photo1627285859
photo1627285859

Dapat hilangkan stres, jana pendapatan

Roshlawaty Md Raieh
02 Aug 2021 10:36pm
A
A
A

“Melukis boleh menghilangkan stres bagi seorang pelukis malah ia mampu menjana pendapatan sekiranya bijak merebut peluang,” kata Presiden Grup Facebook Kami Pelukis Komik dan Grup Kami Pelukis Komik Junior, Nik Mohd Hasmazi Hassan, 50.

Merupakan pelukis komik sepenuh masa, Nik Mohd Hasmazi berkata, negara mempunyai ramai pelukis komik muda yang berbakat cuma mereka perlu mencari identiti diri masing-masing jika mahu melangkah lebih jauh.

“Pelukis komik lama, mempunyai fokus masing-masing. Jalan cerita yang dilakarkan juga lebih terarah kepada kisah sejarah negara, pendekar dan sebagainya.

“Tapi sekarang, komik seolah-olah sudah bersifat terbuka. Tidak ada fokus dan sebahagian besarnya banyak pengaruh budaya luar yang mereka masukkan dalam komik tempatan,” jelasnya.

Nik Mohd Hasmazi berkata, Malaysia punyai kisah sejarah dan lokasi menarik yang boleh dijadikan bahan cerita dalam lukisan komik.

“Terlalu banyak hingga tak terkira. Cuma tinggal lagi untuk kita cari idea dan berfikir jalan cerita yang mahu dihasilkan.

“Di Grup Facebook Kami Pelukis Komik dan Kami Pelukis Komik Junior memang membantu pelukis muda untuk lakar lukisan atau karya komik. Banyak benda yang kami bantu hingga mereka benar-benar mampu menjadi seorang pelukis yang berjaya,” sambungnya yang juga merupakan salah seorang pelukis Komik Echozine tempatan yang terkenal.

Tuturnya lagi, pelukis komik muda kena berubah demi industri komik di negara kita.

“Mohon sangat supaya generasi muda ini dapat hasilkan komik berjiwa nusantara. Ketengahkan adat dan budaya serta tokoh yang kita ada kepada masyarakat luar. Saya yakin, komik tempatan dapat diterima dengan meluas nanti,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan