WhatsApp Image 2021-11-05 at 8.38.29 AM
WhatsApp Image 2021-11-05 at 8.38.29 AM

Betul ke tidak gah dan tidak popular? Ikuti pandangan pakar tentang pengajian ke Tingkatan 6

Roshlawaty Md Raieh
15 Nov 2021 02:25pm
A
A
A

Meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam bagaikan menjadi pilihan terakhir dalam kalangan pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini kerana, Tingkatan Enam dianggap ‘tidak gah’ dan ‘tidak popular’ berbanding melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Pengarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Hayati Ismail berkata, orang ramai khususnya pelajar tidak seharusnya memandang rendah pengajian Tingkatan Enam kerana ia masih memiliki kekuatan dan kelebihan yang tersendiri.

“Pelajar Tingkatan Enam beruntung kerana mereka masih berpeluang menimba ilmu. Apatah lagi, peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bakal diduduki diiktiraf setaraf dengan A-Level dan diterima sebagai kelayakan masuk bagi program ijazah sarjana muda di universiti tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu, kos pengajian yang lebih rendah bagi mereka yang mempunyai masalah kewangan tentunya perkara yang cukup menggembirakan. Jadi, bersyukurlah bagi yang terpilih untuk belajar ke tahap tertinggi. Sekurang-kurangnya ini merupakan peringkat untuk pelajar menjadi lebih matang sebelum menempuh dunia luar,” ujarnya.

Dr Hayati

Ditanya berkenaan transformasi yang telah dilakukan untuk pembelajaran Tingkatan Enam menerusi penjenamaan semula, Dr Hayati berkata, perubahan tersebut sebagai salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 di mana pandangan pihak berkepentingan telah diambil kira dalam usaha tersebut.

“Transformasi ini bertujuan untuk menganjak persekitaran pembelajaran daripada model lepasan menengah kepada model prauniversiti.

“Usaha ini telah menjadikan kelayakan Tingkatan Enam setanding dengan program prauniversiti yang ditawarkan oleh IPT awam dan swasta pada masa ini. Sekolah yang menawarkan Tingkatan Enam telah pun diberi lebih kuasa membuat keputusan bagi memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk mengupayakan pelajar mereka menjadi lebih bersedia untuk kemasukan ke universiti.

“Misalnya, melonggarkan syarat pemakaian pakaian seragam sekolah untuk pelajar Tingkatan Enam. Mereka juga diberi lebih peluang untuk mengembangkan bakat kepimpinan dan kemahiran insaniah melalui pertambahan peranan dan pilihan aktiviti sukan, kokurikulum dan khidmat komuniti sebelum dan semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Berdasarkan kejayaan transformasi yang ketara dari segi kurikulum, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), imej dan penerimaan masyarakat mengenai Tingkatan Enam, Dr Hayati berkata, kita berada di landasan yang betul untuk meneruskan program itu.

“Apa yang penting adalah untuk KPM memastikan tenaga pengajar yang berkualiti terus berada dalam ekosistem pendidikan sekarang.

“Asas penyelidikan perlu diberikan kepada pelajar Tingkatan Enam supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Kita harus sedar bahawa pendidikan hari ini adalah untuk menyediakan pelajar menjadi pemimpin masa hadapan, tidak kira di mana mereka berada. Kurikulum yang dilaksanakan perlu bersifat lebih futuristik bagi menyediakan pelajar dengan ilmu, kemahiran dan nilai yang relevan,” ujarnya.

Terima dengan hati terbuka

Sementara itu, Guru Akademik Sejarah Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, Kangar, Perlis, Cikgu Norzuraini Abdul Mutalib memberitahu, pelajar yang terpilih ke Tingkatan Enam perlu menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

“Ada banyak kelebihan dan keistimewaan bagi mereka yang naik ke Tingkatan Enam. Antaranya, pelajar dapat menyambung pelajaran ke peringkat ijazah selepas keputusan STPM diumumkan.

“Sistem peperiksaan STPM di Tingkatan Enam sekarang juga memberi kelebihan kepada pelajar untuk mengulang subjek yang gagal. Bagi pelajar yang sederhana pencapaian, ini memberi ruang kepada mereka untuk memperbaiki keputusan masing-masing.

“Satu lagi kelebihan adalah bagi pelajar yang berminat dengan kursus perguruan, menggunakan keputusan STPM dari Tingkatan Enam adalah merupakan pilihan yang tepat. Kesesuaian subjek memberikan peluang kepada mereka untuk memilih kursus perguruan di peringkat ijazah nanti,” katanya.

Cikgu Norzuraini

Jelas Cikgu Norzuraini, pelajar STPM tidak terkecuali berhadapan cabaran sepanjang pandemik berlaku.

“Sebelum pandemik kebanyakan guru melaksanakan pembelajaran secara bersemuka sepenuhnya. Guru dapat berinteraksi secara langsung dengan pelajar di dalam kelas dan mendapat maklum balas secara terus daripada mereka. Ini bagi membantu guru menggunakan pendekatan berbeza yang lebih sesuai dengan keperluan pelajar.

“Semasa pandemik pula, pendekatan secara dalam talian menjadi pilihan utama guru bagi memastikan pembelajaran terus berlaku. Meskipun menghadapi cabaran untuk memastikan tahap kefahaman pelajar semasa pembelajaran dilakukan, tetapi ini dapat diatasi melalui komunikasi yang berterusan menggunakan aplikasi seperti Whatsapp dan Telegram. Pelajar dapat menyatakan masalah dan persoalan berkaitan pelajaran pada setiap masa dengan guru,” tuturnya lanjut.

Walaupun pelbagai cabaran dihadapi oleh pelajar semasa berhadapan pandemik, diharapkan mereka lebih kuat berusaha dan gigih dalam memastikan masa depan yang lebih cemerlang.

Anggaplah pandemik ini sebagai satu ujian yang perlu dihadapi untuk menyediakan mereka dengan cabaran kerja pada masa akan datang.

Perlu buang stigma

“Stigma STPM sukar dan Tingkatan Enam tidak penting perlu dikikis dengan segera.” Demikian kata Penolong Kanan Tingkatan 6, SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Terengganu, Cikgu Rohani Said.

Ujarnya, pelajar yang menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam harus memiliki sifat rajin.

“Bila rajin, anda pasti meraih keputusan cemerlang dalam STPM. Fakta ini berdasarkan pengalaman saya sebagai guru di sini apabila ada pelajar yang kurang menyerlah dalam SPM (sekadar 1A sahaja) namun mampu muncul sebagai pelajar cemerlang dengan mendapat 4.00 (straight A) sebelum ini,” katanya.

Cikgu Rohani

Jelas Cikgu Rohani, pengajian di Tingkatan Enam cukup mudah. Pelajar hanya mengambil masa setahun setengah (tiga semester) untuk menghabiskan mata pelajaran yang diambil.

“Di SMK Sultan Sulaiman, pelajar dibahagikan kepada dua aliran iaitu aliran Sains Sosial dan Sains.

“Sebanyak 13 subjek ditawarkan iaitu Pengajian Am dan MUET (wajib diambil), Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Pengkomputeran, Seni Visual, Matematik T, Kimia, Fizik dan Biologi.

“Sepanjang pengajian, akan ada peperiksaan yang diduduki pelajar dan keputusan keseluruhan calon akan dikira menggunakan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK),” ujarnya.

Cikgu Rohani menasihatkan kepada pelajar Tingkatan Enam supaya sentiasa fokus dan jangan bertangguh dalam apa jua yang dilakukan.

“Kena ada matlamat yang jelas bila berada di Tingkatan Enam ini. Saya yakin, dengan tekad dan usaha yang tekun, kejayaan pasti menjadi milik pelajar,” katanya.

Dapat berpakaian biasa

Pembelajaran di Tingkatan Enam begitu menyeronokkan malah kesemua cikgu pula sangat ramah dan boleh dibuat kawan.

Itu pandangan pelajar Tingkatan Enam SMK Sultan Sulaiman, Wan Mohammad Najmuddin Wan Mohd Ridhwan, 18.

Katanya, Tingkatan Enam bukan seperti dulu lagi. Banyak transformasi telah dilakukan dan ini sememangnya perkembangan yang dinanti-nantikan para pelajar.

Wan Mohammad Najmuddin

“Saya dan rakan dibenarkan untuk memakai pakaian biasa iaitu pakaian kasual, baju batik, pakaian tradisional atau pakaian lain yang tertakluk dengan penetapan kod pakaian oleh KPM.

“Pemakaian ini menjadikan kami seolah-olah sedang belajar di IPT dan ia tentunya perkara yang membanggakan,” katanya yang mengikuti aliran Sains Sosial di sekolah tersebut.

Beritahu Wan Mohammad, rahsia untuk skor cemerlang dalam STPM cukup mudah.

“Cikgu selalu pesan, mesti fokus, selalu bertanya dan rajin ulangkaji pelajaran.

“Jika semua ini ada dalam diri pelajar, sudah tentu peluang ke menara gading cerah,” ujarnya.

INFO

Hala tuju pelajar STPM

Pelajar boleh memasuki universiti dengan menggunakan keputusan STPM. Dengan sistem peperiksaan modul yang baharu, di mana setiap semester akan diuji, gaya pembelajaran di Tingkatan Enam sama seperti di universiti. STPM setara dengan A-Level. Lepasan STPM juga boleh menyambung pelajaran di luar negara seperti di Australia, United Kingdom dan United States.

Artikel berkaitan 

‘Doakan saya diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang’

Belajar main gitar secara sendiri, ini 7 tip yang boleh anda ikut

STPM jalan pintas ke peringkat ijazah 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan