ben-white-qDY9ahp0Mto-unsplash
ben-white-qDY9ahp0Mto-unsplash

Kenali murid kategori Masalah Pembelajaran yang ramai tidak tahu. Ini infonya!

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
14 Nov 2021 06:45pm

Mungkin ramai dalam kalangan kita tertanya-tanya, siapakah yang tergolong sebagai Murid Berkeperluan Khas (MBK). Apakah kategori dalam MBK ini dan bagaimana hendak mengenalpastinya?

Merujuk kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, MBK bermaksud kanak-kanak yang diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi mengikut mana-mana yang berkenaan sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau tidak sebagai murid yang mempunyai masalah seperti:

• Kurang Upaya Pendengaran

• Kurang Upaya Penglihatan

• Kurang Upaya Pertuturan

• Kurang Upaya Fizikal

• Masalah Pembelajaran

• Pelbagai (Multiple Disabilities)

Bagi menjelaskan dengan lebih mendalam tentang MBK tersebut, GPSBestari kongsikan maklumat berkaitan MBK kategori Masalah Pembelajaran.

Baca juga Risau anak autism? Cikgu ini kongsi intervensi awal yang dilakukan bagi membantu perkembangan anaknya

Baca juga Cacat penglihatan tak halang Siti Aisah raih Anugerah Guru Cemerlang

Ini infonya.

Masalah Pembelajaran didefinisikan sebagai masalah dalam satu atau lebih daripada proses asas psikologi melibatkan pemahaman atau penggunaan bahasa sama ada pertuturan atau penulisan di mana masalah yang dihadapi mengakibatkan kebolehan mendengar, berfikir, bertutur dan membaca yang tidak sempurna.

Ini tidak termasuk mereka yang bermasalah pembelajaran akibat daripada ketidakupayaan penglihatan, pendengaran dan motor, kerencatan akal, gangguan emosi atau kekurangan dalam persekitaran, budaya atau ekonomi.

Ciri-ciri murid dan pelajar bermasalah pembelajaran boleh dibahagikan kepada ciri kognitif; akademik; sosial dan emosi; dan tingkah laku.

1) Ciri kognitif

Murid dan pelajar bermasalah pembelajaran kebiasaannya lemah dalam pengamatan termasuklah tumpuan, perhatian, ingatan dan pemikiran atau pengolahan.

Mereka menghadapi kesukaran dalam mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baru atau sukar mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi pembelajaran.

2) Ciri akademik

Ciri akademik berlaku dalam masalah membaca, lisan, tulisan dan matematik. Ramai pelajar menghadapi masalah membaca. Paling nyata ialah kesukaran memahami apa yang dibaca dan kesukaran mengenal pasti perkataan. Istilah yang sering dikaitkan dengan masalah membaca ialah disleksia.

Selain membaca, mereka ini menghadapi kesukaran dalam lisan seperti fonologi, morfologi, susunan kata dalam ayat (syntax) dan pragmatik. Pelajar yang lemah dalam lisan gagal memahami perkataan yang disampaikan sekali gus sukar melibatkan diri dalam perbualan atau interaksi dengan kawan dan sebagainya.

Seterusnya, masalah kemahiran menulis dalam kalangan mereka ialah kesukaran memegang pen atau pensel ketika menulis dengan tangan, menulis huruf yang berlainan saiz, kelemahan dalam mengeja, tidak menggunakan tatabahasa yang betul, organisasi perenggan yang tidak teratur dan kurang menggunakan struktur ayat yang kompleks.

Secara umum, kemahiran menulis pelajar bermasalah pembelajaran adalah lebih rendah berbanding dengan rakan sebaya mereka yang normal atau biasa.

Bagaimanapun, kemahiran menulis boleh dipertingkatkan jika intervensi awal dilaksanakan dan kaedah mengajar yang teratur dan sistematik diperkenalkan.

Bidang terakhir di mana murid dan pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran untuk belajar ialah Matematik. Masalah ini juga boleh diistilahkan sebagai diskalkulia yang merujuk kepada ketidakupayaan dalam kemahiran Matematik.

Secara umumnya diskalkulia bermakna ketidakupayaan untuk mengira. Antara masalah Matematik yang berlaku dalam kalangan pelajar bermasalah pembelajaran ialah tidak menguasai sepenuhnya dalam pengiraan asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi.

Selain itu, sukar membuat anggaran dan pengukuran seperti saiz, nilai, wang, jarak atau cecair.

3) Ciri sosial dan emosi

Memahami ciri sosial dan emosi adalah sama penting dengan memahami ciri kognitif dan akademik mereka. Bagaimana pelajar bermasalah pembelajaran melihat diri mereka dan orang lain serta bagaimana mereka mahir dalam interaksi sosial secara signifikannya dapat mempengaruhi mereka berjaya dalam pembelajaran. Tambahan pula, kejayaan dalam hidup bergantung kepada kemampuan berinteraksi dengan orang lain secara berkesan.

4) Ciri tingkah laku

Sebahagian murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran sukar memberi tumpuan, mudah terganggu, terlalu aktif dan resah, tidak mengikut arahan dan sebagainya.

Istilah yang sering digunakan dalam masalah ini disebut masalah kurang tumpuan hiperaktiviti (ADHD).

Masalah tingkah laku ini akan mengganggu kelas dan tidak menyenangkan bagi guru, ibu bapa dan pelajar lain. Masalah tingkah laku ini juga boleh mengganggu hubungan sosial dan memberi kesan negatif terhadap penilaian kendiri pelajar.

Pelajar didapati sukar menyusun maklumat, tidak cekap menggunakan pengetahuan sedia ada dan tidak dapat menggunakan strategi pembelajaran dengan berkesan.

Terdapat dua pendekatan dalam pengajaran pelajar bermasalah iaitu pengajaran secara langsung dan strategi pengajaran.

Baca juga Pensyarah UIAM hasilkan salap, bantu melegakan gejala ringan Covid-19

Baca juga Lemah dalam Fizik? Ibu bapa dan pelajar boleh cuba cara ini untuk analisis tahap pencapaian subjek tersebut. Berkesan!

Pilihan penempatan pendidikan

Penempatan pendidikan bagi mereka yang bermasalah pembelajaran merupakan salah satu isu yang paling berkontroversi.

Tempat di mana seseorang pelajar bermasalah pendidikan itu menerima pembelajaran sebenarnya akan memberi kesan kepada sikap, pencapaian dan perkembangan sosial mereka.

Terdapat beberapa pilihan penempatan yang biasanya ditawarkan kepada mereka yang mempunyai masalah dalam pembelajaran, antaranya:

1) Bilik darjah biasa

Mereka biasa ditempatkan di dalam bilik darjah yang sama. Pendekatan ini memerlukan perancangan yang teliti, kesediaan guru dan sistem sokongan yang lengkap. Hanya penempatan pelajar secara fizikal di dalam bilik darjah biasa tidak cukup untuk memastikan peningkatan pencapaian akademik dan penerimaan sosial pelajar bermasalah pembelajaran.

Guru Pendidikan Khas akan bekerjasama dengan guru biasa dalam pengendalian kelas dan turut berkongsi tanggungjawab untuk mengajar.

2) Guru Pendidikan Khas sebagai Penasihat

Guru pendidikan khas sebagai penasihat membantu guru biasa dengan kaedah mengajar pelajar bermasalah pembelajaran.

Dia membantu dalam penyusunan persekitaran fizikal, menyediakan atau mengadaptasi rancangan pengajaran dan bahan serta membina prosedur penilaian dan penggredan pelajar bermasalah pembelajaran.

Dia juga mengumpul maklumat, membuat pemerhatian dan mempermudahkan perbincangan tentang pengajaran pelajar bermasalah pembelajaran. Pengajaran secara langsung dijalankan oleh guru biasa.

3) Bilik Sumber

Pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan di sekolah biasa akan pergi ke bilik sumber untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan bagi membantu mereka dalam pembelajaran.

Contohnya, perkhidmatan penaksiran dan pengajaran pemulihan disediakan.

Bilik sumber membolehkan pelajar bermasalah pembelajaran mendapat faedah daripada pengajaran yang spesifik, pada masa yang sama mengekalkan integrasi dengan kawan dan rakan sebaya di sekolah.

Guru bilik sumber mestilah seorang yang mempunyai kecekapan yang tinggi dan dapat bekerjasama dengan guru biasa, membuat penaksiran pembelajaran dan tingkah laku, membina pengajaran individu serta bekerja secara efektif dengan ibu bapa dan keluarga.

Program bilik sumber yang ditawarkan harus cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan tahap pembelajaran pelajar.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

4) Bilik darjah berasingan

Dalam kelas berasingan, bilangan pelajar kategori ini adalah kecil (dicadangkan tidak melebihi lapan orang pada satu-satu masa).

Pelajar dikumpulkan mengikut mereka yang mempunyai masalah pembelajaran sahaja atau dikumpulkan mengikut mereka yang terdiri daripada pelajar yang pelbagai jenis kategori ketidakupayaan.

Biasanya, pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi gangguan emosi dan kerencatan mental ditempatkan dalam satu kelas.

Kelas berasingan mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya ialah mereka dapat mewujudkan konsep kendiri yang lebih baik berbanding pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan dalam kelas biasa. Ini berlaku mungkin kerana persaingan di kelas biasa memerlukan beberapa kriteria yang tidak dapat dicapai oleh pelajar bermasalah pembelajaran.

Sesetengah pelajar ini juga menunjukkan kemajuan yang lebih di kelas berasingan berbanding kelas biasa. Kelas berasingan menawarkan keadaan paling berkesan bagi pelajar bermasalah pembelajaran yang teruk dan serius yang memerlukan pengajaran yang lebih bertumpu.

Sumber: Blog Bengkel Cikgu Norizam & Cikgu Zakiyudin

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan