Hala tuju pelajar lepasan SPM
Hala tuju pelajar lepasan SPM

Hala tuju pelajar lepasan SPM

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
28 Mar 2022 04:30pm

Esok, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan melabuhkan tirainya, setelah hampir sebulan para pelajar bertungkus lumus memerah otak menjawab soalan pelbagai mata pelajaran.

Nampaknya, para calon sudah boleh menarik nafas lega kerana peperiksaan penting itu berjaya dilalui dengan baik walaupun pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi oleh mereka sepanjang sesi pembelajaran.

Selepas debaran menjawab soalan peperiksaan selesai, dua atau tiga bulan akan datang debaran menanti keputusan pula menjelma.

Dalam menunggu keputusan peperiksaan diumumkan, sudah pasti pelbagai agenda telah dirancang oleh pelajar bagi mengisi masa lapang mereka.

Antara yang akan diisi adalah bekerja sambilan dalam mencari pengalaman dan sedikit duit poket.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, banyak perkara yang mampu dilakukan oleh pelajar setelah mereka menamatkan peperiksaan SPM.

“Fokus utama harus diberikan kepada aktiviti bermanfaat yang akan menjadi nilai tambah kepada pelajar ini. Sekiranya mereka ingin menyambung pengajian terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan.

“Banyak persoalan pastinya memenuhi fikiran mereka. Misalnya, hendak pilih bidang apa dan belajar di mana? Berapa yuran pengajian dan bagaimana ingin memohon biasiswa atau pinjaman.

“Untuk memastikan laluan akademik lebih tersusun, sebaiknya pelajar perlu mendapatkan informasi awal mengenainya melalui pembacaan, kajian dan perbincangan dengan guru-guru serta rakan sebaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Umi Hamidaton

Secara umumnya, beliau berkata, perancangan awal wajar dilaksanakan memandangkan terdapat pelbagai pilihan institusi dan program yang ditawarkan untuk lepasan SPM.

Misalnya, program matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang merupakan laluan terpantas untuk masuk ke universiti dan diploma.

Justeru, pelajar perlu melakukan sedikit kajian untuk mencari maklumat yang berkaitan agar mereka sendiri tahu dan bezakan apakah pilihan terbaik setimpal dengan skil dan bidang yang diminati.

Baca juga

Senarai IPTA/IPTS terbaik negara dan jurusan popular masa kini

Akses internet makin laju, kumpulan pelajar luah rasa gembira

Dalam pada itu, Umi Hamidaton berkata, tidak dapat dinafikan sebahagian pelajar mengambil keputusan untuk bekerja bagi mengisi masa lapang.

Bagaimanapun, bagi yang tidak bekerja, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam dewasa.

“Kini terdapat pelbagai kelas dan kursus yang ditawarkan secara dalam talian dengan bayaran yang minimum. Ada kelas memasak, menjahit, urutan, andaman, kecantikan dan banyak lagi yang boleh disertai. Kehadiran media sosial memudahkan perkongsian dan ia menjimatkan kos untuk disertai oleh pelajar yang berminat.

“Pelajar juga boleh mengambil lesen memandu memandangkan latihannya akan mengambil tempoh yang lama. Ia pastinya memberi manfaat kepada diri pelajar apabila mempunyai lesen memandu selain membuka ruang untuk mereka menjadi pemandu e-hailing sementara menunggu keputusan diumumkan dan panggilan ke universiti.

“Mereka juga boleh menyertai aktiviti sukarelawan yang dilihat dapat membentuk sifat murni dalam diri pelajar untuk terus berbakti dan membantu orang lain tanpa mengharapkan sebarang balasan. Ia memberi peluang untuk mereka mempelajari kemahiran dan pengetahuan baharu, misalnya semangat kerjasama, cara berkomunikasi dan kemahiran memimpin, sekali gus mengelakkan pelajar daripada terlibat dalam aktiviti tidak berfaedah,” jelasnya.

Sambung beliau lagi, dalam usaha menjadi pelajar terbaik dalam akademik, aspek kerohanian tidak wajar dilupakan. Mereka boleh mengikuti kelas mengaji al-Quran bermula dengan Iqra’ di samping mempelajari tajwid dan terjemahan.

Pilih jurusan bersesuaian

Pemilihan jurusan antara dilema yang sering dihadapi pelajar lepasan SPM.

Banyak perkara yang perlu dititikberatkan dan mereka perlu meneliti setiap pilihan yang ada sebelum membuat keputusan akhir.

Jelas Umi Hamidaton lagi, terdapat beberapa jenis program yang ditawarkan kepada lepasan SPM bersesuaian dengan keputusan, minat dan bidang pelajar.

“Program matrikulasi, asasi dan STPM adalah cara terpantas sekiranya pelajar ingin masuk ke universiti. Disebabkan tempoh pengajian agak pendek, silibus pelajaran adalah padat dan mereka bakal didedahkan dengan cara belajar di universiti dan proses untuk menyambung pengajian dalam bidang dan universiti yang diminati akan lebih mudah sekiranya pelajar berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang.

“Selain itu, bagi pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian di peringkat sijil dan diploma, jurusan yang ditawarkan pula lebih luas.

“Selain daripada universiti awam, terdapat juga universiti swasta yang menawarkan pelbagai program pengajian bersesuaian dengan minat dan bidang serta keputusan pelajar.

“Sekiranya pelajar khuatir tentang peluang pekerjaan selepas tamat pengajian, pilihlah program yang diperlukan oleh industri pada masa kini,” ujarnya.

Akhir sekali, Umi Hamidaton menasihatkan kepada semua lepasan SPM untuk mengenal pasti kelebihan dan kekurangan diri sebelum membuat pilihan berkaitan pengkhususan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Rujuk kaunselor sekolah

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Zul Fikri Sallehuddin berkata, lepasan SPM perlu bijak mengisi masa lapang sementara menanti keputusan diumumkan.

“Cari peluang dengan perkara bermanfaat seperti membuat pembacaan tentang kos atau bidang yang ingin diambil di universiti kelak.

“Kemudian, belajar berdikari dengan membuat kerja sambilan untuk memupuk ketahanan diri dan belajar bagaimana mencari duit supaya elemen penghargaan terhadap titik peluh sendiri wujud dalam diri.

Muhammad Zul Fikri

“Elakkan membazir masa dengan bermain gajet malah minimakan penggunaan gajet supaya dapat meluangkan masa bersama keluarga kerana apabila sambung belajar di IPT, masa tersebut sudah tidak boleh dinikmati lagi,” ujarnya.

Tuturnya lagi, pelajar pasti berhadapan pelbagai masalah sepanjang memilih jurusan yang sesuai dengan keputusan SPM.

Langkah yang sepatutnya perlu dilakukan, kata Muhammad Zul, adalah merujuk kaunselor sekolah kerana mereka mempunyai kemahiran dalam membantu pelajar membuat pemilihan kerjaya mengikut kesesuaian dan minat pelajar.

“Pelajar juga boleh bertanyakan kepada adik-beradik yang telah berjaya berada di menara gading untuk proses pemilihan jurusan. Kemudian lihat minat, cita-cita dan pemilihan kerjaya secara tepat supaya berada di landasan yang betul semasa memilih jurusan.

“Walau apa sahaja keputusan yang diperoleh, peluang untuk menyambung pelajaran sangat luas kerana pada masa kini, institusi kemahiran banyak menawarkan bidang kemahiran bagi mengasah bakat dalam kemahiran pelajar.

“Elemen kemahiran pada masa kini menjadi sangat bermakna dan apabila kompenan kemahiran diadun dengan pengetahuan ia memberi peluang cerah kepada pelajar untuk menjadi seorang yang mahir dalam sesuatu bidang,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu, Roslina Abdullah, 45, berkata, beberapa jurusan dalam perhatian dia dan anaknya, Nur Adlina Farisha Muhammad Zaher bagi mengisi pelbagai borang untuk menyambung pengajian.

“Kalau boleh, saya mahu anak memilih jurusan yang mendapat permintaan dalam pasaran pekerjaan seperti bidang pendidikan dan kejururawatan.

“Setakat ini, Nur Adlina bersetuju dengan pilihan yang dibuat. Bagaimanapun, jika dia ada pilihan lain, kita boleh duduk berbincang dan melihat semula apakah kelebihan dan skil yang dia miliki,” ujarnya.

Roslina

Memandangkan keputusan peperiksaan SPM lambat diumumkan, Roslina yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyiur, Jitra, Kedah berkata, anaknya berhasrat mengambil lesen memandu dan bekerja sambilan.

“Daripada tidak buat apa, lebih baik dia lakukan aktiviti yang bermanfaat. Lagipun, saya akan terus menyokong asalkan apa yang dilakukannya itu tepat dan membawa kebaikan pada diri.

“Jika dia hendak mengikuti kursus jangka pendek seperti menjahit atau memasak pun, saya sokong. Yang penting, Nur Adlina gembira,” ujarnya.

Bagi pelajar lepasan SPM, SMK Konven St Cecilia, Sandakan, Sabah, Esther Lesipin, 18, peperiksaan kali ini membawa cabaran yang sangat luar biasa buat dirinya.

“Lega bila sudah habis. Walau masih takut jika tidak dapat keputusan yang diinginkan namun saya yakin sudah buat yang terbaik,” jelasnya.

Kata Esther lagi, dia mungkin mencari kerja sambilan sebelum menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini kerana, bila sudah ada duit sendiri, sekurang-kurangnya dia dapat menggunakannya bila dapat tawaran kelak.

Jelasnya, dia sangat berminat untuk menjadi seorang guru.

Esther

“Saya mahu lahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan juga kehidupan mereka.

“Saya hendak lihat mereka menjadi manusia yang dapat memberi manfaat kepada orang lain,” katanya mengakhiri perbualan.

Apa Kata Mereka 

"Bergantung pada keadaan. Jika pelajar lepasan SPM mahu menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya, justeru masa yang ada sementara menunggu keputusan perlu diisi dengan meningkatkan kemahiran kendiri sebagai persediaan ke alam universiti. Misalnya, kemahiran menggunakan perisian Microsoft Word, Excel dan PowerPoint yang sangat penting dikuasai masa kini. Selain itu, pelajari juga teknik Pengucapan Awam kerana alam universiti memerlukan pelajar yang progresif bukan sahaja dalam akademik tetapi dalam perhubungan awam.” - Pelajar Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Mu’tah, Jordan, Muhammad Safwat Mohamed Salleh, 27.

Muhammad Safwat

"Gunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk membuat carian atau informasi berkenaan kursus yang bersesuaian dengan keputusan peperiksaan. Cuba kenal pasti bakat dan minat yang dimiliki agar tidak tersalah membuat pilihan kelak. Carian informasi boleh dibuat sama ada melalui laman sesawang di internet, para guru dan rakan-rakan senior yang telah memasuki alam universiti.” - Pelajar Ijazah Sarjana Pentadbiran Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Nuramiza Izzatie Amri, 26.

Nuramiza Izzatie

"Dalam keseronokan melepasi salah satu ujian paling mencabar di alam persekolahan iaitu SPM, seseorang itu harus sedar bahawa ini sebenarnya permulaan baharu bagi menempuh dunia kedewasaan yang penuh cabaran. Tempoh menunggu yang panjang sebelum keputusan diumumkan sepatutnya tidak disia-siakan dengan melakukan perkara tidak berfaedah. Masa itulah sepatutnya digunakan untuk meningkatkan kemahiran dan potensi diri. Bagi yang mempunyai sumber kewangan yang cukup, pelbagai kursus kemahiran jangka pendek boleh diikuti seperti kursus komputer, memasak, fotografi, suntingan video dan sebagainya.” - Guru Sains SK Dato’ Wan Kemara, Cikgu Zuhirani Saad, 42.

Cikgu Zuhirani

6 langkah persediaan melanjutkan pelajaran ke IPT

1) Memilih kursus yang diminati dan sesuai.

Langkah ini penting kerana ramai di antara pelajar yang tidak berjaya menghabiskan pengajian kerana mereka tidak berminat dengan kursus yang diambil.

2) Menganalisis pasaran kerja yang terkini.

Setiap pelajar dinasihatkan supaya memilih jurusan yang sejajar dengan permintaan ekonomi negara khususnya dan dunia amnya.

3) Memastikan dana yang cukup.

Dana yang banyak memang diperlukan apabila melanjutkan pelajaran ke IPT. Jadi pastikan segala kos diambil kira dan jika ada masalah, suntikan bantuan dalam bentuk kewangan ada disediakan bagi yang layak.

4) Lengkapkan diri dengan kelayakan akademik.

Pelajar hendaklah sentiasa menambah nilai kemahiran diri dalam pelbagai aspek supaya kelak menjadi nilai yang berguna dalam mengejar cita-cita.

5) Melihat kredibiliti IPT yang dipilih.

Dapatkan maklumat IPT terlebih dahulu sebelum membuat pilihan. Jangan tersalah pilih hanya kerana mengikut kata kawan-kawan.

6) Menghadiri ceramah atau syarahan oleh graduan IPT.

Jika ada masa lapang, hadiri majlis-majlis ilmu sebegini kerana banyak tip yang akan dikongsi oleh mereka yang pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan