Untitled design
Untitled design

Dua pelajar jadi sukarelawan, ajak rakan-rakan sumbang tenaga untuk kesejahteraan bersama

Mariatul Qatiah Zakaria
21 Jan 2022 04:54pm
A
A
A

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pepatah Melayu ini sesuai bagi menggambarkan penglibatan kedua-dua pelajar ini dalam program kesukarelawanan.

Walaupun masih baharu dalam bidang ini, mereka tidak kekok malah berazam untuk meneruskan apa yang telah dimulakan.

Muhamad Syahmil Isyraf, 15, dan Ainun Najla Mohd Sukeri, 14, kedua-duanya pelajar Sekolah Menengah Victoria Institution, Kuala Lumpur dan Sekolah Agama Menengah Tanjong Karang, Selangor menyifatkan apa yang mereka lakukan baru-baru ini, membantu mangsa banjir di sekitar Lembah Klang merupakan permulaan pembabitan mereka dalam program kemasyarakatan.

Berpuas hati kerana dapat menabur bakti walaupun pertolongan yang dihulurkan tidak seberapa tetapi mereka bersyukur kerana setidak-tidaknya dapat meringankan beban mangsa-mangsa bencana alam tersebut.

Menurut Muhamad Syahmil, dirinya telah didedahkan mengenai kesukarelawanan sejak dari kecil kerana kedua-dua ibu bapanya sememangnya merupakan sukarelawan yang membantu sesiapa sahaja dalam kesusahan.

Baca juga Cikgu Ahmad Azharulzaman terkejut! Tidak sangka inovasi ‘Mr POS Family’ terpilih untuk pembentangan di Azerbaijan, Turki

Baca juga Bahasa Arab perlu diletakkan di tempat yang sewajarnya

Untuk itu baginya, walaupun tidak pernah dibawa ke kawasan bencana dia sedikit sebanyak tahu apa itu sukarelawan.

“Terdetik di hati untuk membantu mangsa-mangsa banjir baru-baru ini dengan harapan pertolongan tidak seberapa ini dapat meringankan beban mereka.

“Alhamdulillah, akhirnya tertunai juga hajat di hati apabila ayah bawa ke kawasan yang terjejas dan dapat melihat sendiri kepayahan yang mereka lalui.

“Ini adalah kali pertama saya membantu mangsa-mangsa banjir kerana sebelum ini pada 2018 saya mengikut ayah dan ibu untuk aktiviti gelandangan,” katanya yang bersama-sama menyelami nasib mangsa-mangsa banjir baru-baru ini.

Muhamad Syahmil antara yang bertuah kerana tidak semua orang terutama pelajar berpeluang menyumbang tenaga bersama-sama meringankan beban.

Pengalaman yang tidak ternilai

Bagi Ainun pula, pengalaman  membersihkan rumah mangsa banjir di Hulu Langat bukan sahaja memberi dirinya satu pengalaman baharu bahkan menurut anak tunggal ini ia adalah kenangan yang tidak ternilai.

“Menjadi sukarelawan ini membolehkan saya melakukan kerja-kerja pembersihan dan melihat sendiri keadaan sebenar banjir yang telah berlaku agar diri ini insaf dan ikhlas membantu mereka.

“Aktiviti ini memberi kepuasan kepada saya kerana dapat turun padang melakukan sesuatu dan akan terus mengikuti program sebegini demi membantu masyarakat yang dalam kesusahan,” jelasnya.

Tambah Ainun, walaupun usianya baru 14 tahun, ia sedikit pun tidak menghalang dirinya untuk bersama-sama komuniti menyumbang tenaga.

Banyak kelebihan jadi sukarelawan

Pembabitan kedua-dua pelajar ini jelas menunjukkan aktiviti kesukarelawanan atau khidmat masyarakat semakin berkembang dalam kalangan pelajar hari ini.

Selain menuntut ilmu, mereka digalakkan menceburi aktiviti-aktiviti seperti sukarelawan di luar waktu sekolah kerana kebanyakan program-program sebegini dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelas Muhamad Syahmil dan Ainun, menjadi seorang sukarelawan merupakan tugas yang mulia dan ia merupakan platform terbaik untuk  mendekatkan diri dengan komuniti setempat.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Kata mereka lagi, lebih ramai sukarelawan diperlukan terutama apabila berlakunya bencana alam yang tidak dijangkakan.

Bukan sekadar memerlukan sumbangan dari segi makanan dan pakaian, mangsa-mangsa ini turut memerlukan bantuan dari segi tenaga untuk  membersihkan rumah dan kawasan sekitar.

Ujar Ainon, pelajar-pelajar haruslah merebut peluang ini agar memperoleh pengalaman baharu selain menolong orang dalam kesusahan.

“Menjadi sukarelawan bukan perbuatan sia-sia, bahkan melalui aktiviti ini dapat membentuk keperibadian dan jati diri yang baik.

“Semasa menyertai aktiviti sukarelawan, banyak pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh malah kita juga boleh mendapat kenalan baharu,” tuturnya lagi.

Yang pasti, penglibatan mereka ini bukan sahaja membuktikan usia bukan penghalang malah mereka juga meningkatkan dan membawa nama serta imej sekolah ke satu peringkat yang boleh dibanggakan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan