Gigihnya berusaha, anak buruh kasar raih PNGK 4.00 dalam STPM 2021
Gigihnya berusaha, anak buruh kasar raih PNGK 4.00 dalam STPM 2021

Gigihnya berusaha, anak buruh kasar raih PNGK 4.00 dalam STPM 2021

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
19 Aug 2022 01:59pm

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 baharu sahaja diumumkan pada Khamis.

Ramai dalam kalangan pelajar berjaya mendapat keputusan yang diimpikan selama ini.

Ada yang menangis kerana gembira mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam STPM 2021.

Malah, ada yang tidak menyangka akan cemerlang dalam peperiksaan itu walaupun hanya anak seorang buruh kasar.

Halimatus Sa’diyah Abdul Faal, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Chukai, Kemaman, Terengganu berjaya mendapat 4A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Pengajian Am, Geografi dan Ekonomi dengan PNGK 4.00.

Walaupun hanya anak seorang buruh kasar, namun dia tidak pernah melihat kesusahan keluarganya itu sebagai halangan untuknya berjaya.

Menurut pelajar ini, kejayaan diperoleh amat bermakna buat dirinya dan keluarga memandangkan bapa, Abdul Faal Ibrahim, hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan tidak menentu manakala ibu, Saleha Ashaari pula berniaga makanan dan minuman secara kecil-kecilan di depan rumah bagi menampung kehidupan mereka 10 beradik.

“Kehidupan kami memang susah kerana ayah kerja tidak menentu sedangkan kami adik beradik semuanya masih bersekolah. Kadang-kadang belanja sekolah terpaksa dicatu.

“Setiap hari, ayah terpaksa berulang alik sejauh 40 kilometer dari rumah di Kijal untuk menghantar saya serta adik-beradik yang lain ke sekolah dengan motosikal usang.

“Jika ada kelas tambahan, ayah terpaksa pula bergegas dari tempat kerja untuk memastikan kami tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Sambung Halimatus Sa’diyah lagi, kesusahan yang dilaluinya itu tidak sesekali menjadikannya lemah.

Malah, anak sulung itu menjadikan ia sebagai motivasi untuk lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh kepada adik-adik.

“Kejayaan saya ini adalah hasil pengorbanan yang dilakukan oleh mak ayah serta berkat bantuan guru dan rakan-rakan.

“Tanpa mereka, mana mungkin saya boleh berjaya dengan cemerlang dalam STPM ini.

“Insya-ALLAH, saya tidak akan lupa jasa mereka dan akan terus berusaha mengejar impian bergelar seorang guru,” tuturnya.

Artikel berkaitan 

Keputusan STPM 2021 catat peningkatan 0.01 mata berbanding tahun sebelumnya 

Genggam PhD pada usia muda, Zulfati Izazi kini pensyarah hebat di Korea

Enggan kecewa sekali lagi, Izz Khalisa bangkit dan akhirnya muncul pelajar cemerlang SPM 2021 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan