Cakna murid berisiko cicir demi kelestarian masyarakat dan negara
Cakna murid berisiko cicir demi kelestarian masyarakat dan negara

Cakna murid berisiko cicir demi kelestarian masyarakat dan negara

webadmin
28 Mar 2022 05:49pm
A
A
A

Slogan dan tanda pagar (hashtag) #kitajagakita yang tular di pelbagai platform media merupakan satu usaha berterusan untuk mengajak masyarakat supaya berwaspada terhadap risiko sebaran virus Covid-19.

Kalimat ‘kita jaga kita’ bila diperhalusi bukan sahaja sesuai bagi menanam rasa tanggungjawab rakyat untuk melawan Covid-19, tetapi membawa makna besar kepada aspek kehidupan manusia termasuk dalam hal berkaitan pendidikan.

Salah satu sudut penting dalam memastikan kelestarian pendidikan negara ialah memberi perhatian serius terhadap isu murid berisiko cicir.

Isu keciciran murid bukanlah isu baharu. Malah isu ini menjadi perbincangan berterusan sebelum berlakunya pandemik Covid-19 hinggalah ke hari ni. Cetusan pandemik Covid-19 lebih memberi kesan kepada masalah keciciran murid.

Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) seramai 21,316 murid tidak menamatkan pengajian dan tercicir dalam tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021. Kira-kira 21,000 murid telah berhenti dari persekolahan. Turut dilaporkan seramai 10,015 murid berhenti sekolah dari Januari hingga Julai 2021. Data yang dikongsikan oleh KPM harus membuka mata semua pihak untuk melihat isu keciciran murid dengan lebih mendalam.

Seandainya isu keciciran murid gagal ditanggani dengan sebaik mungkin, impak negatif terhadap kemakmuran negara mungkin berlaku. Walaupun murid yang pernah tercicir dari persekolahan tidak semestinya tidak akan berjaya dalam hidup pada masa hadapan, tetapi data-data kajian menjelaskan bahawa golongan masyarakat yang tercicir dari persekolahan berupaya memberi kesan negatif kepada komuniti pada masa hadapan.

Keciciran persekolahan boleh mewujudkan jurang pengetahuan, jurang pendapatan, keterlibatan dalam masalah sosial dan mungkin mewarisi kemiskinan keluarga. Hal ini bakal merencatkan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Justeru, usaha mendekati murid berisiko cicir menjadi agenda penting KPM. Malah pihak kerajaan negeri, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memberi perhatian kepada isu ini.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Sebagai usaha untuk mengatasi masalah keciciran, tumpuan kepada murid yang berisiko cicir iaitu golongan yang mempunyi ciri-ciri khusus yang dikenal pasti boleh membawa kepada tercicirnya mereka dari persekolahan harus dititik beratkan.

Ini bermaksud, pengesanan dan intervensi awal perlu diberikan kepada golongan yang dikenal pasti. Usaha yang lebih prihatin diperlukan bagi memastikan generasi muda dapat menamatkan persekolahan dengan jayanya supaya mereka dapat dibentuk menjadi insan yang holistik demi pembangunan dan pertumbuhan mampan negara.

Berdasarkan ‘Manual Pengurusan Pencegahan Keciciran dan Intervensi Murid Cicir Serlahkan Keunggulan Diri’ yang dikenali sebagai SUDI 2.0, definisi cicir ini adalah kanak-kanak yang tidak pernah mendapat pendidikan formal, yang bukan sebahagian daripada sistem pendidikan berikutan situasi tertentu atau berpindah ke luar negara dan mereka yang berisiko atau terdedah kepada keciciran akibat tindakan disiplin, latar belakang keluarga atau pencapaian akademik yang kurang memuaskan. KPM pula menterjemahkan keciciran murid adalah situasi yang berlaku apabila seseorang murid berhenti daripada persekolahan sebelum sampai waktunya.

Sebagai ‘akademia untuk rakyat’, sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Pendidikan, Pusat Pengajian Komunikasi dan Pusat Pengajian Pengkomputeran, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengembeleng idea dan tenaga untuk membantu KPM, kerajaan negeri dan masyarakat sekitar bagi menambah baik usaha pengesanan awal terhadap murid berisiko cicir.

Proses ini melibatkan pelbagai perbincangan dan penglibatan pemegang taruh dalam pendidikan dari peringkat pengurusan sekolah, guru, pihak berkuasa, ahli komuniti setempat, ibu bapa dan murid. Usaha intensif dibuat supaya satu bentuk intervensi awal dapat dikemukakan kepada pihak berwajib bagi bersama membantu mengelakkan murid berisiko cicir daripada meninggalkan alam persekolahan sebelum tiba masanya.

Ketua penyelidik, Profesor Dr Rosna Awang Hashim yang juga merupakan Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan, Akademi Professor Malaysia berkata, matlamat mereka adalah untuk murid-murid ini menghargai pendidikan dan mengetahui bahawa ilmu amat penting dalam membantu mereka untuk membentuk masa depan yang lebih cerah.

Mereka berterima kasih kepada kerajaan negeri Kedah dan Yayasan Sime Darby atas sokongan yang diberikan bagi membantu menjayakan program yang dinamakan KOMPAS.

Pasukan penyelidik KOMPAS telah mengadakan kunjungan ke sekolah-sekolah yang terlibat untuk lebih memahami punca-punca dan keperluan program intervensi dalam menangani isu keciciran murid itu dari kalangan murid yang berisiko.

Pasukan penyelidik dari UUM.

Temu bual bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, pentadbiran sekolah, kaunselor, guru-guru, ibu bapa, wakil komuniti, pihak berkuasa dan murid dibuat bagi mencari punca-punca utama kecenderungan murid berisiko untuk meninggalkan alam persekolahan. Program yang sedang memasuki fasa kedua ini diharap mencapai kepada matlamat yang diharapkan dan menjadi sumbangan bermakna kepada kelestarian pendidikan dan masyarakat Malaysia.

Maklumat Penulis

Dekan, Awang Had Salleh Graduate School, UUM, Profesor Dr Norhafezah Yusof dan Pensyarah Kanan, School of Education and Modern Languages, UUM, Dr Mohd Fairuz Jafar

Dari kiri, Profesor Dr Norhafezah dan Dr Mohd Fairuz.

Artikel berkaitan 

Hala tuju pelajar lepasan SPM

Inspirasi ramai! Pelajar 10A+ SPM kongsi rahsia kejayaan untuk calon SPM 2021

5 tip mudah skor A+ Matematik SPM, pelajar pasti boleh buat!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan