basikal
basikal

Ibu bapa disaran jaga kesihatan mental anak-anak melalui sukan

Mariatul Qatiah Zakaria
11 Oct 2021 07:13pm
A
A
A

Pastinya ramai ibu bapa memahami betapa sukarnya untuk mengekalkan motivasi anak-anak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan, apatah lagi apabila sesi permainan bersemuka serta interaksi sosial dengan rakan-rakan telah berkurangan.

Sekiranya ia tidak ditangani, keadaan ini boleh menyebabkan ‘kelesuan pembelajaran di rumah’.

Menurut ahli Psikologi Perkembangan dan Felo Pengajar Kanan, Universiti Sunway, Elaine Yong, masalah ini berpunca daripada dua faktor iaitu kelelahan dan kebosanan.

“Keletihan mental akibat tempoh pembelajaran di rumah yang berlanjutan boleh menyebabkan kelelahan. Manakala masa terluang yang lazimnya dimanfaatkan untuk aktiviti kokurikulum boleh menjadi punca kebosanan, sekaligus menyebabkan mereka menghabiskan lebih masa menatap skrin peranti dan gajet pintar.

“Sungguhpun tiada jalan pintas untuk mengatasi keletihan dan kebosanan, ibu bapa boleh mengambil beberapa langkah bijak bagi membantu mencegah kelesuan pembelajaran di rumah.

“Mulakan dengan menetapkan rutin harian yang mudah namun konsisten adalah terbaik,” ujarnya.

Tambah beliau, jadikan rutin harian satu norma kebiasaan dapat membantu anak-anak menyesuaikan diri dan ia semudah menyelesaikan tiga atau empat tugasan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka dan disusun mengikut urutan kegemaran atau tahap kesukaran.

Sepanjang tempoh PKP, ulas Elaine, sempadan antara pembelajaran dan istirahat telah menjadi kabur. Meskipun istirahat penting untuk kesihatan mental anak-anak, aspek ini kurang diberikan perhatian.

“Mewajibkan hari rehat merupakan permulaan yang baik. Tetapkan satu hari tanpa kerja sekolah atau hari tanpa peranti elektronik bagi meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

“Pada hari rehat tersebut, galakkan anak-anak untuk berjinak-jinak dengan hobi atau bersukan,” sarannya lagi.

Berjoging antara sukan yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga.

Tuturnya lanjut, sukan dapat membantu memelihara kesihatan mental anak-anak dan ia cara positif untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti tidur.

Katanya, apabila anak-anak kekal cergas, ia dapat membantu meningkatkan tahap perhatian dan fokus mereka. Badan yang cergas mengaktifkan minda.

Orang ramai disarankan melakukan aktiviti bersukan di sekitar kawasan perumahan bersama keluarga selama 30 minit, dua kali seminggu.

Walaupun pandemik dan pelbagai sekatan fizikal telah menjejaskan aktiviti sukan, ibu bapa digalakkan untuk memastikan anak-anak kekal aktif di rumah dan kecergasan fizikal kritikal untuk pertumbuhan otot dan tulang.

Dalam pada itu, dengan kebanyakan negeri telah beralih ke Fasa Tiga, Pelan Pemulihan Nasional, rakyat kini dapat memanfaatkan aktiviti riadah luar rumah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih longgar.

Elaine menyarankan orang ramai melakukan aktiviti berjalan kaki, berbasikal atau berjoging di sekitar kawasan perumahan bersama keluarga selama 30 minit, dua kali seminggu.

“Jadikannya satu sesi penerokaan alam sekitar kerana ramai anak-anak, khususnya yang tinggal di kawasan bandar kurang penghayatan terhadap alam sekitar.

“Tiada masalah bagi mereka yang memilih untuk berada di rumah, kerana rumah dapat diubah kepada zon aktif dengan mudah,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan