IMG_1410
IMG_1410

Ingin berbakti kepada masyarakat

Mariatul Qatiah Zakaria
26 Jul 2021 03:33pm
A
A
A

Doktor selebriti ini cukup terkenal dengan perwatakannya yang ceria dan happy go lucky. Setiap perkembangan yang dikongsi di media sosial pastinya mencuit hati dan sarat dengan mesej berguna yang memberi manfaat kepada para pengikutnya.

Berharap apa yang dilakukannya hari ini dapat membantu lebih ramai lagi dari sudut kesihatan, Dr Muhammad Shazril Shaharuddin, 33, gembira dan berpuas hati perkongsiannya sering mendapat perhatian.

Bercerita lebih lanjut mengenai hal tersebut, Dr Muhammad Shazril atau lebih dikenali dengan panggilan Dr Say memberitahu, segala-galanya bermula pada hari pertama internshipnya di Hospital Serdang, Selangor.

‘Mempromosikan’ unit tempatnya bekerja, tanpa diduga tindakannya itu turut mendapat perhatian pengarah hospital.

“Sebenarnya dari dahulu suka berkongsi apa juga yang dilakukan di media sosial dan apabila internship di Hospital Serdang, perkara yang sama turut dilakukan.

“Sungguh tidak menyangka tindakan itu bukan sahaja mendapat perhatian ramai tetapi ia turut membuatkan pengarah hospital ‘mencari’ saya.

“Sebenarnya apa yang  dilakukan itu (perkongsian di media sosial) sekadar bahan biasa tetapi ia tidak bagi hospital dan disebabkan itu juga saya menjadi viral,” ujarnya kepada GPSBestari ketika dihubungi baru-baru ini.

Bercerita mengenai kerjayanya sebagai seorang doktor, bapa kepada seorang cahaya mata ini menjelaskan, dia mula berkhidmat di Hospital Serdang, selama dua tahun bermula 2014 sebelum ditukarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu, untuk tempoh yang sama.

Bagaimanapun pada November 2017, beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai doktor di sektor kerajaan dan menjadi doktor freelance.

Hari ini, tidak sekadar bergelar influencer kesihatan, Dr Say juga merupakan seorang pelakon dan pengacara.

Menurut Dr Say, walaupun sudah tidak berkhidmat di hospital namun gelaran doktor tidak pernah lucut daripada namanya kerana dia masih lagi merupakan seorang doktor cuma hari ini dia bergerak bebas dan tidak terikat dengan mana-mana agensi baik kerajaan mahupun swasta.

Apa yang berlaku sebelum ini hanyalah perletakan jawatannya sebagai doktor di sektor kerajaan.

Tutur Dr Say lagi, apa yang dilakukannya itu (perletakan jawatan) bukanlah kerana tidak tahan dengan bebanan kerja tetapi kerana dia ingin bergerak lebih bebas supaya dapat menyebarkan kesedaran mengenai kesihatan dengan lebih meluas.

“Hari ini saya bebas menyebarkan pelbagai ilmu mengenai kesihatan kerana sekiranya di klinik mahupun hospital, maklumat yang ingin dikongsi menjadi terhad, hanya kepada pesakit yang diberikan rawatan sahaja.

“Menjadi seorang influencer memberikan satu kepuasan kerana ramai yang mendapat manfaat daripada perkongsian di media sosial.

“Lagi satu, kepuasan yang diperoleh apabila segala perkongsian dapat diberikan dalam bahasa yang mudah difahami masyarakat dan bukannya bahasa doktor yang terlalu rumit,” katanya sambil tersenyum.

Berharap perkongsiannya mengenai kesihatan di media sosial dapat membantu masyarakat menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Pengajian

Berbual mengenai ‘perjalanan’ pengajiannya sebelum bergelar doktor, Dr Say yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kesemuanya berlatarbelakangkan perubatan berkata, cita-cita asalnya ingin menjadi seorang yang cukup dikenali ramai.

Disebabkan alasan itu dia ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi tetapi mendapat tentangan daripada ayahnya.

Setelah berfikir panjang, Dr Say akhirnya memilih melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan sekali gus memenuhi permintaan ayahnya.

“Sebelum melanjutkan pelajaran selama lima tahun di MSU Bangalore, India, saya terlebih dahulu membuat persediaan selama dua tahun di sini (Malaysia).

“Bagaimanapun tempoh pengajian ini bergantung kepada institut pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan program perubatan.

“Alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan,” katanya.

Menyatakan Biologi antara mata pelajaran yang penting bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, Dr Say menjelaskan ini kerana ia berkaitan dengan tubuh badan manusia dan doktor juga akan berurusan dengan tubuh badan pesakit.

Tidak menafikan mata pelajaran Sains yang lain seperti Fizik dan Kimia juga penting, Dr Say berkata, untuk bergelar seorang doktor, seseorang pelajar harus lulus cemerlang dalam mata pelajaran Sains.

Pengalaman sebagai doktor

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Jalan 3, Bandar Baru Bangi, sebelum ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Perlis, Dr Say turut berkongsi pengalaman pertama ketika menjalani housemanship di Hospital Serdang.

Katanya, segala-galanya bertukar menjadi kerjaya yang menyeronokkan apabila dia mula berurusan dengan orang ramai.

Walaupun tidak lagi berkhidmat dengan kerajaan, Dr Say masih lagi seorang doktor dan kini bergerak bebas.

“Walaupun pada awalnya saya lebih cenderung kepada bidang komunikasi dan perubatan hanya untuk memenuhi permintaan keluarga, pengajian selama tujuh tahun berjaya ditamatkan.

“Doktor, bukanlah kerjaya pilihan saya tetapi akhirnya ia menjadi satu bidang yang sangat hebat apabila melihat orang yang dirawat menjadi sihat.

“Melihat pesakit yang dirawat semakin sembuh dan menerima ucapan terima kasih, ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” ujar Dr Say mengakhiri temu bual.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan