Guru Sabah kongsi pengalaman PdPR, garap elemen norma baharu pendidikan
Guru Sabah kongsi pengalaman PdPR, garap elemen norma baharu pendidikan

Guru Sabah kongsi pengalaman PdPR, garap elemen norma baharu pendidikan

webadmin
23 Feb 2021 01:47pm
A
A
A

KOTA KINABALU - Suasana persekitaran Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, sebuah sekolah berasrama terletak kira-kira 29 kilometer dari bandaraya ini, dilihat sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kali ini, hanya pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kohort 2020 sahaja yang dibenarkan pulang ke asrama bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka pada tahun ini sebelum menjalani peperiksaan awam itu yang berlangsung 22 Februari lalu.

Manakala pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 (2021) pula meneruskan pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan situasi Covid-19 yang belum membolehkan mereka kembali ke asrama seperti biasa.

Ia sedikit sebanyak memberi kekhuatiran kepada para guru terutama untuk memastikan PdPR berjalan lancar kerana berdasarkan pengalaman tahun lepas, tidak semua pelajar mempunyai akses internet mahupun peranti elektronik untuk mengikuti kaedah itu.

Rata-rata pelajar sekolah berasrama itu datang dari pelbagai daerah termasuk Semporna, Beaufort, Sipitang, Kota Belud, Pitas dan Kudat.

Sesi persekolahan 2020 boleh dikatakan cukup unik dan sudah tentu menjadi pengalaman tidak akan dilupakan bukan sahaja guru tetapi juga pelajar kerana sistem PdP hampir berubah 360 darjah.

Adaptasi

Norhaziaty Mohd Aduit, 45, Guru Matematik dan Prinsip Akaun di sekolah itu sejak 2002 berkata, situasi PdPR sepanjang tahun lepas sememangnya membuka matanya tentang betapa penting prasarana internet di Sabah ditingkatkan agar seiring dengan arus Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ini kerana IR 4.0 dilihat mempengaruhi sistem penyampaian pendidikan masa kini yang sekali gus menuntut jaringan internet di Sabah di naik taraf agar tiada seorang pun pelajar terutama di luar bandar dan pedalaman tercicir daripada mengikuti sesi PdP, katanya.

Segalanya bermula pada Mac tahun lepas ketika PKP pertama dilaksanakan, pedagogi pendidikan biasa dilakukan Norhaziaty, graduan Universiti Teknologi Mara Shah Alam dalam bidang Perakaunan, untuk pelajarnya berubah sekelip mata kepada kaedah pembelajaran digital.

Daripada menggunakan ‘marker pen’ dan papan putih beralih kepada Google Classroom, Google Meet, Whatsapp dan Telegram yang sering digunakan sebagai wahana PdPR dalam talian sepanjang tahun lepas selain turut popular dalam kalangan rakan setugasnya di sekolah itu.

Ia satu kejutan budaya buat anak jati Tuaran itu, yang telah berkecimpung dalam profesion perguruan selama 19 tahun kerana buat pertama kali sepanjang kerjaya, dia melaksanakan PdP yang bergantung sepenuhnya kepada capaian internet.

“Ia menguji kecekapan dan memerlukan saya mengadaptasi norma baharu pendidikan digital dengan cepat agar semua pelajar tidak terlepas daripada mengikuti setiap silibus.

“Sudah tentu ada cabaran kerana saya tidak pernah mengajar Matematik dan Prinsip Akaun menggunakan kaedah PdP dalam talian,” katanya berkongsi pengalaman mengajar dalam suasana norma baharu kepada Bernama baru-baru ini.

Kreatif

Pun begitu, Norhaziaty tetap optimis dengan menjadikan cabaran itu sebagai titik tolak untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menggarap teknik PdP terkini bagi memastikan pelajarnya memahami setiap formula dan konsep subjek kritikal itu meskipun berkomunikasi secara dalam talian.

Ini termasuk menggunakan Youtube, selain menghasilkan video interaktif dan informatif mengenai penyelesaian masalah Matematik dan Prinsip Akaun yang mudah difahami pelajar agar mereka terus melibatkan diri serta meneroka lebih jauh setiap topik dipelajari bagi mencapai objektif pembelajaran.

Namun, kebimbangannya tertumpu kepada pelajar mereka di luar bandar dan pedalaman kerana ada antaranya sukar mendapat capaian internet selain terpaksa berkongsi peranti elektronik dengan adik beradik lain bagi mengikuti PdPR.

Sebagai guru prihatin dan punya empati tinggi, Norhaziaty memahami cabaran dan kekangan itu.

“Saya mengingatkan mereka supaya setiap tugasan disiapkan dan dihantar mengikut kemampuan serta kapasiti masing-masing. Ini bagi membolehkan saya mengetahui perkembangan pembelajaran mereka setiap hari,” katanya.

Runner

Melihat kekangan itulah mendorong Norhaziaty bersama guru lain mengambil alternatif menghantar kertas soalan peperiksaan akhir tahun dan percubaan SPM kepada pelajar sama ada melalui pos laju atau kereta sewa, dengan kos ditanggung oleh pihak sekolah.

“Malah, guru-guru menjadi ‘runner’ menghantar fail-fail kertas peperiksaan ke rumah pelajar,” katanya, sambil berseloroh mengingat kembali tugasan dilaksanakannya pada akhir November tahun lepas.

“Bagi kami, ia adalah alternatif terbaik kerana tidak semua pelajar mempunyai liputan internet bagus. Justeru, peperiksaan sekolah dijalankan secara manual dengan guru-guru menyediakan kertas soalan dan kemudian mengedarkannya kepada pelajar. Ia adil untuk semua,” katanya.

Cerita sama dikongsikan Norshahidah Zakaria, 48, seorang lagi guru sekolah itu yang mengajar mata pelajaran Syariah Islamiah dan Bahasa Arab.

Berasal dari Pahang, Norshahidah, berhijrah ke Sabah pada 1996 untuk mencurahkan bakti sebagai seorang pendidik di “Negeri Bawah Bayu”, dengan awalnya bermula hanya sebagai guru sandaran.

SMKA Tun Datu Mustapha adalah sekolah keempat tempat beliau berkhidmat di Sabah.

Mengimbau kembali pengalaman menjadi ‘runner’ sekolahnya, Norshahidah berkata, seawal pukul 6 pagi lagi dia bergerak ke Kudat, daerah terletak di utara Sabah, kira-kira 180 kilometer dari Kota Kinabalu, ditemani suami Ismail Anam, 52, yang juga tenaga pengajar sekolah itu.

Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam menggunakan kereta dengan disajikan panorama menghijau kiri dan kanan jalan, tidak membuatkan dia letih, sebaliknya terus bersemangat untuk sampai ke destinasi.

Jalan berombak

Tujuannya hanya satu, untuk memastikan fail-fail kertas soalan peperiksaan yang dijawab pelajarnya dari Pulau Banggi selamat sampai ke tangannya kerana feri di jadual tiba di terminal pada 9.30 pagi.

Dua minggu sebelumnya, Norshahidah sempat khuatir tidak dapat menyampaikan fail-fail kertas soalan itu memandangkan perkhidmatan feri dari Kudat ke Pulau Banggi dihentikan seketika, namun, juragan kapal secara rela hati ingin membantunya.

“Banyak pengalaman sepanjang lebih 20 tahun bertugas di Sabah, tetapi, kali ini memberi satu dimensi baharu kerana saya tidak pernah berdepan situasi menjalankan peperiksaan berjauhan dengan pelajar,” katanya.

Tidak terkecuali Nurhasdianty Hasly, 32, guru berasal dari Membakut yang mengajar mata pelajaran Sains di sekolah itu sejak empat tahun lepas.

Walaupun terpaksa mengharungi jalan tidak berturap dan merasakan seperti dilambung ombak sepanjang perjalanan kira-kira 20 minit di beberapa kawasan di Beaufort dan Sipitang, namun, dia tetap terus memberi komitmen tinggi untuk menyelesaikan tugasnya.

“Saya menghubungi pelajar atau ibu bapa sebelum bergerak untuk menghantar dan mengambil fail kertas soalan peperiksaan itu bagi memudahkan urusan,” katanya, bersimpati kepada pelajar yang terpaksa berkampung di pekan untuk memperolehi akses internet sepanjang peperiksaan.

Ibu bapa pengawas peperiksaan

Sementara itu, Pengetua sekolah Rapihi Derim berkata, kira-kira 20 guru termasuk kakitangan sokongan ditugaskan menghantar fail itu kepada lebih 400 pelajar mengikut zon, dan bagi pelajar tinggal berhampiran sekolah, ibu bapa diminta datang mengambilnya di pejabat.

Beliau yang menerajui sekolah itu sejak 2019 berkata, mereka memberi kepercayaan penuh kepada ibu bapa untuk menjadi pengawas peperiksaan sepanjang anak mereka menjawab soalan, yang dipantau terus oleh guru menerusi Google Meet.

Cikgu Rapihi

Satu kertas Aku Janji disediakan dan ditandatangani oleh ibu bapa sebagai ikrar untuk menggalas tanggungjawab itu termasuk membuka dan memberi kertas soalan mengikut jadual ditetapkan, katanya.

“Peperiksaan penting untuk mengukur tahap penguasaan pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran. Ada yang menggunakan kaedah pengajaran berasaskan projek tetapi kami berpendapat ia tidak sesuai untuk pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5.

“Selain itu, kami ingin memberi motivasi kepada pelajar agar terus memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya, dan berterima kasih kepada petugas barisan hadapan yang turut membantu memudahkan para guru menghantar fail itu terutama di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, pihak sekolah membelanjakan kira-kira RM10,000 untuk menjayakan inisiatif itu termasuk membeli tambah nilai prabayar untuk kemudahan data mudah alih pelajar sepanjang mengikuti peperiksaan.

Terima kasih cikgu

Terima kasih kepada para guru kerana prihatin sehingga sanggup berjalan jauh menghantar kertas soalan peperiksaan percubaan SPM ke rumah, kata Nurul Hazalina Elyana Hairudin, 17 tahun.

“Para guru juga selalu memberi motivasi untuk kami terus semangat belajar walaupun dari rumah dan menggalakkan kami menyertai seminar peperiksaan dalam talian,” katanya.

Tidak menafikan ia pengalaman pertama, Nur Syafinah Mohd Aldah, 17, pelajar aliran Sains mengakui agak sedikit terganggu dengan kaedah PdPR dan lebih menyukai sesi PdP secara bersemuka kerana lebih mudah untuknya bertanya langsung kepada guru sekiranya tidak memahami sesuatu mata pelajaran.

“PdPR memang mencabar kerana persekitaran tidak menyokong kaedah itu termasuk capaian internet lemah. Namun, guru sentiasa memahami dan memberi sokongan untuk kami fokus kepada persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya.

Apa yang pasti, guru di sekolah itu termasuk Norhaziaty kini lebih bersedia menggarap elemen norma baharu pendidikan meskipun sedar cabarannya masih tetap ada.

Norhaziaty berkata, ikrar di lafaz untuk mendidik anak bangsa akan terus dipegang sebagai amanah yang tidak akan dipersiakan, sesuai dengan bait lirik lagu selalu dinyanyikannya ketika sambutan Hari Guru “apa yang kami janji, tunai tetap kami tunaikan”.

“Tahun lepas adalah pemula. Mungkin akan ada situasi luar jangka berlaku pada masa hadapan kita tidak tahu. Saya optimis para guru Sabah sudah maklum alternatif dan inisiatif perlu dibuat selepas ini,” katanya mengakhiri perbualan - (Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani) - BERNAMA

Artikel menarik

Lihat kumpulan pelajar kongsi maggi dan makan dalam suasana gelap, air mata guru ini gugur akhirnya!

Amalan membuat keputusan dalam kalangan pengetua dan guru besar, Cikgu Osman kongsi tipnya!

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan