Fakhrull Guru cekal didik murid pedalaman jamin pendidikan sewajarnya kepada etnik orang asli
Fakhrull Guru cekal didik murid pedalaman jamin pendidikan sewajarnya kepada etnik orang asli

Guru cekal berdepan rintangan didik anak murid pedalaman

Rasyidah Zulkifi
23 May 2022 04:27pm
A
A
A

Setiap guru pasti tidak terlepas berdepan dengan rintangan yang tidak terduga bagi mendidik anak murid.

Cabaran lebih terasa apabila terpaksa mengajar di sekolah pedalaman yang tentunya kurang kemudahan awam.

Perkara ini dirasai guru Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, di Gerik, Perak, Mohamad Fakhrullah Ismail, 31, yang berkongsi insiden ketika menetap di rumah penginapan guru.

Menurutnya, ketika sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama rakan serumah di kediaman tersebut, mereka dikejutkan dengan penampakan seekor gajah jantan melalui tingkap rumah yang terbuka.

Kata Mohamad Fakhrullah, ia adalah pengalaman yang kekal dalam ingatan kerana jarak antara gajah itu dengannya hanyalah beberapa kaki sahaja.

Menceritakan dengan lebih lanjut, dia mula mengajar murid dari suku kaum Temiar di SK RPS sejak enam tahun lalu.

Anak jati Gerik berkenaan mengatakan mengajar di situ merupakan takdirnya untuk berbakti di negeri kelahiran.

Ini kerana Mohamad Fakhrullah berhajat untuk merantau ke tempat orang lain berbanding di Perak.

Meskipun berasal dari daerah yang sama namun mustahil untuk pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera Dengan Pendidikan (Geografi) ini berulang-alik dari sekolah yang terletak di kawasan RPS Kemar ke kediamannya setiap hari.

Dia perlu menempuh perjalanan yang sukar untuk sampai ke sekolah dengan memandu sejauh 30 kilometer dari Pekan Gerik ke Jeti Pengkalan Trojan, kemudian menaiki bot sejauh 49 kilometer dam meneruskan lagi perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Mujur kira-kira 58 guru dan 11 kakitangan sokongan di SK RPS Kemar disediakan rumah penginapan jadi mereka akan menetap di situ sepanjang waktu persekolahan.

"Murid di sini sangat ketinggalan dalam aspek kemajuan teknologi kerana mereka berminat belajar, tetapi kemudahan sangat terhad. Jadi, murid bergantung sepenuhnya kepada ilmu disampaikan guru.

"Jika kita bercerita mengenai masin air laut, mereka tahu masin air yang dibancuh dengan garam tetapi mereka tidak pernah sampai ke pantai untuk merasai masin air laut yang sebenar," tuturnya.

Difahamkan, sebelum ini sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membawa cabaran yang lebih besar kepada kakitangan SK RPS Kemar.

Pembahagian modul dibuat seminggu sekali di pintu pagar sekolah mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Meskipun mengalami kesukaran memahami topik pelajaran serta hanya bergantung pada nota diselitkan dalam modul PdPR namun semangat mereka mendapatkan ilmu sangat mengesankan hati saya," kongsinya.

Mohamad Fakhrullah berharap anak muridnya mendapat pendidikan sehingga berjaya bagi mengubah status sosio ekonomi mereka.

Artikel berkaitan 

Program Didik Hibur 3M: Atasi Keciciran 3M Murid Sekolah Rendah Orang Asli Negeri Perak

Gigih cungkil bakat murid Orang Asli dalam robotik. Akhirnya, usaha Cikgu Mohd Zulkhairi berbaloi!

Gigihnya berusaha, anak buruh kasar raih PNGK 4.00 dalam STPM 2021


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan