WhatsApp Image 2021-06-22 at 17.13.55 (2)
WhatsApp Image 2021-06-22 at 17.13.55 (2)

Kemahiran guru dalam bidang Matematik menyerlah potensi pelajar

A
A
A

Mata pelajaran Matematik sangat penting bagi membina dan membentuk corak pemikiran pelajar agar menjadi individu yang cekap dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan penomboran.

Namun, setiap pelajar mempunyai corak kemahiran yang berbeza terutamanya dari sudut pemikiran dan kemampuan mereka dalam proses pembelajaran.

Tidak semua para pelajar mampu menguasai ilmu Matematik walaupun diajar berulang kali.

Situasi ini tidak mempunyai perkaitan dengan istilah ‘bodoh’ kerana kemahiran Matematik memerlukan penaakulan dan pemikiran aras tinggi.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Oleh itu, setiap institusi pendidikan perlu melahirkan guru yang berpengetahuan luas dan mahir dalam bidang yang ditugaskan agar proses pembelajaran berjalan dengan lancar.

Menurut Mantan Pensyarah, Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Abdul Razak Othman, setiap guru telah didedahkan dengan kemahiran bidang masing-masing.

Oleh itu, setiap guru perlu memilih jalan penyelesaian yang terbaik bagi menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi oleh pelajar.

Bagi melaksanakan pendidikan Matematik, para guru telah diberi kerangka pengajaran Matematik bagi mereka melaksanakan tugasan, menggalakkan penaakulan, dan penyelesaian masalah dalam setiap isi kandungan bagi mata pelajaran Matematik.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Kerangka pengajaran ini sangat penting bagi memastikan setiap guru benar-benar mahir atau tidak dalam penguasaan ilmu Matematik.

Inisiatif ini sangat penting sebagai persediaan mereka membantu para pelajar menyelesaikan masalah bagi setiap soalan yang sukar diselesaikan oleh pelajar.

Berhubung kerangka pengajaran itu, para guru juga perlu menguasai setiap prosedur dan pemahaman isi kandungan yang terkandung dalam pembelajaran Matematik.

Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), para guru perlu mengemukakan soalan bagi membantu minda pelajar berfikir dengan lebih cekap dalam usaha mencapai setiap jawapan yang diperlukan.

Guru-guru juga perlu menerangkan dengan lebih jelas agar setiap pelajar mampu memahami isi kandungan yang disampaikan dengan sebaik-baiknya.

Susulan itu, guru perlu mengenal pasti setiap masalah yang dihadapi oleh para pelajar semasa sesi pembelajaran.

Melalui cara ini, guru mestilah mencari inisiatif yang terbaik bagi meneruskan proses pengajaran yang berlangsung.

“Seorang guru bertanggungjawab menyediakan soalan berunsur kemahiran berfikir aras tinggi bagi mencetuskan persoalan dalam diri pelajar.

Gambar hiasan daripada Pexels.

“Pelajar juga mestilah dilatih dengan soalan-soalan di luar kotak agar penguasaan mereka terhadap mata pelajaran Matematik semakin baik dari hari ke hari.

“Oleh itu, para guru mestilah berfikiran lebih ideal serta kreatif dalam proses mencipta soalan khusus bagi peningkatan daya pemikiran pelajar,” ujar Abdul Razak.

Tambah beliau, ini kerana cara dan kaedah yang digunakan oleh para guru memainkan peranan penting kerana tahap pemahaman pelajar terletak kepada teknik pengajaran yang digunakan oleh seorang guru.

Oleh itu, semakin kreatif cara pengajaran seorang guru, semakin mudah untuk para pelajar menerima maklumat yang disampaikan.

Dalam kata lain, potensi pelajar akan mula berkembang sekiranya seorang guru mempunyai kemahiran yang cukup dalam sesi penyampaian ilmu.

Sumber Youtube: Siri Syarahan, Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Pulau Pinang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan