WhatsApp Image 2022-03-31 at 12.01.10 PM
WhatsApp Image 2022-03-31 at 12.01.10 PM

Insiden pensyarah marah pelajar: Sudut positif yang boleh dijadikan pengajaran

Adlan Farhan Azwan
31 Mar 2022 12:01pm
A
A
A

Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila video memaparkan seorang pensyarah memarahi salah seorang pelajarnya kerana tidak mempunyai kelengkapan komputer yang diperlukan untuk mengikuti proses pembelajaran kelas itu.

Ramai pengguna turut melemparkan kecaman serta mendesak agar pensyarah tersebut dikenakan tindakan sewajaranya atas perlakuan yang tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pendidik.

Namun, insiden ini juga telah membuka mata masyarakat di luar sana bahawa masih ramai lagi pelajar yang tidak mempunyai kelengkapan seperti internet dan komputer yang menjadi keperluan penting disebabkan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Banyak sebenarnya pengajaran yang boleh kita ambil tidak kira pelajar, pendidik, mahupun sebagai masyarakat luar. Antaranya:

1. Pendidik mahukan yang terbaik buat pelajar

Sudah semestinya apabila bergelar sebagai seorang pendidik, mereka pasti mahukan yang terbaik buat para pelajarnya. Tidak ada seorang pun yang bergelar pendidik sama ada guru di sekolah ataupun pensyarah di universiti ingin melihat anak didiknya gagal.

2. Komputer dan internet masih sukar diakses

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah dilakukan sejak dua tahun yang lepas. Kini, sekolah sudah dibuka dan institut pengajian tinggi (IPT) juga telah membenarkan pelajar untuk balik ke kampus.

Namun begitu, masih ramai juga pelajar yang terpaksa menjalani proses pembelajaran secara dalam talian sehingga ke hari ini. Jaringan internet dan komputer juga dilihat telah menjadi keperluan buat semua pelajar. Dalam insiden ini, kita boleh lihat bahawa masih ramai pelajar yang tidak mempunyai kelengkapan yang diperlukan dan ia merupakan satu perkara yang harus dibimbangkan.

3. Kemudahan bantuan untuk pelajar

Sebagai pelajar, harus menjadi tanggungjawab supaya mencari jalan terbaik untuk mendapatkan bantuan sekiranya kelengkapan yang diperlukan berada di luar kemampuan dari segi kewangan.

Kini, banyak jenis bantuan dan juga biasiswa yang boleh dimohon oleh pelajar golongan B40 bagi meringankan beban mereka untuk belajar. Bantuan ini juga boleh digunakan untuk membeli kelengkapan yang telah diwajibkan.

Dalam situasi ini juga, pelajar dan pendidik perlu berganding bahu untuk peka dengan mana-mana tawaran biasiswa supaya sesiapa yang memerlukannya tidak terlepas daripada membuat permohonan.

4. Sifat empati perlu bagi seorang pendidik

Selain memastikan pencapaian yang baik oleh pelajar, sifat empati juga diperlukan bagi seorang pendidik. Setiap kata-kata yang dikeluarkan tidak kira baik atau buruk mampu memberi kesan terhadap pelajar.

Kita sendiri boleh lihat banyak pendidik telah mengubah kehidupan seseorang pelajar itu sehingga mampu menjadi insan yang berjaya pada masa hadapan. Ini tidak akan dicapai sekiranya pendidik itu sendiri tidak mempunyai sifat empati di dalam diri.

Perlu diingatkan juga semua nasib pelajar tidak sama dan pelajar datang daripada pelbagai latar belakang. Situasi menjadi lebih keruh dengan wujudnya pandemik Covid-19 yang mengakibatkan harga kelengkapan seperti komputer melambung naik.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

5. Jangan cepat menghukum

Situasi yang berlaku ini telah mengajar kita supaya tidak menghukum dengan sewenangnya tanpa melakukan penelitian terlebih dahulu. Kita boleh membuat penilaian terhadap apa yang dilihat, cuma selalu beringat tanggapan tidak semestinya betul.

Komen-komen yang ditulis pada setiap hantaran berkaitan insiden in perlu ditulis dengan niat baik tanpa menghukum terlebih dahulu agar ia tidak memburukkan mana-mana pihak.

Sinar Bestari berharap agar insiden ini memberi pengajaran kepada kita semua untuk menjadi insan yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan lagi martabat pendidikan negara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan