JB06_07062021_ALATAN PERANTI-PDPR
JB06_07062021_ALATAN PERANTI-PDPR

Guru juga boleh sediakan bahan pembelajaran manual kepada murid - Menteri Kanan Pendidikan  

webadmin
08 Jun 2021 11:35am
A
A
A

KLUANG - Pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak hanya meliputi pembelajaran dalam talian semata-mata, sebaliknya turut merangkumi bahan bantuan pembelajaran berbentuk manual.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, bahan manual itu boleh disediakan mengikut kesesuaian guru dan murid di sesebuah sekolah, setelah melihat kekangan yang dihadapi.

"Banyak pendekatan yang boleh digunakan antaranya menyiapkan bahan-bahan manual untuk dihantar terus kepada murid atau disediakan di sekolah untuk diambil oleh ibu bapa. Ia bukan semata-mata secara dalam talian.

"Pelbagai kaedah yang dirasakan sesuai boleh dilakukan kerana kita sedar ada sekolah atau murid di kawasan luar bandar tidak mempunyai akses kepada internet, jadi alternatif lain harus digunakan,” kata beliau kepada pemberita selepas penyerahan set komputer riba secara pandu lalu kepada 71 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Kahang Timur, di sini.

Dr Radzi menambah, bagi menyokong pelaksanaan PdPR itu, kementerian juga telah memperkenalkan beberapa saluran televisyen (tv) pendidikan termasuk DidikTV.

Katanya bagi DidikTV, kementerian mendapat maklum balas yang cukup baik apabila ramai ibu bapa dan murid berpuas hati dengan kaedah dan kualiti penyampaian pembelajaran yang ditunjukkan guru terlibat.

Sementara itu, ditanya berhubung isu kelemahan capaian internet bagi pelaksanaan PdPR di kawasan luar bandar, Dr Radzi berkata, beliau pasti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang melihat dan memberikan keutamaan kepada usaha penyediaan akses internet kepada seluruh kawasan dalam negara.


Dr Radzi (kanan) menyerahkan komputer riba kepada pelajar Tingkatan 3, Mohd Fakhruddin Arrazi,1 5, secara pandu lalu di SMK Felda Kahang Timur.

Terdahulu, kumpulan pelajar yang menerima bantuan komputer riba beserta kad data internet sebanyak 15GB sebulan selama setahun, merupakan anak generasi kedua peneroka Felda dalam kalangan B40 yang telah disaring daripada keseluruhan 417 pelajar Tingkatan 3 di sekolah berkenaan.

Menurut bapa kepada seorang penerima, Hashim Ahmad, 54, pemberian peralatan terbabit akan dapat meningkatkan tumpuan anaknya Mohd Syafiq Haiqal, 15, dalam mengikuti PdPR.

"Sebelum ini, pembelajaran sedikit sukar kerana hanya menggunakan telefon bimbit, menyebabkan dia kurang fokus. Jadi saya berterima kasih atas bantuan ini kerana ia akan lebih membantu anak saya mengikuti sesi pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada seorang lagi penerima, Norina Bohari, 39, pula meluahkan rasa syukur kerana anaknya tersenarai sebagai penerima bantuan.

"Saya tidak bekerja manakala suami hanya bekerja di kilang papan. Jadi kami memang kurang mampu untuk membeli komputer riba untuk kegunaan anak kami,” katanya - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan