Untitled design (2)
Untitled design (2)

Guru Bimbingan dan Kaunseling kongsi rahsia bagaimana bina tret asertif dalam kalangan pelajar. Ini tipnya

Roshlawaty Md Raieh
12 Jul 2021 02:06pm
A
A
A

Setiap individu mempunyai sifat, sikap, gaya dan personaliti tersendiri. Ada yang dipengaruhi faktor pewarisan dan pengalaman malah ada juga yang berkembang dan membentuk kerana ia dipengaruhi oleh faktor budaya.

Bagi Guru Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Agama Attarbiah Al-Islamiah Batu Pahat, Johor, Cikgu Khairunisak Bakri, mengenali personaliti dalam kalangan pelajar perlu dinilai menerusi ujian.

“Di setiap sekolah, ada ujian tertentu dalam melihat personaliti pelajar. Justeru, saya kongsikan tip untuk guru dan pelajar melihat bagaimana personaliti seseorang dibentuk,” katanya kepada GPSBestari.

Mari kita hadam apa yang dikongsi Cikgu Khairunisak ini.

*****

Salah satu perkhidmatan yang ditawarkan Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah ialah pentadbiran inventori tret personaliti. Terdapat 15 tret personaliti yang ada dalam ujian ini dan salah satunya ialah tret agresif.

Nilai skor tinggi iaitu 70 hingga 100 peratus bagi tret agresif yang bermaksud personaliti seseorang yang terlalu kritikal terhadap orang lain dan menunjukkan sifat yang tegas, berani dan tidak suka dimanipulasi oleh orang lain.

Pada kebiasaannya individu yang agresif tidak menghiraukan perasaan orang lain asalkan dapat mencapai matlamat peribadi.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Lawan kepada tret agresif ialah tret pasif dengan nilai skor rendah 1 hingga 30 peratus yang bermaksud personaliti seseorang yang sentiasa akur pada orang lain, tidak melawan mahupun bersikap untuk mempengaruhi orang lain, serta meletakkan kepentingan orang lain melebihi kepentingan diri sendiri.

Pada kebiasaanya individu yang pasif lebih mudah dimanipulasi oleh orang lain. Skor sederhana bagi tret agresif iaitu 40 hingga 60 peratus menunjukkan tret personaliti asertif.

Asertif bermaksud individu dapat mengimbangi kepentingan peribadi dan kepentingan orang lain. Individu asertif dapat menyampaikan isi hati atau buah fikiran tetapi dalam masa yang sama masih menjaga hati dan perasaan orang lain. Keberanian individu asertif diimbangi dengan perasaan empati terhadap orang lain.

Bagaimana membina tret asertif.

Berikut merupakan tip membina tret asertif bagi individu dengan skor tret agresif yang tinggi.

1) Berpegang pada prinsip menang-menang. Pepatah ada mengatakan menang jadi abu, kalah jadi arang. Walaupun kita mencapai matlamat sendiri namun jika orang lain terasa hati atau bersedih hati, nilai kejayaan kita adalah berkurang berbanding kita mencapai matlamat dalam keadaan semua orang bergembira dan tidak terluka dengan tindakan kita. Kegembiraan orang lain menjadi nilai tambah terhadap kejayaan kita. Meyakini bahawa semua orang di sekeliling adalah aset yang penting dalam kehidupan membantu kita agar lebih berhati-hati supaya semua orang berpuas hati dan tiada yang tersisih.

2) Berusaha untuk mengawal kemarahan. Individu yang agresif cenderung untuk bertindak di luar kawalan apabila berada dalam keadaan marah. Sewaktu marah emosi dan pemikiran dalam keadaan tidak stabil seterusnya membuatkan percakapan dan perlakuan adalah di luar batasan rasional sehingga menyebabkan individu lain berkecil hati. Apabila menyedari kita sedang marah adalah lebih baik beredar daripada suasana tegang. Gunakan teknik mengawal pernafasan untuk menurunkan degupan jantung yang sedang laju, jika berdiri ambil ruang untuk duduk serta tenangkan diri.

Gambar hiasan daripada Pexels.

3) Yakin boleh. Semua orang pastinya mahu menjadi versi diri sendiri yang lebih baik dari semasa ke semasa. Mengetahui kelemahan diri dan berusaha untuk memperbaikinya adalah usaha paling tepat untuk menjadi individu yang terbaik. Sikap agresif adalah sesuatu yang tidak baik maka berusaha untuk menjadi asertif adalah usaha terbaik yang boleh dilakukan. Sentiasa beriltizam untuk meningkatkan tret kendiri dan Yakin Boleh!

Bagaimana pula dengan individu yang skor tret agresif rendah (pasif)?

Amalkan tip berikut bagi membina tret asertif.

1) Sayangi diri sendiri. Menyayangi diri sendiri bererti kita menjaga hak dan kepentingan diri sendiri. Menyayangi diri sendiri juga membuatkan kita sedar sekiranya ada orang lain yang cuba mengambil kesempatan mahupun memanipulasi diri kita untuk kepentingan mereka. Dengan menyayangi diri sendiri kita akan berusaha untuk meluahkan perasaan, menyuarakan pendapat dan juga buah fikiran kita.

2) Latihan menjadi berani. Keberanian adalah sesuatu yang boleh dipupuk dengan latihan. Mulakan dengan cuba memberitahu perkara yang kita suka dan perkara yang kita tidak suka kepada orang lain terutamanya dengan orang yang rapat dengan kita. Berusaha untuk menyuarakan pendapat kepada orang lain adalah sesuatu yang wajar dipuji dan wajar dilakukan dengan kerap. Di akhirnya kita berjaya menolak sekiranya ada individu yang mengajak kita untuk melakukan perkara yang kita tidak suka atau perkara yang negatif.

Gambar hiasan daripada Pexels.

3) Memberi penghargaan kepada diri sendiri. Sebagai peneguhan positif adalah penting untuk memberikan perhargaan setelah kita berjaya membuat percubaan mengutarakan pendapat kepada orang lain. Antara penghargaan yang boleh dilakukan ialah berdiri di hadapan cermin, tersenyum dan katakan tahniah kepada diri sendiri. Apabila kerap berusaha dan berjaya dengan latihan untuk menjadi berani, sekali sekala boleh manjakan diri dengan membeli coklat atau aiskrim kegemaran. Teruskan usaha insyaAllah pasti berjaya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan