“Jangan bagi staf kita gementar”, kaedah pentadbir berperanan besar jadikan guru selesa semasa pencerapan
Pencerapan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) merupakan salah satu bentuk penilaian yang dilaksanakan di peringkat sekolah.
Kebiasaannya, pencerapan akan dilakukan oleh barisan pentadbir, Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC), Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan ada juga dalam kalangan guru berpengalaman yang dilantik oleh sekolah sebagai penilai.
Meskipun seseorang guru sudah mempunyai pengalaman mengajar berpuluh tahun, namun perasaan gementar ketika dicerap masih ada kerana setiap gerak-geri guru akan diperhatikan.
Perasaan gemuruh bertambah lebih-lebih lagi apabila pencerapan yang dilakukan adalah secara mengejut tanpa pemberitahuan atau makluman awal.
Oleh itu, Sinar Bestari tertarik dengan hantaran oleh Cikgu Muhammad Nazmi Rosli yang membuat perkongsian tentang pendekatan diambil oleh pentadbir supaya dapat memastikan guru melalui proses pencerapan dengan berkesan.
Jom ikuti perkongsian beliau
“Mi, buka blazer kau.”
Tegur salah seorang guru besar dari sekolah lain.
“Kita hendak mencerap ini kalau boleh tidak mahu bagi kecut perut staf kita, elakkan mereka berasa gementar. Kita nak tunjukkan kita ini masuk untuk tengok-tengok bantu sahaja, kita bukan pegawai besar yang ingin mencari kesalahan.”
Aku pun angguk faham, terus tanggalkan blazer aku.
Sepanjang aku jadi Penolong Kanan (PK) 1, sepanjang aku dipanggil cerap kelas untuk Professional Learning Community (PLC) untuk Open Class dengan sekolah lain atau PPD lain, inilah kali pertama aku dapat latihan mencerap.
Bersama guru-guru besar dan pengetua di daerah aku, kami disuruh ke sebuah sekolah, diberikan kelas, dan cerap.
Tujuan sebenarnya adalah untuk melatih kami menggunakan Standard 4 SKPMG2.
Blazer aku tinggalkan di bilik mesyuarat.
Masih aku ingat di Sibu tahun lalu, seorang pembentang kertas jadi kecut dan gementar apabila tengok kami masuk sesi dia dengan suit dan tie, segak macam Man In Black. Dia tiba-tiba gagap sepanjang pembentangan. Tidak mahu staf kita jadi begitu.
“Awak puas hati dengan kelas tadi?”
Tanya seorang pula guru besar kepada seorang yang diserap sekiranya ada apa-apa yang berlaku sebelum kelas itu yang menjadi penghalang beliau dari melaksanakan pengajaran yang terbaik.
“Kalau tidak, kita boleh buat pencerapan lain, di waktu lain, yang kamu lebih bersedia..”
“Saya tidak akan beri apa-apa markah dan penilaian dahulu kepada kamu melainkan kamu terangkan dahulu langkah demi langkah PdPc kamu, dan beri alasan kenapa dan kenapa kamu pilih untuk buat sedemikian..”
Wah betul juga.
Kita hari ini mencerap, tanpa usul periksa rancangan pengajaran harian (RPH) mereka terus tembak. “Kenapa tidak menggunakan LCD? Apa guna sekolah beli?”
“Saya tidak akan persoal apa sahaja kamu buat sebelum kamu sendiri terangkan pelan pembelajaran kamu, kenapa dan kenapa?”
Jawab yang dinilai:
“Baik saya buat begini… sebab…”
“Kemudian, langkah ini saya buat.. kerana..”
“Saya buat dekat mereka begini… kerana…”
Semua terjawab sehinggakan sebelum pencerap lontarkan komen..
“Oh,, jadi kamu tidak mahu guna soalan Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT) sebab tahap mereka masih agak rendah ya..?”
“Oh, jadi kamu tidak mahu gunakan traffic light sebab mereka makin kurang berkomunikasi yaa..”
“Oh, kamu guna cara ini dan bukan guna kemahiran Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (TMK) sebab sudah terbukti keberkesanannya, yaa..”
“Oh, kami selitkan bahasa ibunda mereka sedikit sebab mereka Bahasa Melayu pun tidak pandai ya..”
Aku makin faham.
“Jangan sesekali menilai kelas orang tanpa usul periksa terlebih dahulu.
Kita tidak kenal murid itu sebagaimana guru mereka kenal murid itu.”
“Jangan pernah masuk memerhatikan kelas orang tanpa kita ada RPH untuk kelas tersebut.”
“Jangan pernah masuk mencerap dengan niat ada yang kau ingin memperbetulkan, Mi.”
Masuk dengan niat mungkin kita boleh nampak potensi atau kelebihan cikgu tersebut yang mungkin dia sendiri pun tidak tahu dan kemudian bagitahu dia..”
“Sentiasa mengikuti pencerapan dengan perbincangan, bukan menunjukkan apa salah dia..”
“Kena selalu hormat guru senior, walau kadang di mata kita cara mereka sudah ketinggalan zaman. Daripada ‘teknik ketinggalan zaman’ mereka itulah juga ramai jadi manusia. Kita antaranya.”
“Jadi pentadbir seperti seorang abang yang sedang mengajar adik memandu dengan niat satu hari adik kita boleh memandu untuk kita, mereka jumpa keseronokkan dalam pemanduan dan pergi lebih jauh.
Sebab dalam kepimpinan ini, kita memperkasakan orang bawah kita.”
Sumber: Facebook Muhammad Nazmi
Artikel berkaitan
Ciri-ciri pentadbir yang diinginkan guru-guru di Malaysia-Ini senarainya
Jadikan kelas sentiasa ceria, ini 9 ciri yang wajib guru ada. Pasti berkesan!
7 tugas utama Ketua Panitia Subjek