icfl future image
icfl future image

ICFL anjur kejohanan bola sepak B16 peringkat kebangsaan

Mariatul Qatiah Zakaria
01 Mar 2022 06:21pm
A
A
A

SELANGOR – Inter Club Football League (ICFL) maju setapak lagi dalam pembangunan bola sepak negara di peringkat akar umbi apabila menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 (B16) Peringkat Kebangsaan 2022 di Kota Bharu, Kelantan, bermula 1 hingga 4 Mac ini.

Presidennya, Datuk Kamil Mokhtar berkata, sebelum ini, ICFL lebih tertumpu kepada penganjuran liga komuniti dan karnival di sekitar Lembah Klang.

Tambah beliau, dengan penganjuran peringkat kebangsaan ini, ICFL berjaya membuat perancangan untuk lebih berkembang dalam arena bola sepak negara.

“Kejohanan dengan kerjasama Grey United FC dan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Majlis Sukan Negeri Kelantan ini berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada pasukan-pasukan dari seluruh negara.

“Antara pasukan yang telah mengesahkan penyertaan termasuk dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang berpengkalan di Gambang, Pahang juga turut menyatakan persetujuan untuk menyertai kejohanan ini,” katanya kepada media baru-baru ini.

Menurut Kamil lagi, dalam usaha melahirkan pemain bola sepak berkualiti, Kelab Bolasepak ICFL telah mewujudkan platform khas untuk remaja terutama bawah 14 tahun sejak 2018.

“ICFL juga dalam perancangan melakukan pembaharuan ekosistem pembanguan pemain di peringkat akar umbi seperti yang diguna pakai oleh pasukan Grey United dari Kelantan yang disifatkan cukup sempurna.

“Dalam kejohanan ini, Grey United menghantar dua pasukan di mana pembangunan pemain-pemain ini amat menarik yang bermula dari ‘zero to hero’.

“Sehubungan itu, ICFL turut merancang untuk menerapkan kaedah pembangunan pemain yang sama untuk membentuk pasukan yang mantap pada masa akan datang termasuk menjalinkan kerjasama dengan sekolah-sekolah termasuk pusat tahfiz di Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, di sebalik kejohanan ini, Kelab Bolasepak ICFL turut menyediakan sistem pangkalan data bagi setiap pemain dan pasukan yang terlibat bagi persediaan mereka menjadi pemain professional.

Tutur beliau, sistem ini telah terbukti keberkesanannya apabila diguna pakai oleh Kelab Bolasepak ICFL dalam seminar ‘Kem Jaguh’ di Melaka.

“Sistem pangkalan data ini merupakan satu profil lengkap pemain dari segi pencapaian fizikal, teknik, disiplin, kemahiran dan lain-lain lagi.

“Ini dilihat sangat bagus kerana terdapat perubahan besar yang berlaku dalam pemikiran dan pencapaian pemain di peringkat yang lebih tinggi malah ada di antara pemain telah terpilih mewakili negeri dan daerah masing-masing,” tutur Kamil lanjut.

Dalam pada itu, pasukan yang menjuarai kejohanan ini akan mewakili ICFL Malaysia untuk bersaing dalam kejohanan antarabangsa melibatkan pasukan dan kelab dari negara luar seperti Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Korea dan Jepun.

Sementara itu, pihak penganjur turut berharap mana-mana agensi kerajaan atau swasta tampil memberikan sokongan padu kepada penganjuran tahun ini bagi melahirkan pemain yang berkualiti dan menjadi pelapis kepada pasukan bola sepak negara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan