no image

Caption 'Alhamdulillah, done degree' tular sekelip mata, graduan USIM terkejut!

Azliyana Sulaiman
19 Apr 2021 07:10am
A
A
A

Itulah antara caption yang ditulis oleh Muhammad Iskandar Zulkarnain Shamsul Bahar, 24 menerusi akaun Twitter sekitar Disember 2020 yang lalu.

Caption yang disertakan dengan sekeping gambar menerima skrol ijazah yang 'disampaikan' Abang J&T di hadapan rumahnya, menjadi tular sekelip mata sehingga menjadi bahan berita utama kebanyakan portal online.

Dengan 8000 tanda suka dan 1000 lebih perkongsian semua di media sosial membuatkan Muhammad Iskandar Zulkarnain popular dan menjadi bualan warganet.

"Saya tak sangka yang caption "Alhamdulillah, done degree" mendapat perhatian netizen.

"Sebenarnya saya tiada sebarang niat. Cuma saya ingin jadikan penerimaan skrol daripada Abang J&T ini sebagai satu momen yang cukup manis disebabkan ketiadaan majlis konvokesyen ketika itu akibat Covid-19," katanya.

Terdahulu, Muhammad Iskandar Zulkarnain merupakan graduan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan Kepujian, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau merupakan antara graduan universiti awam dan swasta yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 apabila kebanyakan institusi pengajian tinggi menangguhkan pelaksanaan majlis konvokesyen masing-masing pada tahun lalu.

Memandangkan Majlis Konvokesyen USIM ditangguhkan ketika itu, beliau dan rakan-rakan yang lain menerima skrol ijazah hanya dengan mengambilnya di kampus atau menerimanya melalui perkhidmatan pos.

Sementara itu, ketika berlangsungnya Majlis Konvokesyen Kali Ke-18 USIM baru-baru ini, Muhammad Iskandar Zulkarnain akhirnya berjaya menaiki pentas utama bagi menerima anugerah daripada DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar.

Konvokesyen yang berakhir pada Ahad disempurnakan pembukaannya oleh DYMM Tuanku Aishah selaku Canselor 6 April lalu di Dewan Tuanku Canselor.

Pada majlis tersebut, Muhammad Iskandar Zulkarnain dipilih sebagai penerima Anugerah Canselor kerana berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang dan memperoleh Ijazah Kelas Pertama.

"Alhamdulillah, akhirnya dapat juga berkonvensyen. Sekalung penghargaan buat USIM kerana memilih saya sebagai penerima Anugerah Canselor. Syukur dengan rezeki daripada Allah SWT," katanya.

Muhammad Iskandar Zulkarnain yang kini sedang melanjutkan pengajian dalam Diploma Lanjutan Kehakiman dan Guaman Syarie, Iskandar bercita-cita menjadi Hakim Mahkamah Syariah kelak.

Untuk merealisasikan impian itu, beliau berpegang teguh kepada satu nasihat yang menjadi pedomannya selama ini iaitu...

“Bersaing bukan berlawan, kerana berlawan sifatnya menjatuhkan tetapi bersaing perlukan kita lebih baik daripada orang lain. Percayalah usaha tak akan mengkhianati hasil," katanya.

Artikel menarik

Cikgu Herryan Syah kongsi 23 cara memulakan PdPC. Guru-guru boleh ambil ini sebagai sumber rujukan

Adab-adab yang perlu dijaga ketika berpuasa. Guru dan pelajar mohon jadikan ini sebagai panduan

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan