Calon SPM 2020 usah berdebar, ini koleksi kata-kata semangat buat anda
Calon SPM 2020 usah berdebar, ini koleksi kata-kata semangat buat anda

Calon SPM 2020 usah berdebar, ini koleksi kata-kata semangat buat anda

webadmin
08 Feb 2021 11:30am
A
A
A

Calon SPM 2020 usah berdebar, ini koleksi kata-kata semangat buat anda

Tarikh peperiksaan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 semakin hampir.

Saat ini, sudah pasti semua calon SPM sudah bersiap sedia untuk menduduki peperiksaan yang dijadualkan bakal bermula pada 22 Februari ini.

Walaupun pandemik Covid-19 masih belum pulih, namun SPM akan tetap diteruskan dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

GPS Bestari mendapatkan sebahagian guru-guru dari seluruh Malaysia untuk berkongsi kata-kata semangat untuk pelajar Tingkatan Lima menghadapi peperiksaan.

Semoga dengan perkongsian kata-kata ini, dapat membakar semangat calon-calon SPM dan seterusnya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

Ini kata-kata harapan buat anda…

1) “Biarpun menunggu lama akhirnya SPM yang dinanti akan menjelang jua. Vaksin SPM ialah latihan berterusan yang pasti akan membawa kejayaan luar biasa. Kita mesti menang dalam perjuangan”

- Cikgu Norazri Mat Piah, SMK Kinarut, Papar, Sabah

2) “Selagi ada keghairahan untuk menggapai bintang di langit, gagal atau berjaya bukanlah persoalannya. Keghairahan pasti membantu kita mencari jalan dan mengetepikan alasan. Tahniah untuk semua yang kekal ghairah mengejar impian!

“Kejayaan semalam ialah sejarah. Cukup manis untuk dikenang. Jika semalam mahu dilupakan, jadikan hari ini manis untuk dikenang dengan tekun berusaha. Berpeganglah pada peribahasa Melayu, malu berkayuh, perahu hanyut”

- Cikgu Khairul Hakimi Mansor, SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang

3) “Anda hebat, anda cemerlang, hadapi dengan kesabaran dan kecekalan. Semoga anda berjaya menempuhi SPM dengan kejayaan cemerlang”

- Cikgu Hazam Mohd Said, SK Bagan Serai, Perak

4) “Kejayaan yang kita impikan tidak akan diperoleh dengan mudah tanpa adanya rintangan dan cabaran. Anggaplah cabaran kalian dalam menduduki SPM tika dunia dilanda Covid-19 ini sebagai suatu peperangan dalam hidup. Persediaan, kesabaran, kesungguhan, ketabahan, keyakinan dan disulami doa juga tawakal adalah kunci kepada kemenangan kalian”

- Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Cikgu Mohamad Shaharudden Muhamad Kalam, Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan

5) “Allah maha mengetahui apa yang telah kamu USAHAkan. JUJUR lah pada diri sendiri. Tunaikan AMANAH yang dipertanggungjawabkan. Insya-Allah…apa yang kamu buat , ada hasilnya .Terpulanglah, hasil yang positif atau negatif bergantung kepada usaha kamu sendiri”

- Cikgu Nor Azlina Zakaria  , SMK Tasek, Simpang Ampat, Pulau Pinang

6) “Buat adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan besar pada tahun ini terutamanya SPM, SPMV, STPM, STAM dan yang setara dengannya. Kekalkan momenton dan teruskan semangat kalian untuk bertempur di medan peperiksaan yang bakal berlangsung. Walaupun kita berada di dalam situasi yang sukar sekarang, adik-adik jangan putus asa kerana Allah telah janjikan disebalik setiap kesusahan akan datangnya kesenangan. Teruskan berusaha, berdoa, mohon restu ibu dan ayah serta guru. Selebihnya kita serahkan segalanya kepada Allah yang menentukan segalanya. Ingat adik-adik! pepatah Arab ada menyebut : “Man jadda, wajada”.  Jangan mengalah sebelum berjuang. Semoga kejayaan yang cemerlang mengiringi hidup kalian selepas ini. Jom tempur!!

- Muallim Hazar (Youtuber Pendidikan; Jurulatih Akademi Youtuber Malaysia) SK Bandar Baru Selayang, Selangor

7) “Setelah lima tahun penat lelah anda lalui, anda bakal melakar sejarah hidup. Semoga segala urusan persiapan menghadapi ujian ini amat diberkati”

- Cikgu Samita, E-Tuition Combo

8) “Selamat berjuang buat calon SPM. Cikgu pasti anda semua tetap bersemangat untuk menghadapi SPM tahun ini. Pasaklah kekuatan kalian sehebat barisan hadapan kita yang tak pernah mengeluh apatah lagi mengalah berdepan cabaran dan ujian!! Gunakan senjata pena kalian untuk mendapat kejayaan di masa hadapan. Jangan berputus asa kerana seorang juara tidak tahu erti kecewa. Hidup adalah perjuangan dan kita perlu berjuang untuk terus hidup. Bila kalian mulakan , kalian mesti habiskan. Doa kami sebagai guru-guru sentiasa mengiringi di medan perjuangan masa depan. Langkahlah dengan penuh gagah tanpa menyerah kalah. Semoga kejayaan menjadi milik anda. Amin”

- Cikgu Farazi Razak, SMK Tanjong Bunga, Pulau Pinang

9) “Tiada langkah mudah berjaya. Dah tentu kita akan buat sehabis daya. Bukan sekadar usaha melepas batuk ditangga. Bangun anak-anak SPM semua. Masa tidak menunggu kita. Insya-allah kejayaan milik anda. Ingat tiada yang mustahil, teruskan usaha anda”

- Cikgu Abdul Ghani Abu Bakar, SMK Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah, Perak

10) Bersabarlah anakanda

Dugaan datang tanpa dipinta, tanpa diteka,

Cetuskan rawan di setiap jiwa,

Justeru bersabarlah wahai anakanda,

Bersemangatlah, jangan berputus asa,

Kerana yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Tuhan datangkan ujian bukan sekadar saja-saja,

Tetapi sebagai penguat keimanan kita,

Kuatkan hati teguhkan minda,

Waktu SPM hampir menjelang tiba

Gunakan sepenuhnya waktu yang tersisa.

Ingatlah anakanda, doa cikgu sentiasa bersama,

Jadikan pendorong semangat membara,

Moga kecemerlangan milik anda semua,

Sebagai hadiah untuk ibu bapa tercinta,

Doakan semoga pelangi muncul jua.

Selamat menempuh peperiksaan untuk calon SPM 2020,

Semoga maju jaya

- Cikgu Nafisah Mat Alwi, SMK Kenering, Gerik, Perak

11) "Kejayaan tanpa usaha adalah takdir. Usaha tanpa kejayaan adalah suratan takdir”

- Cikgu Mohamad Safuan Rozak, SK Jengka Pusat 2, Pahang

12) “Allah SWT hanya menilai usaha kita dan bukan hasilnya. Justeru, buatlah sedaya kemampuan kita dan serahkanlah urusan takdir kepada Allah”

- Cikgu Azman Abdul Aziz @ Nong, SMK Dato' Penggawa Barat, Pontian, Johor

13) "Sedikit pengorbanan kamu pada hari ini akan menentukan siapa kamu 20 tahun akan datang. Dalam hidup ini tiada yang bodoh atau pandai. Yang ada cuma rajin atau malas. Jika kamu rajin, kamu boleh pergi jauh. Jika kamu malas, kamu tidak akan kemana-mana”

- Cikgu Muhammad Sofuan Saadon, SMK Seri Keledang, Menglembu, Perak

14) “Semangat membara, jiwa yang kental disemai dihati. Hadapilah dengan ketenangan, usah khuatiri. Jangan terhantuk baru tersedar pasti akan memakan diri. Genggamlah keazaman dengan erat, yakini dihati. Doa untuk kalian turut diiringi”

- Cikgu Esmimi Elias, SK Kuala Pegang, Baling, Kedah   

Artikel menarik

Perkongsian link video daripada guru lain, Cikgu Mohamad Safuan luah apa yang terbuku di hati

Guru ini serah sendiri modul ke rumah, tidak mahu anak murid tercicir pelajaran

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan