Untitled design (1)
Untitled design (1)

'Industri komik tempatan ada masa depan' - Presiden Pekomik, Wukong

Roshlawaty Md Raieh
02 Aug 2021 04:08pm
A
A
A

Komik sememangnya menjadi salah satu bahan bacaan ringan generasi muda sejak dahulu lagi.

Faktor tersebut mungkin disebabkan lukisan setiap watak komik dan persembahan jalan cerita yang dihasilkan menarik, ayat perbualan yang cukup ringkas hingga memudahkan pembaca memahami jalan atau susunan cerita dengan lebih cepat.

Disebabkan fanatiknya membaca komik, golongan ini tidak kisah mengeluarkan ‘modal’ untuk membeli malah ada dalam kalangan pengumpul komik sanggup berhabis duit semata-mata mahu memiliki buku tersebut.

Bagaimanapun, masa depan komik mungkin berhadapan sedikit masalah lantaran kewujudan pelbagai bahan bacaan di pasaran hari ini.

Tambahan pula, sekarang ini zaman digital, semua bahan bacaan boleh didapati dengan mudah tanpa perlu mengeluarkan sebarang modal untuk membaca buku-buku yang diinginkan.

Presiden Persatuan Pengiat dan Pelukis Komik Malaysia (Pekomik), Wukong, 42, mengakui industri komik di Malaysia makin suram disebabkan masalah-masalah tertentu.

“Pertama, kita sudah banyak persaingan dengan bahan bacaan lain. Paling ketara, bila semuanya boleh didapati dengan mudah dalam pelbagai platform digital.

“Kedua, negara kini diuji dengan pandemik Covid-19. Ini membuatkan industri komik turut terkesan. Kami tidak dapat turun padang untuk mempromosikan komik tempatan yang dihasilkan walaupun kita ada karya yang hebat,” ujarnya kepada GPSBestari, baru-baru ini.

Wukong atau nama sebenarnya Abdul Rani Ahmad berkata, pengiat komik perlu mencari alternatif dalam memastikan setiap pelukis komik (generasi muda) dapat menghasilkan karya yang berjiwa nusantara.

“Kita mempunyai ramai pelukis komik yang hebat-hebat dalam kalangan generasi muda. Tapi sayang, mereka lebih kepada penghasilan watak dan gaya persembahan komik dari negara luar, misalnya Jepun.

“Berbanding pada tahun 70-an, dunia komik kita dipenuhi dengan karya yang berjiwa nusantara. Lihat sahaja pelukis komik lama seperti Rudi Mahmood, Ibrahim Hamid, Kuzae, Nik Hashim dan Saari Am (sekadar beberapa nama). Gaya lukisan mereka sangat tersendiri dan mempunyai identiti yang sangat kuat,” jelas Wukong, seorang animator yang mempunyai pentauliahan Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG).

Untuk memastikan komik tempatan diterima ramai, Wukong berkata, setiap pelukis komik terutamanya yang muda, perlu memiliki pelbagai ilmu dan bukan sekadar hanya bakat luar biasa dalam melukis sahaja.

“Bakat melukis sahaja tidak mencukupi. Kena fikir sesuatu untuk beri manfaat kepada pembaca. Misalnya jalan cerita dalam komik. Perlu ada kisah menarik untuk tarik pembaca dan untuk mencari idea, variasi ilmu perlu ada.

“Tengok pelukis veteran Mohd Zohri Sukimi (Zoy), Datuk Mohammad Nor Khalid (Datuk Lat), Jaafar Taib, Zainal Buang Hussein, Rossem dan ramai lagi. Kesemuanya berilmu dan miliki bakat melukis yang tersendiri. Malah karya-karya mereka, masih diingati hingga kini,” katanya.

Mengulas berkenaan komik dijadikan sebagai medium pembelajaran, Wukong ada pandangannya yang tersendiri.

“Ya, komik boleh dijadikan sebagai bahan pembelajaran kerana ia bukan sekadar memberi hiburan sahaja, tetapi ada maksud tersurat dan tersirat di dalamnya,” tuturnya lagi.

Jelas Wukong yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri animasi, sesetengah negara, komik telah dijadikan bahan bacaan yang sama penting dengan buku akademik.

“Misalnya di Korea, Jepun dan China, komik-komik mereka sudah diterima dan menjadi bahan penting dalam pendidikan peringkat kanak-kanak.

“Kerana itu, di Malaysia pun sama. Harapnya, kehadiran komik-komik tempatan boleh dijadikan sebagai sumber bacaan penting dalam menarik minat mereka untuk membaca,” ujarnya yang pernah menghasilkan komik bersama UNITEN Newsletter-SWA Graphic Studio, Ana Muslim, Komikoo, Kembara Ustaz, Felda Comic Content – VC Kreatif Publication, Komikapalooza dan Lejen Press.

Sedikit nasihat Wukong untuk pelukis komik muda agar mereka berusaha menghasilkan karya yang bersifat nusantara dan bukannya menjadikan komik negara luar sebagai rujukan.

“Kita ada ramai tokoh sejarah dan srikandi wanita yang hebat dengan kisah masing-masing.

“Ada Hang Tuah, Tun Teja, Puteri Gunung Ledang, Puteri Saadong, Dol Said, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan ramai lagi. Mereka ini boleh dijadikan watak dalam komik tempatan dan ini tentunya secara tidak langsung membantu anak-anak mengetahui tentang sejarah negara,” ulasnya.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan