Kelab VOICE SMA Sri Desa kumpul dana berupa sumbangan makanan, agih kepada PKKII
Kelab VOICE SMA Sri Desa kumpul dana berupa sumbangan makanan, agih kepada PKKII

Kelab VOICE SMA Sri Desa kumpul dana berupa sumbangan makanan, agih kepada PKKII

webadmin
22 Feb 2021 04:16am
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekumpulan pelajar dari Kelab Volunteering Out In Communities Everywhere (VOICE) Sekolah Menengah Antarabangsa Sri Desa (Sri Desa International Secondary School) menganjurkan program Chinese New Year Virtual Donation Drive, baru-baru ini.

Program bertujuan membantu masyarakat yang kurang bernasib baik untuk sama-sama merayakan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan, tidak lama lagi.

Pengarah Program, Khor Yao Wen berkata, sekalipun negara berdepan dengan pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang para pelajar menghulurkan bantuan.

“Program Chinese New Year Virtual Donation Drive dapat mewujudkan kesedaran supaya lebih bersyukur dan saling bantu-membantu antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan budaya,” ujarnya.

Khor Yao Wen

Program yang berlangsung selama seminggu itu telah berjaya mengumpulkan sumbangan keperluan yang berjumlah 431 barangan secara dalam talian.

Antara keperluan yang berjaya dikumpul adalah yang berbentuk makanan seperti beras, biskut, susu, mi hoon dan barangan penjagaan diri seperti sabun mandi, syampu dan sebagainya.

Kesemua barangan tersebut dihantar oleh penyumbang kepada Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Istimewa Insan (PKKII) menggunakan perkhidmatan penghantaran daripada pasar raya yang berdekatan.

Sementara itu, usaha yang dilakukan oleh kumpulan pelajar ini, turut mendapat sokongan daripada pengetua, Janice Saw.

“Usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh mereka ini selari dengan hasrat sekolah, yang bukan sahaja ingin melahirkan pelajar yang cemerlang dari aspek akademik sahaja, bahkan sahsiah mereka juga,” ujarnya.

Janice Saw

Diharapkan usaha pelajar Sekolah Menengah Antarabangsa Sri Desa ini akan berterusan pada masa akan datang dan dapat melahirkan generasi yang prihatin terhadap masyarakat sekeliling.

Terdahulu, VOICE adalah sebuah kelab sukarelawan sekolah yang diletakkan di bawah Program Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Kemanusiaan pelajar.

Kelab ini memberi tumpuan kepada penganjuran kempen kesedaran dan mewujudkan peluang untuk seluruh warga sekolah terlibat dalam projek komuniti untuk memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.

Segala aktiviti yang dilakukan di sekolah adalah berdasarkan kepada empat teras pembangunan holistik merangkumi aspek akademik, fizikal, sosial dan moral kerana pihak sekolah percaya bahawa semua pelajar dapat mencapai kejayaan dengan mengembangkan potensi diri mereka.

Artikel menarik

Anak hidap kanser tahap tiga, guru wanita ini tabah sediakan soalan PdPR dalam wad

Inovasi pensyarah Politeknik Merlimau tarik perhatian juri, raih perak dan gangsa pada IMIC 2021

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan