photo_2021-07-26_12-13-51
photo_2021-07-26_12-13-51

Medium penyampaian komik lebih meluas, dulu komik fizikal sekarang digital - Pensyarah Animasi UPSI

Roshlawaty Md Raieh
02 Aug 2021 08:46pm
A
A
A

Pensyarah Animasi, Jabatan Multimedia Kreatif, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd Ekram Al Hafis Hashim, 40 berkata, perubahan dalam dunia komik, memang agak ketara dari dahulu hingga kini.

“Jika dahulu komik diterbitkan dalam bentuk fizikal seperti majalah atau buku komik yang dicetak dan dipasarkan melalui kedai-kedai buku seluruh negara, namun kini medium penyampaian komik lebih meluas.

“Komik sekarang mula beralih kepada media digital yang menggunakan tablet untuk menghasilkan lukisan komik malah naratif juga berbeza di mana dulu, kebanyakan karya komik berkisar tentang semangat kepahlawanan, isu tempatan dan isu nasional yang tinggi namun sekarang pelukis komik banyak dipengaruhi dengan komik luar,” ujarnya.

Sejak tahun 1995, apabila media baharu mula bercambah dengan pesat, pengalaman membaca komik mula berubah.

Komik mula berkembang ke dalam arus media baru dengan kemunculan komik web yang boleh dibaca dalam talian dan waktu itu sedikit demi sedikit media komik bercetak mula menunjukkan trend penurunan dan ada pula yang tidak dapat meneruskan penerbitan dan beralih kepada komik berasaskan web.

“Fenomena ini bukan sahaja melanda Malaysia malah melanda dunia dengan Marvel dan DC Comic juga merekodkan penurunan jualan komik fizikal mereka tetapi memperoleh jutaan pembaca diatas platform dalam talian.

“Kemudian, komik beralih kepada media interaktif dan dipanggil sebagai interaktif komik, komik interaktif pula member pengalaman membaca komik lebih menarik kerana pembaca boleh berinteraksi dengan karya komik dengan menekan butang yang disediakan dan aksi komik akan muncul bersama dengan suara latar dan muzik,” katanya.

Secara peribadi, biarpun peralihan teknologi dari fizikal kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) agak perlahan, namun Mohd Ekram Al Hafis positif industri komik Malaysia mampu beralih sedikit demi sedikit dengan kehadiran generasi baru dalam bidang komik yang cekap dan celik teknologi.

Komik sebagai medium pembelajaran

Dalam pada itu, ulas beliau, komik sebagai medium pembelajaran kepada pelajar sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah digunakan oleh guru dan para pendidik khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT).

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

“Cuma penggunaannya bukanlah secara formal tetapi sebagai satu pilihan kepada pendidik untuk mempelbagaikan bahan bantu mengajar sedia ada.

“Jika kita lihat di pasaran juga terdapat banyak buku-buku ilmiah seperti Sejarah, Sains, bahasa Inggeris, Matematik dan Geografi menggunakan konsep komik sebagai medium penyampaiannya.

“Pengeluar komik antaranya Komik-M, Buku Puris dan orbit buku, aktif dalam menghasilkan komik-komik bersifat pendidikan secara tidak langsung sekaligus berupaya membantu pendidik menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan menggunakan komik,” ujarnya.

Secara peribadi, Mohd Ekram Al Hafis positif jika komik di selitkan mungkin dalam 30 peratus secara formal dalam buku-buku teks atau jika bukan buku teks pun, mungkin satu buku khas dengan pendekatan komik pada setiap mata pelajaran di sekolah.

Ini kerana, ia mampu menjalin minat pelajar terhadap pelajaran, kerana banyak kajian yang dijalankan bahawa komik berupaya menarik minat pelajar untuk belajar sesuatu mata pelajaran dek sifat komik yang menghiburkan, visual dekat dengan pelajar dan belon dialog (teks) yang santai tetapi dapat menyampaikan mesej dengan berkesan.

UPSI menjadi pilihan pelajar

Menyentuh IPT yang menawarkan pembelajaran komik secara mendalam, Mohd Ekram Al Hafis berkata, UPSI adalah antara tempat untuk pelukis komik mendapatkan ilmu.

“Di UPSI menerusi Jabatan Multimedia Kreatif Khas, komik dijadikan rujukan penting sebagai bahan bantu mengajar dan projek pelajar dalam dunia industri.

“Konsep seni dalam komik, aksi, visual dan naratif adalah aspek utama pembelajaran di jabatan ini khususnya untuk kursus animasi. Selain itu terdapat juga fakulti seperti Fakulti Sains Kemanusiaan yang menjadikan komik dalam sejarah sebagai projek akhir pelajar dan Fakulti Sains dan Matematik yang menjadikan komik sebagai medium penyampaian kepada pelajar,” ujarnya.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan