‘Jahatnya’ kadar faedah, ramai gagal fahami formula dan terma pinjaman
‘Jahatnya’ kadar faedah, ramai gagal fahami formula dan terma pinjaman

‘Jahatnya’ kadar faedah, ramai gagal fahami formula dan terma pinjaman

webadmin
10 Aug 2022 11:28am
A
A
A

Kadar faedah memberi kesan berbeza kepada pinjaman dan pelaburan. Kesilapan dalam memahami istilah ini pastinya memberi kesan kepada kedudukan kewangan seseorang.

Secara asasnya, kadar faedah menambah kepada kos pinjaman menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan adalah lebih besar berbanding jumlah sebenar yang dipinjam. Lebih tinggi kadar faedah, lebih besarlah jumlah pinjaman yang ditanggung oleh peminjam.

Bagaimanapun, dalam pelaburan kadar faedah boleh dianggap sebagai keuntungan kepada pelabur dan ia menambah jumlah modal pelaburan.

Sehubungan itu, lebih besar kadar faedah atau dividen maka lebih baiklah untuk pelabur. Apabila ingin meminjam, pengguna perlu mencari kadar faedah terendah manakala dalam pelaburan, pengguna perlu mencari kadar faedah paling tinggi dengan kadar risiko yang berpatutan.

Pengiraan kadar faedah pula berbezabeza bergantung kepada terma dan syarat yang dikenakan pemberi pinjaman atau pengurus pelaburan, sama ada kadar faedah mudah atau terkompaun.

Kadar faedah mudah dikira terhadap modal, manakala faedah terkompaun dikira berdasarkan konsep faedah atas faedah.

Dalam pelaburan, kadar faedah terkompaun boleh mengembangkan modal pelaburan jika dividen tidak dikeluarkan tetapi dalam pinjaman, ia menyebabkan hutang bertambah setiap kali berlakunya tunggakan. Sebagai contoh, kad kredit mengenakan caj faedah terkompaun yang mana sebarang tunggakan akan dikenakan faedah selagi ia tidak dibayar sepenuhnya.

Dengan jumlah pinjaman tertunggak sebanyak RM5,000 dan caj faedah 18 peratus setahun, peminjam memerlukan 70 bulan untuk melunaskan sepenuhnya hutang berkenaan jika hanya membayar minimum lima peratus sebulan.

Caj faedah terkumpul yang perlu dibayar ialah RM1,912, menjadikan jumlah pinjaman sebanyak RM6,912. Untuk mengelak masalah hutang berpanjangan, peminjam dan pengguna kad kredit dinasihatkan supaya sentiasa membayar ansuran bulanan bagi mengelakkan berlakunya tunggakan untuk satu tempoh yang panjang.

Kegagalan memahami terma dan syarat pinjaman merupakan antara jerat yang tidak disedari ramai pengguna. Akhirnya, mereka terperangkap mengumpul hutang ketika berdepan masalah kewangan kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan dalam masa ditetapkan.

Antara contoh biasa kegagalan memahami terma dan syarat pinjaman ialah amalan membayar caj minimum sahaja untuk kad kredit. Kegagalan ini menyebabkan ramai pengguna kad kredit tidak sedar hutang mereka bertambah kerana beranggapan hutang sudah pun dilunaskan, sedangkan bayaran minimum sebenarnya untuk mengaktifkan kad sahaja.

Untuk memahami kesan kadar faedah kepada kewangan pengguna, mereka juga perlu peka dengan sebarang perubahan pada dasar kewangan yang diumumkan kerajaan dan mengambil kira risiko turun naik kadar faedah apabila mengambil pinjaman.

Ada kadar faedah dikenakan secara tetap dan ada juga yang dipanggil sebagai kadar faedah terapung. Setiap kali berlakunya perubahan dalam kadar dasar semalaman (OPR), ia turut memberi kesan kepada ansuran bulanan yang perlu dibayar.

Jika kadar OPR turun, maka berkuranglah sedikit bayaran tetapi jika sebaliknya, ia mungkin menambah beban kewangan peminjam terutamanya mereka yang mengambil pinjaman di luar kemampuan.

Justeru, apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kenaikan OPR, peminjam juga perlu melihat semula pendapatan dan perbelanjaan bulanan serta menyusunnya semula untuk menyesuaikannya dengan ansuran bulanan terkini yang perlu dibayar.

Jadi, sebelum mengambil sebarang pinjaman, pengguna perlu ambil tahu mengenai kadar faedah yang dikenakan serta terma dan syarat yang datang bersamanya. Panduan mudah apabila ingin mengambil pinjaman ialah mengambilnya berdasarkan kemampuan untuk membayar ansuran bulanan menggunakan gaji sendiri dengan mengambil kira komitmen semasa dan masa depan.

Ini kerana pinjaman biasanya mengambil masa yang panjang dan sepanjang tempoh itu pastinya banyak perkara berlaku dalam kehidupan kita. Untuk kelangsungan kewangan jangka panjang, fahami kadar faedah bagi mengelak terjerat dalam beban kewangan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan