Hormati guru, 5 manfaat ini ubah hidup pelajar
Hormati guru, 5 manfaat ini ubah hidup pelajar

Hormati guru, 5 manfaat ini ubah hidup pelajar

Guru merupakan seorang insan yang telah banyak mengerah keringat demi memastikan anak muridnya menerima didikan yang secukupnya.

Jasa dan pengorbanan seorang guru tidak terbalas walaupun dengan segunung intan permata.

‘Dialah pemberi paling setia, Tiap akar ilmu miliknya, Pelita dan lampu segala, Untuk manusia menjadi dewasa’. Inilah sebaris puisi ilham Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang, yang menggambarkan betapa besarnya pengorbanan seorang guru yang tidak mampu diukur dengan wang ringgit.

Bukan harta yang dipinta oleh mereka, cukuplah segala jasa dibalas dengan ucapan ‘terima kasih’ dan rasa hormat dalam diri.

Kebelakangan ini, ramai pelajar mula berasa diri mereka lebih hebat berbanding guru. Nilai hormat-menghormati yang diterapkan dalam diri seolah-olah tidak sebati dalam diri mereka.

Susulan itu, GPS Bestari ingin berkongsikan lima kelebihan buat pelajar yang menunjukkan rasa hormat terhadap guru mereka.

1) Ilmu lebih berkat

Perasaan hormat yang ditunjukkan terhadap guru akan menjadikan ilmu yang diterima lebih berkat. Keberkatan ilmu akan menjamin kehidupan pelajar menjadi lebih baik.

2) Mudah memahami ilmu yang disampaikan

Mereka yang menghormati guru masing-masing akan mudah untuk menerima dan memahami ilmu yang diajar oleh guru. Minda seseorang pelajar akan menjadi lebih terbuka tanpa sebarang kesulitan.

3) Mudah mengingati ilmu yang diajar

Segala topik yang disampaikan akan mudah diingati. Perasaan hormat dalam diri akan mendorong seseorang memberi tumpuan yang sepenuhnya semasa guru sedang mengajar.

4) Disenangi guru

Mereka yang menghormati guru akan disayangi oleh guru. Perasaan hormat ini akan mengubah seorang guru menjadi lebih penyayang dalam proses menyampaikan ilmu.

5) Guru lebih bersemangat untuk mengajar

Seorang guru akan lebih bersemangat ketika mengajar apabila pelajar menunjukkan rasa hormat yang tinggi kepada mereka. Perasaan hormat tersebut akan menjadikan seorang guru bersungguh-sungguh melakukan pelbagai usaha demi memastikan pelajarnya berjaya.

Ini antara kelebihan sekiranya pelajar menghormati guru. Pupuklah rasa hormat dalam diri agar proses pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

Hargailah jasa seorang guru kerana mereka juga adalah manusia biasa yang ingin dihormati. Jangan sesekali melakukan perkara yang mampu mengguris hati seorang guru, Ingatlah, tanpa mereka tidak akan lahir individu-individu yang berjaya pada hari ini.

Sumber: Pengasas Teknik Belajar SmartStudy, Osman Affan

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan