Untitled design
Untitled design

Kelab Sekretariat Keusahawanan Pelajar platform gilap bakat siswa dan graduan UMK

webadmin
14 Jul 2021 10:30pm
A
A
A

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terus komited menyemarakkan lagi perkembangan bidang keusahawanan dan perniagaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduannya pada masa hadapan.

Justeru, terdapat pelbagai usaha telah dilaksanakan universiti dalam merealisasikan hal ini, selari dengan Dasar Keusahawanan Negara (NEP2030) untuk membangunkan bidang keusahawanan.

Penubuhan Kelab Sekretariat Keusahawanan Pelajar (SKP) UMK, adalah antara langkah strategik bagi memperkasakan persekitaran keusahawanan di kampus.

SKP yang diselia Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED) di bawah Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEI) berperanan membantu usahawan pelajar dalam menjalankan perniagaan semasa dalam pengajian.

Pengasas SKP, Mohammad Farisfahmi Mamat berkata, kelab tersebut ditubuhkan pada 16 September 2019, bagi menyemarakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pelajar dan juga membantu merancang aktiviti keusahawanan serta menjadi penghubung antara usahawan pelajar dan pihak CEED,UMKEI.

Mohammad Farisfahmi (kanan) bersama Pengarah Kanan UMKEI, Prof Madya Dr Mohammad yang telah banyak memberikan galakan dan sokongan kepada pelaksanaan program SKP.

Jelasnya, SKP telah didaftarkan sebagai kelab dan persatuan pada 29 November 2020.

Beliau berkata, antara inisiatif untuk merancakkan lagi penubuhan SKP ialah memberi kerjasama yang erat berkaitan program-program yang dianjurkan oleh UMKEI.

“Penubuhan SKP bertujuan untuk membantu pelajar mengenalpasti keperluan program, kursus, seminar, bengkel dan jenis bantuan.

“Malah, SKP menjadi penghubung pelajar mengemukakan sebarang bentuk idea dan pandangan kepada pihak pengurusan Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEI),” katanya.

Program keusahawan SKP bersama UMKEI

Mohammad Farisfahmi berkata, SKP juga bertindak menggalakkan pelajar menyertai program keusahawanan yang dianjurkan oleh UMKEI.

Dalam pada itu, hasil daripada inisiatif Kelab SKP bersama UMKEI melalui program yang dianjurkan terdahulu telah melahirkan ramai usahawan pelajar tanpa mengira latar belakang program pengajian.

Program UMK Millionaires Project bersama Fahdi Ghazali merangkap Pengarah Urusan Sifoo International Sdn Bhd serta trainer pemasaran online, adalah antara program yang mendapat sambutan luar biasa yang dianjurkan Kelab SKP.

Mohammad Alif (depan) mempromosikan produk bertih jagung yang diusahakan kepada Fahdi Ghazali dan Pendaftar UMK , Mazula semasa sesi lawatan gerai usahawan pelajar sempena program UMK Millionaire di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa.

Program UMK Millionaires Project bersama Fahdi Ghazali (tengah) antara program paling mendapat sambutan luar biasa anjuran Kelab SKP, yang bukan sahaja dihadiri pelajar UMK malah komuniti usahawan di Kelantan juga turut serta.

Program tersebut yang dihadiri pelajar UMK dan komuniti usahawan di Kelantan itu sekaligus membuka mata peserta untuk lebih bermotivasi di samping menerapkan nilai keusahawanan dalam diri.

“SKP telah melahirkan ramai usahawan dalam kalangan pelajar yang berniaga dan antara produk usahawan pelajar yang kian melonjak naik ialah King Oden, VCendol dan Al Kahfi Exclusive.

"Selain itu, produk makanan dan minuman seperti kambing perap, bertih jagung (pop corn), jus buah, perkhidmatan gunting rambut dan perkhidmatan pencucian kediaman selain daripada pelajar yang terlibat aktif dalam menjual produk sedia ada seperti Demica, Numiskin dan lain-lain," kata Mohammad Farisfahmi.

Sambungnya, ada di antara usahawan pelajar UMK bukan sahaja dapat menjana pendapatan sendiri atau sampingan malah mampu mengubah nasib keluarga mereka.

"Misalnya, Nur Salsabila Mohd Israj, 23, yang merupakan pelajar Tahun 3 jurusan Ijazah Sarjana Muda (Islamic Banking and Finance) berasal dari keluarga sederhana. Sumber pendapatan keluarganya hanya bergantung kepada hasil jualan ibu yang menjual kerepek pisang untuk menampung keluarga manakala bapanya tidak bekerja atas sebab faktor kesihatan.

"Nur Salsabila selaku anak sulung daripada lapan adik beradik nekad ingin mengubah kehidupan keluarga walau pada masa yang sama masih bergelar pelajar di UMK, " katanya.

Nur Salsabila

Bermula tahun 2018, Nur Salsabila mula menjadi ejen dengan menjual produk kosmetik terkenal Numiskincare sehingga mampu melahirkan pasukan di bawah bimbingannya seramai 200 orang.

"Dengan hanya bermodalkan RM500, kini Nur Salsabila sudah berjaya meraih hasil jualan produk mencecah sehingga setengah juta ringgit pada tahun 2020. Nur Salsabila juga sudah mampu memiliki kenderaan sendiri selain boleh membantu mengurangkan bebanan keluarga dan masih tetap meneruskan pengajian di UMK,” ujar Mohammad Farisfahmi.

Seterusnya, antara usahawan pelajar daripada kelompok asnaf yang berjaya dalam perniagaan ialah pelajar Tahun 3, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Mohammad Alif Nasuha Rofidi, 23.

Mohamad Alif Nasuha mengusahakan jualan bertih jagung (pop corn) secara online dan membuka gerai sendiri.

Perniagaannya mendapat sambutan dan sering menerima tempahan majlis-majis kenduri, majlis hari jadi dan majlis rasmi korporat.

"Mohamad Alif Nasuha pernah meraih jualan sebanyak RM6,000 sebulan.

“Dengan pendapatan bulanan sekitar RM 1,500 hingga RM3,000 sebulan, dapatlah dia membantu meringankan bebanan keluarga dan sedikit sebanyak membantu membiayai pengajiannya di UMK,” ujar pengasas SKP ini.

Wujudkan kelab usahawan di setiap IPT

Mengulas lanjut, Mohammad Farisfahmi berkata, kelab keusahawanan yang diformulasikan dengan ilmu perniagaan seperti ini wajar diwujudkan di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) kerana ia bersifat ‘selangkah ke alam perniagaan’.

Jelasnya, kewujudan kelab dilihat sebagai perantara pelajar dengan pihak pengurusan dalam menggilap potensi bakal usahawan yang mempunyai idea perniagaan.

"Saya yakin melalui kerjasama yang erat dari kedua-dua belah pihak antara pelajar dan pihak pengurusan pusat keusahawanan universiti, ia sekaligus dapat membantu mensasarkan jumlah peningkatan usahawan pelajar di masa hadapan,” ulasnya dengan menambah Kelab SKP akan membuka keahlian kepada pelajar setiap awal kemasukan pelajar baharu pada September.

Secara amnya, Kelab SKP mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan pelajar kerana memahami ekonomi negara yang tidak menentu, telah membuka minda mereka untuk menerapkan ilmu keusahawanan dalam diri.

Sesi pemilihan dan temuduga untuk peserta Program ISME Accelerator: Jumper Startup UMK kerjasama dengan PUNB.

Tawar perkhidmatan gunting rambut

Walaupun memegang jawatan sebagai pengasas SKP, namun ia sedikitpun tidak menghalang Mohammad Farisfahmi untuk turut bergiat aktif dalam bidang perniagaan.

Dia kini aktif membina empayar perniagaan sendiri dengan menjadi stokis produk pes King Oden dan menjual kambing perap ramuan istimewa bersama dengan seorang rakan kongsi.

Malah dia juga menawarkan perkhidmatan gunting rambut bergerak sejak tahun 2019 lagi.

“Khidmat menggunting rambut juga dijalankan secara dalam talian dengan pendaftaran awal oleh pelanggan sebelum bergerak ke kediaman mereka dengan pematuhan SOP.

Mi BarberCar yg diusahakan secara bergerak sekitar Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kubang Kerian dan sekitarnya.

“Hasil pendapatan daripada perniagaan yang diceburi ini, dapatlah membantu menambah pendapatan keluarga dan membiayai pengajian saya di universiti," katanya.

Berikutan pandemik Covid-19 hari ini, ia telah membuatkan banyak perniagaan terjejas.

“Namun, dengan adanya pensyarah pembimbing dan khidmat nasihat dari UMKEI, ia membolehkan kami mengatur langkah dengan menambahbaik strategi pemasaran dan jualan yang mana kebanyakan urusan jual beli kini dilakukan secara dalam talian.

“Berkat usaha, dorongan dan penambahbaikan model perniagaan membolehkan kami meneruskan perniagaan walau dalam keadaan apa sekalipun,” katanya dengan memberitahu sebagai usahawan, kita perlu kreatif dan bijak menggunakan media sosial dan aplikasi terkini untuk membantu meningkatkan hasil jualan.

Akhir sekali, Mohammad Farisfahmi mengucapkan ribuan terima kasih kepada CEED, UMKEI kerana banyak memberi dorongan dan motivasi kepada dia dan usahawan pelajar yang lain membina kejayaan dalam perniagaan.

“Biarpun ilmu dan tip keusahawanan boleh didapati dengan melayari internet, ia tidak sama dengan mendapat bimbingan secara terus daripada pensyarah yang berpengalaman di UMK,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan