wan
wan

Bola jaring sukan untuk semua, aktiviti riadah yang turut dimainkan golongan lelaki

Nor Azma  Muhamat Laila
27 May 2022 01:12pm
A
A
A

Berbicara mengenai bola jaring, sudah tentunya ramai yang mengaitkan sukan berkenaan dengan perempuan kerana ia memang sinonim dimainkan oleh golongan berkenaan sejak dulu.

Namun begitu, tahukah anda bahawa bola jaring juga turut dimainkan golongan lelaki malah terdapat pertandingan di peringkat dunia yang turut dianjurkan membabitkan bola jaring lelaki.

Tidak kiralah ia dimainkan oleh perempuan atau lelaki, sukan ini boleh dijadikan sebagai riadah pilihan oleh pelbagai peringkat umur, bermula daripada pelajar sekolah sehinggalah golongan profesional bagi tujuan mengisi masa lapang dan memenuhi minat masing-masing.

Seperti kebanyakan sukan lain, bola jaring juga memerlukan kemahiran tertentu supaya setiap pemain berjaya memainkan peranan masing-masing ketika berada di dalam gelanggang bagi mengalahkan lawan seterusnya meraih kemenangan.

Berkongsi mengenai kemahiran yang diperlukan dalam sukan bola jaring, Jurulatih Bola Jaring Kebangsaan, Aminah Asaari, 57, berkata, terdapat empat kemahiran utama yang perlu dikuasai oleh atlet sukan berkenaan.

Aminah.

“Empat kemahiran asas ialah pergerakan, hantaran, menghadang dan menjaring. Setiap pergerakan pula terbahagi kepada beberapa jenis antaranya dodging dan drop back manakala hantaran pula membabitkan hantaran paras dada, bahu dan lantun.

“Begitu juga dengan kemahiran menghadang yang membabitkan hadangan satu lawan satu, menghadang dalam zon dan sebagainya manakala menjaring pula termasuklah menjaring statik dan dinamik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Kuasai kemahiran

Kemahiran dari aspek taktikal dan strategi juga sangat penting dalam sukan bola jaring selain pemain perlu belajar mengenai undang-undang serta peraturan bagi mengelakkan mereka dikenakan denda sekiranya melakukan kesalahan di dalam gelanggang.

Mengulas mengenai sukan bola jaring yang dimainkan oleh golongan lelaki, Aminah menjelaskan tiada perbezaan dalam sistem permainan sukan berkenaan sama ada membabitkan atlet lelaki atau perempuan.

“Sistem pemarkahan, undang-undang dan permainan itu kekal sama antara atlet lelaki dan perempuan, begitu juga kemahiran yang perlu dikuasai.

“Bagi pasukan bola jaring kebangsaan, kita sering mengadakan perlawanan dengan pasukan bola jaring lelaki untuk menguji sejauh mana prestasi atlet sebelum menyertai sebarang pertandingan terutama membabitkan kejohanan peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, pemain bola jaring kebangsaan, Nur Syafazliyana Mohd Ali, 29, berkongsi pengalaman bergelar atlet kebangsaan membolehkan dirinya membantu pasukan mendapat pingat emas dalam Kejohanan Sukan SEA pada 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Filipina.

Nur Syafazliyana.

“Saya memilih untuk bergiat aktif dalam bola jaring kerana sukan ini membolehkan saya bebas bergerak, boleh berlari, tangkap bola, membuat helah dengan pihak lawan sekali gus menjadikan permainan itu sangat menyeronokkan.

“Seperti kebanyakan atlet, saya juga berdepan cabaran tersendiri apabila mengalami masalah kecederaan lutut dan pengalaman pahit apabila kalah tipis ketika bertemu pasukan dari Singapura pada Sukan SEA 2015 seterusnya terpaksa akur dengan pingat perak,” kongsinya.

Tiada pengiktirafan

Dalam pada itu, jurulatih skuad bola jaring lelaki negara, Shaharezan Shahadin, 45, berkata, sukan berkenaan sudah lama dimainkan oleh golongan lelaki bukan saja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Bagaimanapun, persepsi masyarakat terhadap atlet lelaki yang memilih sukan bola jaring masih skeptikal malah sehingga ke hari ini, Persekutuan Bola Jaring Antarabangsa (IFNA) enggan mengiktiraf bola jaring lelaki.

“Perkara ini menyebabkan pasukan bola jaring lelaki yang ada perlu bergerak sendiri untuk menyertai mana-mana pertandingan sama ada di dalam negara atau peringkat antarabangsa.

“Dalam hal ini, pihak kami tidak pernah menyalahkan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana masalah utama berpunca daripada IFNA,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kebanyakan atlet bola jaring lelaki sudah mempunyai kerjaya masing-masing dan memilih sukan berkenaan kerana minat, mendapat galakan serta ajakan daripada rakan-rakan.

Shaharezan.

“Tidak ada salahnya jika lelaki bermain bola jaring. Jika bola sepak boleh dimainkan oleh wanita, kenapa tidak bola jaring malah pasukan lelaki pernah mencipta kemenangan di peringkat antarabangsa iaitu Johan Kejohanan Bola Jaring Lelaki Asia 2016,” katanya lagi.

Perkara itu turut dipersetujui pemain bola jaring lelaki kebangsaan, Muhammad Fazwan Ahmad Fauzi, 27, yang berpendapat sukan adalah untuk semua dan persepsi negatif terhadap golongan lelaki yang bermain bola jaring perlu diubah.

“Tidak dinafikan ada segelintir masyarakat yang berpendapat lelaki yang bermain bola jaring adalah golongan ‘lelaki lembut’ tetapi hakikatnya ramai atlet sukan ini tidak seperti yang digambarkan.

“Saya sendiri sebenarnya aktif bermain sukan yang sinonim dengan lelaki iaitu futsal tetapi mula menceburi bola jaring selepas terbabit mengendalikan pasukan bola jaring kerana tuntutan kerja serta mendapat ajakan daripada rakan-rakan,” katanya yang menjalankan tanggungjawab sebagai Jurulatih Kecergasan Pasukan Bola Jaring Negeri Pahang.

Muhammad Fazwan.

Ujar kakitangan di Pusat Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu lagi, pada mulanya keluarga tidak bersetuju dengan hasratnya untuk bergiat aktif dalam sukan bola jaring kerana khuatir dengan pergaulan dan persepsi masyarakat.

“Selepas lebih lima tahun bermain bola jaring, mereka sudah mula faham dengan minat saya ini yang turut menjadi kerjaya sampingan sehingga ke hari ini.

“Sukan ini banyak dimainkan oleh golongan lelaki bermula di peringkat universiti cuma tidak banyak pendedahan dibuat menyebabkan persepsi masyarakat sukar untuk diubah.

“Bagi pelajar yang berminat untuk menyertai sukan bola jaring ini, teruskan minat mereka dan cari saluran yang betul supaya bakat itu dapat diketengahkan di masa depan,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan