Cabaran sebagai warden asrama ‘kerja 24 jam tanpa henti dan jangan mengeluh’
Cabaran sebagai warden asrama ‘kerja 24 jam tanpa henti dan jangan mengeluh’

"Jadi warden asrama memang menguji. Bayangkan, kita seolah-olah bekerja 24 jam tanpa henti"

Roshlawaty Md Raieh
08 Aug 2022 10:10am
A
A
A

Bagi yang pernah tinggal di asrama, sudah tentu mempunyai pelbagai kisah menarik bersama guru asrama (GA).

Sama ada kisah itu manis atau pahit, ia pasti meninggalkan satu kenangan yang sukar dilupakan buat individu tersebut.

Bagi Dr Zulkifli Hussain, banyak pengalaman peribadi yang beliau simpan sepanjang bertugas sebagai GA atau lebih dikenali sebagai warden asrama.

“Jadi warden asrama ini, hati kena kuat dalam menghadapi apa saja situasi di sekolah dan asrama. Jiwa juga kena kental dan cekal serta banyakkan bersabar,” ujarnya.

Sebagai perkongsian bersama pembaca, Dr Zulkifli yang kini Timbalan Pengarah II (Sains Sosial), Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memuat naik hantaran tentang pengalaman menjadi warden asrama di akaun Facebook, baru-baru ini.

Dengan tajuk ‘Kisah guru asrama/warden’, Sinar Bestari kongsikan coretan beliau untuk bacaan semua.

Semoga pengalaman peribadi Dr Zulkifli dapat dijadikan panduan buat guru-guru yang sedang dan bakal menjadi GA kelak.

*****

Jadi GA atau warden asrama memang menguji. Betul tak? Siapa yang pernah dan sedang jadi warden asrama boleh kongsi pengalaman masing-masing. Tapi bagi sesiapa yang tidak berpeluang menjadi GA, pada saya macam tidak lengkap pengalaman sebagai pendidik.

Kalau hendak tengok karekter pelajar yang sebenar, makanya kena jadi warden asrama.

Apa yang mencabarnya menjadi GA?

1) Masa

Kita seolah-olah bekerja 24 jam. Balik daripada sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah, kita kena bergelumang dengan kerenah pelajar di asrama.

Malam, ketika gosok gigi, cuci muka, basuh kaki dan seterusnya mahu sarung selimut untuk tidur, tiba-tiba pintu rumah kena ketuk.

“Cikgu saya demam”

Segera bangun dari katil dan terus ke hospital bawa pelajar yang demam tadi. Kalau sampai di hospital jam 12 tengah malam, rasanya dapat selesaikan 12.30 malam ke? Awas! Tidak ya. Tunggu la beberapa jam di hospital untuk urus pelajar. Tersengguk-sengguklah di kerusi tempat menunggu.

Selesai di hospital dalam pukul 2 atau 3 pagi, balik ke sekolah dan esok paginya kena beraksi di kelas pulak. Tapi anehnya cikgu-cikgu ini macam sudah kebal. Seolah ada kuasa ghaib yang memberi tenaga kepada mereka.

2) Tugas

GA ini seperti ayah dan ibu kepada pelajar di asrama. Kebersihan, keselamatan dan keceriaan kena jaga. Sebelum pelajar tinggalkan asrama, cadar kena tegang, tuala di jemur di ampaian, loker tersusun, tandas bersih, kasut selipar tersusun, bilik belajar kemas dan macam-macam lagi.

Anak-anak ini biasalah. Kita suruh kadang macam kita larang. Ada yang patuh alhamdulillah, yang tidak patuh? Kena sabar, kalau tidak sabar memang darah naik.

3) Kerjasama

Banyak jenis kerjasama yang saya maksudkan.

Pertama, pasukan warden asrama - Kalau pasukan jenis ‘power rangers’, memang seronok. Kerja penat macam mana pun, warden tetap gembira.

Kedua, komitmen pengurusan - Kalau Pengetua dan Timbalan Pengetua jenis sanggup singsing lengan dengan GA, kerja penat macam mana pun, GA tetap gembira.

Ketiga, kerjasama pelajar dan yang ini paling mahal. Kalau pelajar jenis patuh rasanya ini bonus, tetapi langit tidak sentiasa cerah ya.

Keempat, kerjasama ibu bapa - Jika ibu bapa yang boleh bekerjasama dengan GA ini juga bonus. Tetapi sepanjang lima tahun sebagai GA, saya dapat rasa semua kerjasama ini.

Kuasa ghaib tadi muncul daripada kerjasama ini. Saya ingat lagi, kami tidak balik cuti raya cina semata-mata hendak mengecat asrama. Kami dengan t-shirt pagoda, jadi bangla mengecat asrama. Gigih.

4) Urus hal-hal yang tidak terduga

Anak-anak tetap anak-anak. Kita bagi makan, kita bermain dekat padang dengan mereka, kita bawa ke hospital dan sebagainya, kalau mereka hendak buat hal mereka akan buat juga. Maklum sahajalah budak-budak. Kalau ada kes disiplin, kita kena sentiasa bersedia. Pendek kata tidak tidur malam itu kalau kes disiplin berlaku.

Tetapi saya tidak mahu melihat cabaran ini sebagai isu yang hendak diratap-ratap. Saya secara peribadi, melihat tugas GA sebagai satu peluang untuk saya belajar.

Sebab?

1) Kita kerja lebih tiada masalah. Ya! Jadi GA ini umpama kerja 24 jam. Lebih baik kita kerja lebih daripada tidak cukup. Semasa kita ditemu duga untuk masuk kerja sebagai guru – ‘tukar tayar bas pun sanggup kan…’

2) Kita berbakti kepada anak orang, insya-ALLAH anak kita juga dilayan baik oleh guru-gurunya nanti. Buat sehabis baik untuk didik pelajar. Mudahkan urusan semua orang insya-ALLAH urusan kita pasti dipermudahkan. Ini merupakan matlamat kerohanian yang perlu ditanam dalam diri seorang warden.

3) Ruang untuk belajar mengenal karekter anak-anak remaja. Setiap pelajar membawa karekter yang berbeza. Setiap tingkatan juga berbeza perangainya. Keterbezaan ini perlu dilayan dengan kaedah yang berbeza yang akhirnya akan mematangkan GA.

4) Medan latihan untuk bersabar

Emosi kita adalah pilihan sendiri. Dalam banyak situasi, menjadi warden memang kena banyak sabar. Kita berurusan dengan ‘human being’ yang unik.

5) Medan latihan kerohanian

Kita suruh pelajar berjemaah di surau, takkanlah kita tidak ke surau? Yang ini memang menarik. Kita akan membentuk diri kita yang suka solat berjemaah, baca al-Quran, puasa sunat dan sebagainya. Latihan ini memang mahal untuk saya. Alhamdulillah.

Kesimpulannya, bertugas sebagai GA dengan penuh kesedaran ketuhanan. Anggaplah tugas warden sebagai ladang pahala untuk kita. Belajar terus belajar untuk bersabar, berkomunikasi berkesan dengan pelajar dan ibu bapa serta belajar psikologi perkembangan remaja. Pendek kata, kena jadi GA yang berkemahiran dan berilmu.

Untuk pihak pengurusan (pengetua dan timbalan), guna prinsip ‘balcony & dance floor’.

Duduk di ‘balcony’ untuk memantau secara efisyen dan duduk di ‘dance floor’ untuk menari dan bersingsing lengan dengan GA. Keberadaan pihak pengurusan amat bermakna untuk warden.

Untuk para ibu bapa, kurangkan indeks rungutan. Pilihlah untuk jadi ibu bapa yang banyak memberi perkara yang positif.

Faham bebanan dan kekangan GA. Beri sokongan dengan cara masing-masing kepada warden secara berterusan.

Hakikatnya inilah dunia pendidikan. Setiap isu yang berlaku adalah peluang untuk kita belajar dan belajar.

Teruskan GA! Caiyookkkk!

Artikel berkaitan 

Alumni MRSM jadi Pegawai Wanita TLDM pertama miliki kepakaran dalam bidang peluru dan letupan, mengagumkan!

9 bulan 22 hari Dany Al-Fathoni hafal 30 juzuk al-Quran, hebat didikan mak ayah pelajar MRSM ini

Anak MRSM jadi kebanggaan masyarakat Orang Asli, kongsi rahsia raih keputusan cemerlang dalam akademik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan