Kegiatan kokurikulum sekolah sepi dan terpinggir, Dr Nurhidaya tampil beri pandangan bernas
Kegiatan kokurikulum sekolah sepi dan terpinggir, Dr Nurhidaya tampil beri pandangan bernas

Kegiatan kokurikulum sekolah sepi dan terpinggir, Dr Nurhidaya tampil beri pandangan bernas

webadmin
05 Feb 2021 01:37pm
A
A
A

Kegiatan kokurikulum sekolah sepi dan terpinggir, Dr Nurhidaya tampil beri pandangan bernas

Kegiatan kokurikulum bermaksud kegiatan yang dirancang daripada proses pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah (kurikulum) yang memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di bilik darjah, berdasarkan Peraturan 2 dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan Kurikulum Kebangsaan 1997.   

Namun begitu, sejak menularnya virus Covid-19 dan diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan virus, kegiatan kokurikulum seakan sepi dan terpinggir.  

Tiada lagi kesibukan anak-anak memakai pakaian seragam pasukan beruniform pada hari Rabu.  

Tiada lagi hiruk pikuk murid-murid berlatih sukan atau merentas desa.  

Tiada lagi riuh rendah murid di sekolah memeriahkan program kokurikulum.

Objektif perlaksanaan kokurikulum, antaranya untuk memenuhi keperluan murid-murid dari segi mental, fizikal dan sosial serta menyemai nilai-nilai spiritual, moral dan etika yang diinginkan selaras dengan aspirasi Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sepatutnya pada 20 Januari 2021, beberapa kohort pelajar atau murid akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka, dan murid mengharapkan situasi kembali normal dengan aktiviti akademik dan kokurikulum dapat dilaksanakan.  

Namun begitu, keterujaan mereka untuk kembali ke sekolah terpadam apabila negara terpaksa akur dengan peningkatan kes Covid-19 dalam Gelombang Ketiga yang menyaksikan PKP kali kedua dilaksanakan.   

Rentetan daripada pengumuman ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan penangguhan sesi pembelajaran secara bersemuka kecuali melibatkan calon peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi  Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan  Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Bagi murid prasekolah, sekolah rendah, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima 2021pula, akan menjalani sesi pembelajaran dalam mod Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian kaedah guru dan murid mengikut lokaliti sekolah masing-masing.

Justeru, bagaimana aktiviti kokurikulum seperti kelab dan persatuan, badan beruniform dan sukan dapat dilaksanakan dalam suasana yang penuh kekangan fizikal ini?   

Kepentingan aktiviti-aktiviti ini juga setara dengan aktiviti kurikulum dalam bilik darjah kerana peranannya sebagai penyumbang dan pelengkap kepada pengajaran dan pembelajaran murid serta pembentukan modal insan (murid) secara menyeluruh yang meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor.

Berbalik kepada persoalan tentang pelaksanaan kokurikulum, kekangan yang ada menuntut guru dan murid untuk lebih kreatif dan inovatif menggunakan platform sedia ada bagi memenuhi objektif kegiatan kokurikulum ini.

Guru-guru boleh melaksanakan sesi pendaftaran kokurikulum murid secara atas talian.

Ibu bapa boleh membantu anak-anak menggunakan komputer atau telefon bimbit untuk membantu sesi pendafatran.

Pemilihan dibuka berdasarkan kuota dan paparan pilihan tidak akan dipaparkan sekiranya pilihan telah mencukupi kuota yg ditetapkan berdasarkan sistem 'first come, first serve'.

Sebelum hari sesi pendafaran bermula, Unit Kokurikulum sekolah boleh melaksanakan taklimat kokurikulum secara atas talian kepada murid-murid.

Di dalam sesi taklimat ini, Unit Kokurikulum boleh menerangkan tentang aktivit kokurikulum yang akan dijalankan dan perlaksanaannya.

Seterusnya, setelah murid-murid dibahagikan mengikut kelab dan persatuan, badan beruniform dan sukan dan permainan, perjumpaan pertama akan dilaksanakan secara atas talian.

Guru-guru penasihat setiap Unit Kokurikulum boleh memilih mana-mana medium atas talian yang bersesuaian.

Dalam perjumpaan pertama ini, boleh dimulakan dengan pengenalan guru penasihat, pemilihan ahli jawatankuasa murid, perbincangan rancangan aktiviti tahunan dan jangan dilupa mengambil kehadiran murid.

Pada minggu-minggu seterusnya, aktiviti-aktiviti yang dirancang boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian.

Sebagai contoh, untuk sukan memanah, antara aktivti yang boleh dijalankan adalah kelas teori seperti peraturan memanah dan teknik memanah.

Selain itu, boleh juga dilaksanakan aktiviti berkumpulan seperti membuat pembentangan tentang sejarah memanah, jenis-jenis peralatan memanah dan sebagainya.

Pelaporan Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan Dan Kokurikulum (PAJSK) adalah satu kaedah pentaksiran aktiviti kokurikulum yang standard dan boleh diterima pakai oleh semua sekolah.

Dengan adanya kaedah, ia menggalakkan dan meningkatkan penglibatan yang menyeluruh dalam kalangan murid.

Selain itu, merujuk Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mei 2005, setiap murid wajib mengikuti tiga aktiviti  kokurikulum dan menetapkan syarat merit 10 peratus markah kokurikulum bagi kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Universiti Awam (UA).  

Adakah PAJSK masih relevan ketika penularan Covid-19 melanda?

Jawapannya pastilah - ya, tetapi persoalan seterusnya - bagaimana para pelajar memastikan markah PAJSK mereka masih cemerlang seperti tahun-tahun sebelum ini?

Untuk makluman, salah satu item yang dikira dalam PAJSK adalah penyertaan dan pencapaian menyertai pertandingan.

Sejak PKP pertama lagi, KPM dan agensi-agensi lain telah mengadakan banyak pertandingan-pertandingan di atas talian.

Untungnya, sesetengah pertandingan tidak meletakkan jumlah had penyertaan untuk setiap sekolah.

Pihak sekolah perlu mengambil peluang ini dengan mengalakkan murid-murid menyertai pertandingan yang diadakan.

Pihak sekolah boleh mencungkil lebih ramai lagi bakat terpendam murid.

Oleh itu, tiada alasan untuk murid-murid tiada pencapaian pada tahun ini.

Jelas bahawa aktiviti kokurikulum masih relevan dan perlu dilaksanaan ketika penularan Covid-19 ini.

Kita sebagai pendidik perlu berfikiran terkehadapan untuk memastikan perlaksanaan aktiviti kokurikulum boleh dilakukan dengan jayanya selaras dengan misi Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian iaitu melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.

Tiada yang mustahil jika kita sama-sama bekerjasama melaksanakannya ibarat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Jangan jadikan penularan Covid-19 ini sebagai batu penghalang untuk membantu pertumbuhan jasmani dan rohani yang seimbang dalam diri murid-murid.

Seperti Tema Hari Guru Tahun 2020 iaitu Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu. Tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Anda guru hebat, kita guru hebat!

*****Terima kasih kepada Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Dr Nurhidaya Mohamad Jan atas perkongsian ini.

Artikel menarik

3 komponen penting dalam pembelajaran teradun yang perlu guru tahu, Cikgu Muhammaad Sabiq kongsi ini

2 pelajar Profesional Perakaunan UiTM tersenarai tempat kedua dan sembilan dunia

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan