Guru SK Rumbia buat kejutan. Sepakat bermesyuarat di dalam kereta api, kreatif sungguh!
Guru SK Rumbia buat kejutan. Sepakat bermesyuarat di dalam kereta api, kreatif sungguh!

Guru SK Rumbia buat kejutan. Sepakat bermesyuarat di dalam kereta api, kreatif sungguh!

Roshlawaty Md Raieh
09 Aug 2022 12:38pm
A
A
A

Lain daripada yang lain. Itulah perumpamaan yang dapat Sinar Bestari berikan apabila melihat guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Rumbia, Alor Gajah, Melaka yang sanggup mengadakan mesyuarat di dalam kereta api, baru-baru ini.

Ketika dihubungi wartawan Sinar Bestari, salah seorang gurunya, Cikgu Mohd Yusazli Md Yusof berkata, mesyuarat yang ‘istimewa’ itu membabitkan 11 individu yang terdiri daripada Guru Besar, Penolong Kanan, guru Panitia Matematik dan beberapa ahli keluarga yang lain.

Menurut Cikgu Mohd Yusazli, idea bermesyuarat di dalam kereta api itu tercetus apabila ada dalam kalangan guru-guru yang mahukan kelainan ketika bermesyuarat.

“Sebelum ini, para guru sudah terbiasa mengadakan mesyuarat di sekolah. Jadi kali ini, kami ubah lokasi dengan memilih kereta api sebagai tempat untuk berbincang tentang akademik murid-murid.

“Alhamdulillah, idea dipersetujui ramai dan program ini berjalan dengan lancar,” ujarnya yang merupakan Ketua Panitia Matematik.

Berkongsi tentang perjalanan warga SK Rumbia yang terlibat, Cikgu Mohd Yusazli memberitahu, ia bermula dari Stesen Keretapi Gemas, Negeri Sembilan.

“Kami berkumpul seawal pukul 9 pagi kerana kereta api DMU (ST34 dan ST35) akan bergerak pada pukul 9.30 pagi.

“Apabila kereta api sampai, semua yang terlibat terus menaikinya dan menuju ke Koc A untuk bermesyuarat. Hampir dua jam kami berbincang pelbagai isu sehinggalah ia berakhir apabila kereta api tiba di Stesen Keretapi Kemayan, Pahang untuk mengambil penumpang lain,” tuturnya.

Setibanya di Stesen Keretapi Kemayan, guru dan ahli keluarga yang terlibat berehat sebentar dengan menikmati Cendol Durian Kemayan dan makan tengah hari di Restoran Zainal Patin Kemayan.

Sebelum menyambung perjalanan pulang, rombongan singgah di Masjid Kemayan bagi menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid.

Dalam pada itu, Guru Besar, Mohd Isa Barum memuji usaha yang dilakukan oleh Panitia Matematik yang sanggup bersusah payah mengadakan mesyuarat di dalam kereta api.

“Memang tidak sangka mereka mampu buat mesyuarat di dalam kereta api. Satu kelainan yang wajar diberi pujian kepada guru-gurunya yang sangat kreatif.

“Mungkin pada masa akan datang, mesyuarat sebegini boleh dilakukan lagi di dalam kereta api dengan penglibatan lebih ramai guru dan ahli keluarga yang lain,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

Cipta model roket bahan api pepejal ketika usia 9 tahun, Khawo kini ‘Rocketeer Termuda Malaysia’

Rahsia 4 kali terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Alumni MRSM jadi Pegawai Wanita TLDM pertama miliki kepakaran dalam bidang peluru dan letupan, mengagumkan!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan