Cikgu Mohd Fadli
Cikgu Mohd Fadli

Kenali 3 guru aktif di media sosial dengan pengikut yang ramai

Adlan Farhan Azwan
09 Jun 2022 05:28pm
A
A
A

Tidak semua orang mampu untuk memikul tanggungjawab bergelar seorang pendidik apatah lagi di zaman yang serba mencabar ini.

Pelbagai pengorbanan harus dilakukan dalam mendidikan anak bangsa sekali gus memastikan masa depan negara cerah dan bergerak ke arah kemajuan.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara baru-baru ini juga dilihat telah mengubah landskap pembelajaran sehingga menuntut guru-guru dan murid-murid berubah sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, kita dapat lihat di laman media sosial masih ada guru-guru yang tidak pernah putus asa dalam berkongsi teknik pembelajaran dan menghulurkan bantuan kepada anak didiknya tanpa mengira waktu.

Jadi, Sinar Bestari ingin berkongsi dengan anda semua mengenai tiga guru yang telah banyak berjasa dengan membantu anak-anak murid mereka serta mempunyai pengikut yang ramai.

1. Mohd Fadli Salleh

Mohd Fadli Salleh adalah individu yang tidak asing lagi dalam dunia pendidikan negara terutamanya di laman media sosial.

Banyak kisah menarik yang dapat memberi inspirasi kepada para pendidik di luar sana telah beliau kongsikan sepanjang menjadi seorang guru.

Kredit foto: Facebook Mohd Fadli Salleh

Selain itu, guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak 1, Selangor ini turut menjadi aktivis program-program pendidikan bersama murid-murid.

Beliau juga berani melontarkan pendapat sekiranya terdapat isu yang tular berkaitan dengan pendidikan sama ada di dalam atau luar negara.

Setakat ini, Mohd Fadli mempunyai lebih 500,000 jumlah pengikut di laman Facebook.

2. Cikgu Aben

Muhamad Haikal Sa'ari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Aben mula mendapat perhatian pengguna laman media sosial sejak beberapa tahun yang lalu apabila bertugas di SK Kibubuk, Kota Marudu, Sabah.

Guru yang berasal dari Sik, Kedah ini gigih mempelajari bahasa tempatan Sabah yang terkenal dengan kerumitan berikutan keinginan beliau untuk melaksanakan kewajipan sebagai pendidik dengan lebih efektif di negeri di bawah bayu itu.

Kredit foto: Facebook Cikgu Aben

Disebabkan oleh latar belakang beliau yang kaya dengan kisah menarik, Cikgu Aben sering kali membuat penampilan di surat khabar serta program televisyen.

Beliau berkongsi kisah perjalanan dalam mendidik murid-murid pedalaman Sabah yang kadang kala terpaksa berjalan hampir dua jam hanya untuk ke sekolah.

Kisah beliau telah membuka mata masyarakat tentang suasana pembelajaran yang dilalui oleh murid-murid di kawasan itu.

3. Cikgu Emmet

Jika anda tinggal di Sarawak, pasti anda akan mengenali Ahmad Faizal Osman atau Cikgu Emmet.

Selain bertugas sebagai Penolong Kanan Pentadbiran dan Pengurusan Akademik di SK Pulau Seduku, Sri Aman, beliau juga terkenal sebagai penulis melalui laman Facebook ‘Cikgu Emmet Menulis’.

Kredit foto: Facebook Cikgu Emmet Menulis

Kini, beliau mempunyai lebih 160,000 jumlah pengikut di laman itu dan meningkat naik pada setiap hari.

Penulisannya dalam laman media sosial yang berdasarkan pengalaman sebenar dan realiti hidup masyarakat di Sarawak telah banyak memberi inspirasi kepada ramai pembaca.

Artikel berkaitan

‘Mengajar perlu ada kesabaran tinggi’ – Ini pesanan yang sering Cikgu Mohd Fadli ulang untuk kaum ibu

“Saya dah siapkan kerja sekolah cikgu, tapi…”– Air mata warganet tumpah!

Sudah mengajar secara maya sejak 2018, kepakaran Cikgu Abdul Raheym diperlukan dalam dunia pendidikan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan