Cabaran dalam mengarus perdanakan pendidikan murid orang asli, ini pandangan Dr Abdul Ghafar
Cabaran dalam mengarus perdanakan pendidikan murid orang asli, ini pandangan Dr Abdul Ghafar

Cabaran dalam mengarus perdanakan pendidikan murid orang asli, ini pandangan Dr Abdul Ghafar

webadmin
01 Mar 2021 03:48am
A
A
A

Cabaran dalam mengarus perdanakan pendidikan murid orang asli, ini pandangan Dr Abdul Ghafar

Mungkin ramai yang kurang faham tentang definisi dan latarbelakang orang asli secara terperinci. Bagi mengetahui secara lebih jelas tentang definisi orang asli bolehlah dirujuk kepada peruntukan dalam  Akta 134,  Akta Orang  Asli 1954 yang jelas menyatakan bahawa istilah orang asli hanya digunakan bagi menjelaskan status penduduk asal Semenanjung  Tanah  Melayu atau Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, kaum peribumi di  Sabah dan  Sarawak tidak termasuk dalam pentafsiran ini. Secara etnografinya, kaum asli boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan atau suku kaum yang utama, iaitu Senoi, Melayu-Proto dan Negrito. Setiap suku kaum ini masing-masing mempunyai 6 sub-kumpulan, iaitu: Orang  Semai, Temiar,  Jahut,  Che  Wong, Mahmeri  dan Semoq Beri (Senoi),  Temuan, Semelai, Jakun, Kanaq, Kuala dan Seletar (Melayu-Proto) dan Kensiu, Kintak, Jahai, Lanoh, Bateq dan  Mendriq (Negrito).

Masyarakat Orang asli  (OA) adalah komuniti minoriti yang membentuk sebahagian daripada negara bangsa Malaysia.  Mengikut statistik terkini sepertimana dalam sistem i-Damak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) jumlah penduduk orang asli  ialah 207,169 (Senoi 113,890,  Melayu-Proto 87,161, dan Negrito 6118.

 Jumlah ini hanyalah mewakili tidak sampai pun 1 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.  Sebagai etnik minoriti dan dianggap ketinggalan berbanding bangsa-bangsa lain,  pihak kerajaan melalui pelbagai agensi khususnya Jabatan Kemajuan Orang asli  (JAKOA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pendikan Malaysia sentiasa  memberi  perhatian  serius  dalam  membangunkan  komuniti  asli.  

Pelbagai  strategi,  inisiatif  dan program telah dan sedang dirangka dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup dalam pelbagai bidang: Sosial, ekonomi, agama dan tidak ketinggalan dalam bidang Pendidikan. Kajian-kajian menganai status pendidikan murid Orang Asli  menunjukkan berlakunya kadar keciciran yang tinggi (drop out).  

Kajian oleh Prof.Madya Dr.Doris Padmini dan rakan-rakan (2012) menunjukkan kumpulan minoriti ini masih jauh ketinggalan dan mempunyai kadar keciciran dalam pendidikan yang tinggi dalam semua peringkat pendidikan bermula dari prasekolah hinggalah ke institusi pengajian tinggi. Kajian oleh  Fatan Hamamah pula menunjukkan hampir 50 peratus murid orang asli  berhenti sekolah selepas tahun enam.

Manakala sumber Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA, 2008- kini Jabatan Kemajuan Orang Asli /JAKOA) menjelaskan sebanyak 39.1 peratus pelajar orang Asli yang tamat darjah enam tetapi tidak mendaftar tingkatan satu. Sumber Kementerian Pendidikan pula menyebut hanya 30 peratus murid Orang Asli menamatkan pendidikan sekolah menengah, iaitu kurang separuh daripada purata kebangsaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2012).

Berdasarkan situasi tersebut, usaha-usaha membawa murid dan pelajar Orang Asli dalam arus perdana sistem Pendidikan untuk bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini yang jauh terkehadapan adalah satu tugas yang rumit, berat dan mencabar. Terdapat beberapa faktor yang dikenalpasti menyumbang kepada ketinggalan mereka dalam arus perdana sistem Pendidikan negara.

Antaranya ialah ketidakupayaan mereka untuk beradaptasi atau berasimilasi dengan kaum lain (sepertimana kajian Juli Edo), kurikulum sekolah yang diajar mungkin tidak sesuai dengan budaya masyarakat orang asli, sikap ibu bapa yang tidak kisah dan tidak mementingkan pelajaran anak-anak mereka, persekitaran yang tidak mendorong kepada motivasi untuk belajar serta faktor perhubungan dan komunikasi.  

Usaha-usaha berterusan, sistematik, bersepadu dan pendekatan yang strategik perlu dilipatkan gandakan dalam memacu kemajuan pendidikan masyarakat Asli seiring dngan kaum-kaum lain.

Usaha mengarus perdanakan pendidikan ini begitu signifikan dalam meningkatkan kualiti dan taraf kehidupan mereka. Kumpulan penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr Rokiah Omar misalnya melalui projek Pendidikan dalam Komuniti di Pos Gob, Kelantan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dengan CIMB telah menyahut misi pihak kerajaan dalam mentransformasikan pendidikan negara tanpa mengecualikan komuniti asli.

Projek Pendidikan dalam Komuniti ini adalah sekolah  berkonsepkan  persekitaran  komuniti  atau  disebut  juga  “tailoring education‟.  Tujuannya memupuk minat anak-anak Orang Asli belajar dengan tidak terikat dengan sekolah dalam bentuk formal yang menjemukan.

 Insiatif ini perlu diteruskan dengan inisiatif-inisiatif lain bagi membawa masyarakat Asli dalam arus perdana sistem pendidikan negara seterusnya memastikan mereka terus signifikan dalam kerangka dan acuan pembangunan negara.

Usaha membawa anak-anak orang asli dalam arus perdana sistem pendidikan negara ini juga selaras dengan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang dilancarkan pada tahun 2012 bertujuan untuk merapatkan jurang pendidikan antara lokasi, sosioekonomi dan tahap keupayaan pelajar.

Untuk merealisasikan matlamat tersebut, jurang pendidikan perlu dirapatkan supaya akses, ekuiti, dan kualiti dapat dipertingkatkan sama ada daripada aspek lokasi iaitu jurang antara bandar dan luar bandar, jurang teknologi (digital), jurang antara tahap pencapaian pelajar, jurang antara pelajar normal dan pelajar berkeperluan khas serta jurang sosioekonomi (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2012).

Namun hakikatnya, murid dan pelajar orang asli masih tidak berupaya untuk keluar daripada kepompong ketinggalan dalam arus perdana sistem pendidikan negara. Justeru, membangun, memacu dan memajukan masyarakat orang asli termasuklah dalam bidang pendidikan menjadi tanggungjawab semua pihak.

Sebagai   komuniti yang membentuk sebagagian daripada entiti kemajmukan negara, kita tidak boleh memandang sebelah mata terhadap masyarakat asli. Mereka juga mempunyai hak yang sama dengan lain-lain bangsa untuk hidup sejahtera, aman dan makmur.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan