makin menggalakkan.

Ku mohon pula GC52 tahun lepas. Ada peristiwa yang pastinya akan ku ingat sampai bila-bila semasa permohonan kali ini.

Minggu-minggu akhir sbelum penilaian, dalam perhimpunan guru (Morning Talk), Tn Haji mengingatkan guru-guru untuk sama-sama menyokong calon-calon yang memohon GC dan memberi dorongan agar guru-guru lain turut memohon pada masa-masa akan datang.

Pada hari sebelum penilaian, Tn Haji maklumkan yang dia akan menghadiri program JPN dan tidak dapat bersama calon-calon GC untuk dinilai, agak kecewa pada masa ini kerana Tn Haji merupakan antara kekuatan kami untuk memohon GC.

Kami perlukan sokongan yang kuat daripada Tn Haji dan kehadirannya menguatkan lagi semangat kami untuk berjuang.

Hari penilaian dinanti tiba, pagi itu Tn Haji maklumkan telah menghantar wakil (PK) menghadiri program JPN dan dia akan berada di sekolah.

Aku? Perghhh, semangat lain macam. Terharu pun ada, sebab kami memang memerlukan Tn Haji pada masa-masa begini untuk menguatkan lagi evidens keberhasilan kami.

Alhamdulillah, bersyukur sangat-sangat dan bulan April tempoh hari keluar keputusan GC dan sekali lagi aku BERJAYA. Alhamdulillah, rezeki tidak pernah salah alamat.

Buat Tn Haji yang akan bersara pada hari ini, kejayaan anak-anak SM Sains Labuan dalam menempatkan subjek Sejarah SPM 2020 di kedudukan tertinggi di Malaysia (No.1) dengan GPMP 0.32 dan 100 peratus A (pencapaian terbaik SM Sains Labuan sepanjang 31 tahun SPM) kami dedikasikan khas buat Tn Haji yang sentiasa mendorong kecemerlangan warga sekolah.

Terima kasih banyak Tn Haji Mahamad Shukri.

Terima kasih atas segala peluang dan sokongan Tn Haji sepanjang saya berkhidmat dibawah pimpinan Tn Haji.

Terima kasih juga atas segala nasihat, teguran dan bimbingan.

Selamat bersara. Semoga dimurahkan rezeki dan dilimpahkan kebahagiaan yang berpanjangan hendakNya, Insya-ALLAH.

Artikel berkaitan 

Beri motivasi menerusi penulisan, usaha gigih guru besar ini tarik perhatian ramai

Kepelbagaian usaha guru SMK Bandar Tasik Kesuma, untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik

Pembelajaran dalam talian dapat kurangkan beban kewangan pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan